Prof. Dr. Norita Md Norwawi
Prof. Dr. Norita Md NorwawiPensyarah Fakulti Sains dan Teknologi

Budaya, dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (http://prpm.dbp.gov.my/) bermaksud memiliki cara berfikir dengan akal budi yang sudah maju. Intelektual pula merujuk kepada golongan terpelajar yang kemampuan yang tinggi untuk berfikir. Maka, budaya intelektual terkait dengan tradisi ilmu dengan akal budi pada aras tinggi. Maka, seharusnya budaya intelektual jemaah profesor sebuah universiti Islam adalah cerminan tradisi ilmu bersendikan Islam, dipasak dengan iman yang dihiasi dengan akhlak Islam. Kebahagiaan dunia dan akhirat menjadi matlamat, bukan retorik dan tidak bermotifkan material, status, jawatan mahupun pangkat.

Sebuah sistem pemikiran bertunjangkan Islam memerlukan kepada penghayatan rukun iman yang enam, berakar umbi kepada beriman kepada Allah, meyakini kewujudan dan keesaan Allah, kehebatan ciptaan Allah dan keagunganNya. Seperti dalam Hadith Jibril diperjelaskan konsep ihsan di mana kita yakin adanya Allah walaupun kita tidak dapat melihatNya malahan kita tidak dapat menyembunyikan apa sekali pun dari pandangan Allah. Iman yang dipasak dengan ihsan akan melahirkan sifat amanah dan integriti kerana Allah bukan kerana kod etika, piagam kualiti atau hukuman semata-mata. Penghayatan beriman kepada malaikat sebagai pencatit amalan, Rasul sebagai pemberi shafaat serta menerima wahyu yang diturunkan, di utuskan kitab Allah sebagai sumber ilmu utama sangat diperlukan dalam pembangunan karakter seorang ilmuan Islam. Pemikiran yang bukan Islam seperti fahaman sekularisme, materialisme, atheisme akan menyebabkan iman turut ditanggalkan termasuk beriman kepada akhirat. Maka, manusia akan merasa bebas untuk melakukan apa sahaja kerana tidak yakin dengan pengadilan yang hakiki di akhirat. Iman menjadi batu asas kepada intelektual dalam Islam yang melibatkan aqal dan qalbu, anggota yang menjalankan aktiviti fikir dan zikir yang disertakan dengan pelaksanaan syariat bagi mencapai kejayaan dalam erti kata sebenar sebagaimana yang dilaungkan dalam seruan azan.

Asas kepada budaya intelektual bermula dengan wahyu pertama dari surah Al-Alaq (96) yang menekankan اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ , iaitu matlamat membaca, menuntut ilmu adalah untuk mendapat redha Allah. Bukan membaca kerana ingin lulus peperiksaan semata-mata tetapi untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman yang lebih jelas. Di akhir surah pula, Allah menyatakan sifat orang yang ingkar, كَلَّا لَا تُطِعْهُ وَاسْجُدْ وَاقْتَرِب yang tidak sujud kepada Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Intipati kepada budaya intelektual dengan usaha mencari ilmu adalah untuk menimbulkan rasa kehambaan kepada Allah dan mengenal Sang Pecipta. Maka budaya intelektual adalah manifestasi kepada hablum minallah dengan nilai-nilai Islam yang tinggi dan diterjemahkan kepada hablum minannas.

Dalam surah Ali Imran, ayat 190 hingga 191, Allah menjelaskan sifat ulul albab iaitu orang yang sentiasa mengingati Allah dan bertafakur melihat alam. Natijah kepada tadabur tersebut akan menatijahkan rasa keinsafan bahawa tiada sesuatu yang Allah jadikan sia-sia. Seterusnya, mensucikan Allah dengan ucapan tasbih (Subhanaka) dan memohon dilindungi dari api neraka sebagai isyarat keyakinan kepada hari akhirat. Zikrullah, tafakur, tasbih serta beriman kepada hari akhirat akan membentuk disiplin diri, akhlak dan adab. Malahan, budaya kerja yang profesional memenuhi ciri-ciri seperti taqwa, jujur, tekun, bersungguh-sungguh serta rasa hormat dan kasih-sayang kepada generasi muda dan generasi yang lebih awal, meraikan perbezaan dengan beradab sebagaimana akhlak imam-imam mazhab.

