Glokal ialah gabungan perkataan global dan lokal. Bermaksud sesuatu masyarakat boleh mengetengahkan bakat yang ada diperingkat lokaldan dibawa ke peringkat antarabangsa secara global.
YAB Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam ucapan beliau ketika merasmikan Persidangan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 Julai 2005 menyatakan tentang istilah glokal:
“Terlebih dahulu, izinkan saya mentakrifkan istilah glokal. Ia adalah gabungan antara dua perkataan, iaitu global dan lokal. Global bermaksud antarabangsa, internasional dan menjangkau seluruh dunia. Lokal adalah nasional, tempatan, dalam negara kita ini. Melayu Glokal yang kita impikan dan hasratkan ialah Melayu yang berakar nasional dan berakal internasional. Maksudnya, di samping kita hebat dalam Negara, kita juga berperanan di arena antarabangsa. Akar kita berpaksi di kota dan desa namun akal kita menerjah ke serata dunia. Melayu Glokal bertunjangkan budaya Melayu dan ajaran agama Islam yang suci.”
Jadi istilah glokal mendukung makna “gabungan akar nasional dan berakal antarabangsa.”
Dalam buku “Ke Arah Kelahiran Melayu Glokal” oleh Dato Dr Hasan Ahmad (2005), menjelaskan bahawa sebagai orang Melayu, kita perlulah membina kekuatan dari dalam sebelum dapat menjadi bangsa yang mampu menghadapi dan menangani cabaran dari luar iaitu cabaran globalisasi yang tiada sempadan. Mereka harus terlebih dahulu bertindak sebagai orang Melayu di dalam kawasan setempatnya, iaitu di negara ini, sebelum menjadi bangsa yang cukup bersedia untuk berfikir dan bertindak sebagai `peserta global di luar kawasan itu, iaitu di ruang global yang dikatakan tidak bersempadan.
Malaysia kaya dengan adat dan budaya masyarakat setempat yang berbilang kaum, adat dan agama. Tamadun Melayu dan adat resam yang pelbagai dan unik perlu diketengahkan ke peringkat global. Hal ini boleh menjadikan Malaysia terkenal di serata dunia.
PERSEDIAAN USIM
Sebagai seorang Melayu, kita perlulah mempunyai jati diri menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antara pekerja di USIM. Namun perlu juga mewujudkan persekitaran antarabanagsa, apabila berhadapan dengan masyarakat luar. Boleh bertutur bahasa Inggeris dan bahasa Arab dengan baik.
Matlamat usim berbeza dengan universiti Islam yang lain, kerana menekankan aspek Aqli dan Naqli. Pengetahuan pelbagai digarap menerusi pembelajaran duniawi dan ukhrawi. Keseimbangan ini menjadikan pelajar menerima pengalaman ilmu dari pensyarah tempatan dan asing.
Beberapa bidang glokal yang boleh diketengahkan antaranya:
1. Penulisan antologi budaya Melayu
2. Pemantapan kajian tempatan
3. Kajian ilmiah tempatan
4. Penulisan buku dan artikel
5. Kepimpinan melalui teladan
6. Ekonomi Islam yang berdaya saing
7. Mengetengahkan sosial masyarakat setempat
8. Politik yang aman
9. Agama Islam sebagai agama rasmi negara
Pengkhususan USIM sebagai rodmap glokal boleh dirancang dengan baik dan menyentuh bidang yang berikut:
1- Penyelidikan: staf akademik menjalankan penyelidkan melalui geran yang ditawarkan di peringkat kebangsaan. Namun penyelidikan perlu dikembangkan ke peringkat global. Penyertaan ahli penyelidik dari luar negara dapat membantu memperkembangkan idea ke peringkat global.
2- Kepimpinan: USIM mempunyai staf yang berwibawa dalam pentadbiran. Kepimpinan ini boleh diketengahkan ke peringkat global dengan melantik mereka di peringkat global, seperti duta dan wakil universiti.
3- Program pelajar: Program dan aktiviti pelajar boleh dijadikan program antarabangsa dengan melibatkan pelajar USIM bersama-sama pelajar daripada negara luar. Program mobiliti, pertukaran pelajar dapat mewujudkan pertukaran idea yang baik.Program GISO antara program antarabangsa yang mendapat sambutan.
4- Kesatuan dan kerjasama antara pelajar dan staf (akademik dan pentadbiran) dapat mengukuhkan hubungan yang baik bagi menjalankan sesuatu aktiviti dalaman. Namun kesatuan ini juga boleh di bawa ke peringkat global.
5- Staf yang berkemahiran dari segi idea, sains, ekonomi, bahasa, komunikasi dan seumpamanya dapat membantu menaikkan nama USIM ke persada dunia. Kemahiran ini perlu digilap sepanjang masa. Penyertaan ahli akademik dalam penyelidikan dan inovasi dapat menaikan nama USIM ke peringkat global.
6- Peranan UWP (Usim Writer Pool): UWP boleh menjadi platfom untuk perkembangan intelektual, justeru program kerjasama Universiti Awam dan Swasta perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Selain daripada itu, pemantapan intelektual perlu dipertingkatkan di arena global.
Kesimpulannya, USIM mampu menyediakan staf dan pelajar diperingkat glokal. USIM perlu bersedia membawa nama ke peringkat global. Platfom yang ada boleh dipertingkatkan lagi agar USIM terus maju di peringkat global.
Penulisan oleh USIM Writers Pool (UWP) ini bagi menyemarakkan Misi 100 Hari Naib Canselor, YBhg. Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin.