Dalam era inovasi dan teknologi sedang pesat membangun sektor pertahanan negara turut menjadi fokus utama untuk dibangunkan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin dan mampu bersaing. Teknologi pertahanan yang canggih dan terkini membolehkan sesebuah negara mempertahankan diri daripada ancaman luar tanpa bergantung kepada negara lain. Sistem pertahanan melibatkan pengukuhan kawalan ke atas ruang udara, maritim dan darat bagi melindungi kawasan sempadan negara. Dalam konteks negara Malaysia, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memainkan peranan yang signifikan dalam usaha memperkasakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkukuh sistem pertahanan negara sedia ada dengan membangunkan dan mengadaptasi teknologi yang relevan bersesuaian dengan inovasi semasa. R & D dalam industri pertahanan negara dalam memastikan negara tidak ketinggalan menerajui arus kemajuan global. Melalui pelaburan dalam penyelidikan melibatkan R & D, negara dapat membangunkan teknologi tersendiri yang akan mengurangkan kebergantungan kepada negara luar dan mengelakkan risiko campur tangan asing dalam hal ehwal menguruskan pertahanan negara.
Antara bidang penyelidikan yang wajar diberi keutamaan melibatkan kecerdasan buatan (Ai), sistem senjata autonomi, komunikasi ketenteraan dan sistem pertahanan siber. Sejajar dengan teknologi moden aspek keselamatan negara tidak lagi terhad kepada kaedah peperangan secara konvensional tepati melibatkan ancaman serangan siber dan peperangan maklumat. Justeru, MIDDEF perlu bersiap siaga untuk mengambil beberapa inisiatif stratergik untuk memperkasakan penyelidikan dalam teknologi pertahanan negara.
Peranan MINDEF dalam Memperkasakan R&D melibatkan Teknologi Pertahanan
Dalam teknologi ketenteraan tradisional, sejarah telah menyaksikan bagaimana kuasa-kuasa besar yang memiliki kepakaran dan sumber melimpah memonopoli hampir keseluruhan industri teknologi ketenteraan global. Akibatnya, negara-negara membangun terpaksa bergantung kepada ‘ihsan’ pemindahan teknologi daripada kuasa besar. Ini menjadikan mereka bukan sahaja bergantung kepada teknologi luar, tetapi juga terdedah kepada permainan geopolitik yang boleh mengancam kedaulatan negara. Dalam keadaan ini, negara-negara kecil sering dijadikan alat tawar-menawar bagi mengukuhkan pengaruh kuasa besar hingga mencetuskan ketidakseimbangan kuasa dalam arena pertahanan antarabangsa. Kebimbangan terhadap jurang teknologi semakin melebar antara negara maju dan negara sedang membangun dan ia menyebabkan negara-negara kecil terus tercicir dan kekal bergantung kepada teknologi asing tanpa keupayaan membangunkan industri pertahanan sendiri.
Oleh itu, MINDEF perlu menyediakan lebih banyak geran penyelidikan khusus untuk teknologi pertahanan bagi menarik lebih ramai penyelidik dan pakar teknologi tempatan menyumbang secara langsung kepada pembangunan industri pertahanan negara. Dana berbentuk kolabratif sesuai untuk menggalakkan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta untuk turut terlibat dalam membiayai projek penyelidikan berimpak tinggi. Selain itu, program latihan dan penempatan tenaga pakar dalam kalangan saintis dan jurutera dalam bidang teknologi ketenteraan dalam kalangan akademia di institusi pengajian tinggi (IPT) boleh dijalankan ditempatkan di institit ketenteraan bagi tujuan pemindahan ilmu dan teknologi.
Selain itu, pembangunan ekosistem teknologi pertahanan tempatan perlu dilaksanakan dengan menubuhkan lebih banyak makmal penyelidikan sebagai pusat inovasi teknologi ketenteraan yang memfokuskan kepada penghasilan teknologi baharu misalnya robotik ketenteraan dan sistem pertahanan tanpa pemandu (UAV) dan perisian keselamatan siber yang lebih kompleks. Pelaburan penubuhan pusat inovasi teknologi ketenteraan yang dilengkapi fasiliti penyelidikan terkini seperti buatan (AI), robotik, dan sistem persenjataan moden dapat mengembangkan teknologi tempatan secara lebih sistematik.
Usaha ini akan mempercepatkan pertumbuhan industri ketenteraan tempatan yang lebih mandiri, kompetitif, dan berdaya saing. Di samping itu, pelaburan dalam R&D akan melahirkan lebih ramai pakar tempatan, sekali gus membina ekosistem pertahanan yang tidak lagi bergantung kepada teknologi luar. Negara kini, telah mula menggerakkan pelan jangka panjang menuju ke arah kemandirian teknologi pertahanan dan disokong dengan peranan akademia sebagai komponen penting dalam pembangunan teknologi pertahanan. Melalui peranan MINDEF sebagai agensi yang bertanggunjawab dapat memastikan pembangunan teknologi negara berada pada landasan yang betul. Gabungan dana, kerjasama stratergik, pembangunan infrastruktur dan fasiliti dan penglibatan modal insan serta dasar yang menyokong R & D akan menjadikan negara lebih berdikari dalam bidang teknologi ketenteraan yang semakin sengit. Usaha yang beterusan untuk jangka pendek dan panjang ini membuktikan bahawa penyelidikan yang diselaraskan dengan keperluan pertahanan dapat menghasilkan inovasi yang berdaya guna dan dalam masa yang sama turut memberikan kelebihan strategik kepada sesebuah negara.
Hala Tuju Ekosistem Teknologi Pertahanan Negara
Dengan hala tuju yang jelas dan sokongan menyeluruh daripada semua pihak, Malaysia mampu menjadi antara peneraju dalam bidang teknologi pertahanan di rantau ini. Ekosistem yang disokong stratergi ampuh akan memastikan setiap aspek melibatkan sistem pertahanan negara terus diperkasa. Dalam Perutusan Tahun Baru 2025, Kementerian Pertahanan (MINDEF), agenda memperkasa industri pertahanan negara telah digariskan dengan jelas dalam Fokus Kelima dan Keenam.
Ini menunjukkan kesungguhan MINDEF dalam membangunkan industri pertahanan yang kompetitif dan berdaya komersial tinggi. Jika trajektori ini dikekalkan, kita boleh menjangkakan geran penyelidikan strategik akan diperluaskan yang membuka lebih banyak ruang untuk kolaborasi antara kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT) dan sektor swasta. Tanpa sokongan pembiayaan R&D yang mencukupi, potensi ini tidak akan dapat diterjemahkan kepada impak sebenar.