Budaya intelektual Islam memfokuskan pembinaan generasi intelektual beriman, bermotifkan sumbangan kepada ummah atau untuk maslahah ummah sebagaimana yang dicontohkan oleh para Nabi, ilmuan Islam seperti Al-Khawarizmi, Ibnu Firnas, Jabbar Ibnu Hayyan, Ibnu Haitham Al-Jazari dan sebagainya. Dalam Islam, iman yang dipasak dengan ilmu, akan terjelma dalam akhlak dan adab seorang guru yang mursyid bersifat muaddib, bukan semata-mata memindahkan pengetahuan (knowledge transfer) tetapi juga hikmah (wisdom).

Model ini seolah-olah terlalu ideal dalam dunia pendidikan yang berasaskan sekularisme di mana kerohanian, pendidikan jiwa atau qalbu, ketuhanan adalah sesuatu yang tidak menjadi satu perkara fundamental atau akar umbi. Materialisme, kemasyhuran, status, jawatan dan pangkat menjadi motivasi dalam suasana pendidikan sekarang. Yang lebih diraikan adalah pencapaian akademik atau kognitif yang hebat tetapi pembangunan karakter diletakkan dalam ko-kurikulum dalam pendidikan di luar kuliah yang lebih terfokus kepada aspek kemahiran, di mana kemahiran efektif kurang mendapat keutamaan. Maka , pendekatan yang praktikal dan sesuai perlu digubal untuk meletakkan iman, tauhid sebagai faktor kritikal kejayaan.

Rumusannya, Jemaah Profesor USIM perlu membina keperibadian ilmuan Islam yang berasaskan nilai-nilai Iman, Islam dan Ihsan sebagai akar tunjangnya yang tercermin pada budaya kerja, akhlak dan profesionalisme. Adalah sangat wajar, ahli jemaah Profesor USIM sebagai kelompok yang utama untuk diberikan kefahaman yang jelas mengenai pandang alam Islam (Islamic Worldview), epistemologi Islam serta budaya ilmu Islam. Peranan sebagai qudwah perlu diperkasakan agar boleh menjadi contoh yang baik sama ada dari sudut akademik, penyelidikan, penerbitan, perundingan, khidmat kepada komuniti. Ego ahli akademik perlu dikikis agar budaya intelektual dapat subur kerana fokusnya adalah memenangkan al-haq dan Islam, bukan pendirian peribadi.

Selain dari itu, Jemaah Profesor juga perlu menerajui atau membimbing program yang berbentuk pendidikan atau terlibat dalam pengisian majlis ilmu dengan amalan-amalan baik Islam seperti wacana intelektual, dialog, bedah buku, syarahan umum, speakers corner, nu’min saáh, USIM Ted’s Talk seperti yang telah banyak dianjurkan khususnya untuk membina akal budi dengan pemikiran aras tinggi dengan nilai-nilai Islam. Program seperti Profesor Turun Padang perlu diperkasakan agar jemaah profesor berinteraksi dengan masyarakat kerana itulah sunnah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW serta para sahabat tanpa terlalu difokuskan kepada imbuhan berbentuk probono. Selain dari itu, memperkembangkan pengetahuan kepada bidang-bidang lain akan memperluaskan pandangan dan memperkayakan pemikiran dan boleh dikongsikan dalam bentuk penulisan popular seperti Tinta Malim yang lebih dekat dan mesra masyarakat. Moga, kepimpinan melalui teladan dalam budaya intelektual bersendikan akal dan jiwa (qalbu) adalah satu dakwah bilhal dan perlu disemai dengan nilai-nilai dan akhlak Islam bagi membangun insan berilmu yang seimbang dan sejahtera. Rasulullah diutus untuk mendidik, maka wajarlah baginda menjadi model terbaik untuk kepimpinan keilmuan dengan tawadhu, taqwa , tabligh dan taawun.

Penulisan oleh USIM Writers Pool (UWP) ini bagi menyemarakkan Misi 100 Hari Naib Canselor, YBhg. Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin.