Orang Kurang Upaya (OKU) merujuk kepada “seseorang yang mempunyai kekurangan jangka panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan keberkesanan mereka dalam masyarakat” (Akta OKU 2008). Umum mengetahui bahawa mempunyai kecacatan sering dikaitkan dengan pelbagai cabaran hidup. Sesetengah individu mengalami pengasingan, stigma, dan kemurungan, manakala yang lain bergelut dengan soalan yang berkaitan dengan nilai, tujuan dan makna hidup mereka. Manusia memiliki pelbagai jenis kecerdasan selain dari kecerdasan intelek. Kecerdasan rohani adalah salah satu kecerdasan. Zohar dan Mashall (2000) menyatakan kecerdasan rohani merujuk kepada kecerdasan untuk menghadapi persoalan ‘maksud sebenar’ iaitu kecerdasan untuk menempatkan perilaku dan hidup kita dalam konteks makna yang lebih luas dan kaya dan juga merupakan kecerdasan untuk menilai bahawa tindakan atau jalan hidup seseorang lebih bermakna dibandingkan dengan yang lain. Intipati kepada kerohanian Islam merupakan kesedaran terhadap tawhid (Allah yang satu).
Salah satu faktor yang boleh membantu orang kurang upaya untuk menghadapi cabaran yang mereka hadapi ialah kerohanian, dan berkait rapat dengan agama. Kajian mendapati bahawa kerohanian sering menjadi sumber kekuatan kepada golongan ini. Malah, ramai orang kurang upaya melaporkan bahawa kerohanian adalah faktor utama dalam memudahkan penyesuaian dan kesejahteraan. Walau bagaimanapun, terdapat kajian yang melaporkan bahawa golongan ini telah dikenal pasti sebagai golongan yang keciciran dalam pembangunan kerohanian. Bagaimanakah masyarakat dapat membantu dalam melesatkan kecerdasan rohani golongan ini? Universiti Sains Islam Malaysia sebagai sebuah instirusi pengajian tinggi terkehadapan dalam usaha melesatkan kecerdasan rohani golongan kurang upaya melalui pusat penyelidikan OKU yang dikenali sebagai UMMI Maktum.
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh penyelidik UMMI Maktum bagi membantu golongan kurang upaya mendalami ilmu agama Islam. Bermula dengan penghasilan produk inovasi Smart Iqra’ Braille, TALK PISKEB dan i-Sign QurANIS Berjaya membantu golongan OKUdalam mempelajari dan mendalami al-Quran. Selain itu, penyampaian khutbah Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz adalah sangat istimewa di mana khutbah diterjemahkan dalam bahasa isyarat oleh Daie Pekak. Penyampaian takbir Hari Raya Tanpa Suara turut menerima perhatian seluruh masyarakat Nilai.
Mahasiswa USIM turut terlibat secara aktif dalam usaha melesatkan kecerdasan rohani golongan ini melalui persatuan yang dikenali sebagai Sahabat FAQEH USIM. Sahabat FAQEH telah mengadakan pelbagai program seperti Kursus Dakwah Tanpa Suara; Kursus Kemahiran Daie Pekak; Kem Huffaz Remaja Pekak, Jom Dhuha bersama Anak-anak Istimewa; dan Pameran Quran Sunnah for Special Needs bagi membantu golongan kurang upaya bagi penyuburan kerohanian.
Dalam menggerakkan usaha dakwah OKU ini, USIM mendapat kerjasama baik dari pelbagai jabatan di USIM dan mendapat sokongan pelbagai pihak khususnya NGO iaitu PERTIS dan Yayasan FAQEH, Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) dan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA). Melalui semua usaha yang dilakukan oleh USIM, diharapkan golongan OKU dapat meningkatkan kecerdasan kerohanian mereka. Kesejahteraan dan ketenangan dalam hidup dapat dicapai melalui penghayatan keagamaan dan kerohanian. Penyertaan golongan OKU dalam aktiviti-aktiviti kerohanian dan keagamaan sangat penting dalam meningkatkan kecerdasan kerohanian dan mengurangkan kelembapan kognitif. Walau bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa penyertaan dalam aktiviti kerohanian dan keagamaan harus sentiasa mencerminkan kehendak klien.
Artikel ini telah diterbitkan di Bernama.