Dr Abdul Rashid Abdul Aziz
Dr Abdul Rashid Abdul AzizPensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Hari Pekerja 2025 baru-baru ini telah diraikan dengan tema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’, yang membawa mesej besar tentang nilai murni, semangat dedikasi serta jati diri tinggi dalam kalangan pekerja. Hari Pekerja bukan sekadar cuti umum, sebaliknya merupakan simbol penghargaan terhadap sumbangan besar warga kerja yang menjadi tulang belakang kemajuan negara. Ia juga satu bentuk pengiktirafan kepada tenaga kerja yang memastikan kelangsungan dan kestabilan ekonomi negara.

Namun di sebalik sambutan dan penghargaan ini, satu isu yang kian meruncing dan sering terlepas pandang ialah kesihatan mental pekerja. Statistik daripada Employment Hero, sebuah platform pengurusan sumber manusia, menunjukkan bahawa pada tahun 2024, seramai 67 peratus pekerja di Malaysia mengalami keletihan melampau atau ‘burnout’, peningkatan ketara berbanding 58 peratus pada tahun 2022. Lebih membimbangkan, Malaysia berada di kedudukan kedua tercorot daripada 60 negara dalam Indeks Global Keseimbangan Kerja-Kehidupan yang diterbitkan oleh Remote, sebuah syarikat teknologi global. Ini menunjukkan bahawa keseimbangan antara kehidupan kerja dan peribadi dalam kalangan pekerja di Malaysia masih berada pada tahap yang rendah.

Dalam era moden yang serba pantas dan penuh persaingan, ramai pekerja berhadapan dengan tekanan kerja yang tinggi. Tuntutan kerja yang tidak putus, tempoh masa bertugas yang ketat dan padat, gangguan semasa cuti, serta ketidakseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi menjadi antara penyumbang utama kepada tekanan mental. Hakikatnya, ada mereka yang bangun pagi dengan rasa berat hati, pulang malam dalam keadaan letih fizikal dan emosi, dan situasi sebegini berulang semula keesokan harinya dalam kitaran yang sama. Persekitaran tempat kerja, budaya organisasi dan sistem sokongan, stigma dan diskriminasi turut menyumbang kepada isu kesihatan mental pekerja.

Tuntutan keseimbangan kerja dan kehidupan perlu diselaraskan untuk mengelakkan kesejahteraan mental pekerja terganggu. Majikan perlu memahami bahawa pekerja mempunyai kehidupan berkeluarga dan perlu memberi tumpuan dan meluangkan masa yang baik dengan keluarga tersayang. Kekangan mendapatkan cuti dan kesibukan bekerja sehingga perlu melakukan kerja lebih masa (overtime) memberi impak negatif kepada pekerja. Justeru, majikan perlu peka terhadap elemen keseimbangan kerja dan kehidupan pekerja untuk memastikan pekerja dapat memberi fokus yang baik dalam pekerjaan yang dilakukan dan menjamin kesejahteraan mental pekerja tersebut.

Faktor persekitaran seperti ruang kerja yang sesak, bising, kurang pencahayaan, suhu yang tidak selesa, atau tidak mempunyai ruang rehat yang baik juga boleh memberi kesan kepada emosi dan tahap stres harian pekerja. Ini kerana, persekitaran kerja yang kondusif menyumbang kepada peningkatan fokus dan kesejahteraan mental pekerja. Stigma dan diskriminasi di tempat kerja juga merupakan faktor persekitaran yang dapat mengubah iklim di tempat kerja menjadi buruk. Stigma merupakan pandangan negatif terhadap inidividu berikutan personaliti mahupun hal peribadi. Manakala diskriminasi di tempat kerja merujuk kepada perlakuan tidak adil atau layanan yang tidak sama rata terhadap individu berdasarkan ciri-ciri tertentu seperti jantina, agama, kaum, umur, atau status peribadi. Persekitaran sebegini boleh mencetuskan keresahan, trauma dan kemurungan dalam kalangan pekerja.

Dalam hal ini, majikan perlulah memainkan peranan penting untuk cakna dan sentiasa prihatin supaya tidak mengabaikan aspek kesihatan mental pekerja. Pertambahan kerja yang banyak dan penetapan waktu untuk disiapkan dalam tempoh segera boleh mengundang kepada stres di tempat kerja. Oleh itu, antara perkara yang boleh membantu mengawal kadar stres ini ialah dengan memberi tempoh masa yang sepatutnya untuk pekerja menyempurnakan sesuatu tugasan, sekali gus membantu pekerja menghasilkan tugasan yang lebih baik dan berkualiti. Bahkan, dasar kerja fleksibel atau waktu kerja anjal yang diberikan oleh majikan kepada pekerja juga dapat membantu menjaga keseimbangan hidup mereka.

Seterusnya, budaya organisasi dan sistem sokongan yang menyemai nilai-nilai positif dapat membantu mencapai kesejahteraan mental pekerja. Budaya organisasi merangkumi set nilai seperti kepercayaan, sikap, nilai teras dan corak tingkah laku yang dikongsi bersama oleh semua pekerja di dalam organisasi. Oleh itu, menjadi tanggungjawab majikan untuk memupuk nilai yang baik dengan menjadi contoh ikutan (role model) dalam mengamalkan nilai-nilai murni yang boleh menjadi ikutan oleh para pekerja. Ironinya, jika organisasi kerja berada dalam keadaan persekitaran yang toksik, kesihatan mental pekerja akan terjejas dan akhirnya menjatuhkan prestasi dan produktiviti kerja.

Hari Pekerja seharusnya menjadi titik tolak kepada satu perubahan paradigma, dari hanya menghargai hasil kerja, kepada mengutamakan kesejahteraan insan yang melakukan kerja tersebut. Seharusnya pekerja tidak hanya menjadi ‘jentera ekonomi’ yang berfungsi tanpa jiwa, sebaliknya berperanan sebagai tenaga kerja yang bukan sahaja cekap dan produktif, tetapi bahagia dan sihat secara menyeluruh, meliputi aspek fizikal, mental, dan emosi. Hal ini kerana, pekerja yang dihargai serta disayangi bukan sahaja bekerja dengan lebih baik, tetapi dapat menjalani hidup dengan lebih bermakna.