Dr. Amani Nawi
Dr. Amani NawiPenyelaras Program Sarjana, Fakulti Pengajian Bahasa Utama
Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee
Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee Penyelaras Program Sarjana, Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Melahirkan generasi dan modal insan yang berpendidikan tinggi merupakan aset utama dalam perlaksanaan pembangunan sesebuah negara. Tindakan mengabaikan kepentingan pendidikan bererti mengekang tahap pencapaian negara dan menyekat keperluan individu khususnya golongan pelajar sama ada untuk kepentingan peribadi mahupun masyarakat.

Penekanan terhadap kepentingan bidang pendidikan dapat dilihat dengan jelas apabila peruntukkan terhadap perbelanjaan sektor ini mencatatkan jumlah tertinggi dalam perbelanjaan kewangan negara menerusi bantuan dana, pinjaman dan biasiswa seperti bantuan MyBrain15 yang ditawarkan saban tahun sebelum ini. Hal ini adalah kerana pendidikan dianggap pelaburan jangka panjang yang akan membawa kepada produktiviti negara pada masa akan datang. Namun, setelah bertahun-tahun mahasiswa yang berkelayakan menerima bantuan ini, ianya tidak lagi ditawarkan sehingga hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2019 telah mengumumkan bahawa tiada lagi permohonan baru dibuka bagi program Mybrain15 seperti sebelum ini dan ia bakal ditangguhkan ke satu tempoh yang akan ditetapkan. Keputusan ini mendapat pelbagai respon dan maklum balas dalam kalangan masyarakat tambahan lagi melibatkan graduan daripada golongan yang kurang berkemampuan untuk menampung yuran pengajian mereka.

Peningkatan yuran pengajian saban tahun oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam dan luar negara dilihat menjadi faktor kemerosotan minat para graduan ijazah pertama untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Ia sedikit sebanyak telah menjejaskan matlamat falsafah pendidikan negara yang bertekad untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan untuk menyumbang kepada masa depan negara. Secara dasarnya, perlaksanaan Penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960) telah menjadi asas kepada pembentukan sistem dan Dasar Pelajaran Kebangsaan seperti mana yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1961. Ketiga-tiga dokumen ini menegaskan tentang perkembangan pendidikan sebagai matlamat utama negara.

Justeru, program MyBrain15 yang ditawarkan pada awalnya merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi membiayai yuran pengajian para graduan yang berkelayakan untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Ijazah Kedoktoran. Biasiswa ini digerakkan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) bagi menyokong objektif Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang menyasarkan 60,000 pemegang PhD menjelang tahun 2025. Tujuan asal program ini ditawarkan bertujuan mendorong lebih ramai graduan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan menghasilkan kajian dan penyelidikan yang berkualiti tinggi. Malah, Malaysia menunjukkan pelaburan berterusan dalam sektor pendidikan sejak merdeka pada 1957.

Penawaran program biasiswa ini dilihat memberi kesan yang sangat besar dalam usaha melahirkan lebih ramai modal insan yang berintelektual tinggi. Untuk rekod sehingga tahun 2016, lebih daripada 50,000 orang pelajar telah mendapat manfaat daripada program biasiswa ini dan hampir 23,000 orang pelajar adalah pemegang sijil ijazah doktor falsafah (PhD). Malangnya, program yang mampu meringankan beban tanggungan yuran yang dihadapi dalam kalangan pelajar telah diberhentikan bermula tahun 2018 sehingga kini atas faktor ketidakstabilan ekonomi dan peruntukan kewangan negara yang tidak mencukupi.

Impaknya, jumlah kemasukan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di universiti awam dan swasta semakin merosot. Bebanan yuran yang semakin mencanak menjadikan ia beban bukan sahaja menjadi kepada pelajar tetapi melibatkan ibu bapa serta penjaga.

Keadaan ini tidak wajar dipandang enteng oleh pihak kerajaan tanpa sebarang tindakan susulan kerana ia bakal mengganggu perkembangan potensi individu melibatkan keupayaan daya intelek dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda di negara ini. Golongan mahasiswa merupakan barisan perintis yang bakal menggalas tanggungjawab besar negara dalam mendepani era revolusi perindustrian 4.0.

Bagi menangani isu melibatkan penjanaan dana pendidikan yang sedang dihadapi oleh golongan mahasiswa dan juga universiti di Malaysia, satu pasukan ‘taskforce’ yang melibatkan kerjasama pihak universiti, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan agensi swasta perlu ditubuhkan bagi mendapatkan solusi kepada masalah yang dihadapi. Sokongan kewangan dan pembiayaan pendidikan melibatkan golongan mahasiswa yang layak dan berkeinginan untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi perlu diteruskan demi menjamin kelestarian pendidikan negara. Kegagalan penawaran skim dan program pembiayaan pengajian seperti Mybrain15 dilihat sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kepincangan intelek masyarakat yang sentiasa dahagakan percambahan ilmu dan pengetahuan.

Akhirnya, negara akan menghadapi kekurangan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi seterusnya mempengaruhi tahap Indeks Produktiviti Industri (IPI) di Malaysia. Tambahan lagi, negara pada hari ini sangat memerlukan sumbangan tenaga kerja mahir yang kreatif dan inovatif. Menurut Majlis Penasihat Ekonomi Negara, sesebuah negara yang mengalami kekurangan pekerja mahir yang tinggi menyebabkan pertumbuhan produktiviti menjadi lemah. Hal ini adalah berpunca daripada kekurangan daya kreativiti dan inovasi dalam kalangan tenaga kerja dan akhirnya memaksa negara bergantung kepada warga asing yang kurang mahir.

Keupayaan holistik melibatkan modal insan sangat diperlukan dalam pelbagai sektor sebagai pemangkin hala tuju negara, lebih-lebih lagi dalam keberhasilan negara. Hal ini dibuktikan oleh Indeks Daya Saing Digital Global yang mana Malaysia telah menduduki tangga 10 negara teratas dalam hasil penambahbaikan melibatkan modal insan khususnya dalam bidang perniagaan. Bagi mencapai status negara maju yang mempunyai tahap produktiviti yang tinggi, kita memerlukan lebih ramai tenaga kerja berpendidikan tinggi yang memiliki pengetahuan, kemahiran, dan berkebolehan dalam pelbagai bidang untuk berinovasi dalam mengembangkan ekonomi negara seiring dengan negara-negara maju lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat.