Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Menteri Pendidikan Malaysia, Puan Fadhillah Sidek, wanita pertama yang dilantik untuk menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia. Puteri kepada Allahyarham Dato’ Dr Siddiq Fadzil, tokoh cendekiawan Islam yang terkemuka di negara ini, diharapkan dapat membawa pendidikan negara sebagaimana aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan meletakkan pendidikan Malaysia di kedudukan antara satu pertiga negara terbaik di dunia. Dalam masa lima tahun, negara menyaksikan lantikan tiga orang Menteri Pendidikan; masing-masing dengan cara kerja yang unik untuk memberikan perkhidmatan terbaik tetapi masih mendokong hasrat yang sama iaitu untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan sejahtera yang dapat memberi sumbangan untuk negara.
Menariknya apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, rakyat serta warga pendidikan khasnya tidak dapat melupakan jasa beliau ketika menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986. Dua tahun selepas beliau menerajui Kementerian ini, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah dibangunkan pada tahun 1988 setelah melalui satu proses penyediaan terperinci di bawah jawatankuasa yang diketuai oleh Allahyarham Tan Sri Dr Wan Zahid Wan Mohd Noordin, Pengarah Pusat Pembangunan Kurikulum ketika itu. FPN kemudiannya dibugarkan pada tahun 1993 dan dijenamakan semula sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Aspirasinya tetap sama, iaitu memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, bagi melahirkan insan harmonis yang berakhlak mulia.
Sesungguhnya jelas dalam FPK bahawa keseimbangan ilmu dan akhlak adalah penting dalam pembentukan insan sejahtera. Justeru pendekatan pendidikan yang holistik, membentuk bukan sahaja kemampuan intelek, tetapi juga kekuatan rohani, kestabilan emosi dan kesihatan jasmani amat perlu dilaksanakan. Bagi membina keseimbangan ini dalam diri murid, amalan terbaik di rumah perlu diperkasakan di sekolah, dan adab yang dibentuk di sekolah perlu ditekankan di rumah. Anjakan 9 PPPM 2013-2025 menganjurkan agar sekolah bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dengan meluas, dan setelah 9 tahun pelan ini dilaksanakan, terdapat peningkatan yang signifikan terhadap kerjasama yang dijalin antara sekolah dan pihak berkepentingan dalam membentuk satu sistem pembelajaran dalam komuniti sebagaimana yang boleh diteliti dalam Laporan Tahunan PPPM yang diterbitkan oleh Kementerian.
Pendidikan holistik merujuk kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang tidak menekankan kepada satu aspek sahaja, malah memastikan semua aspek keinsanan dapat dibangunkan dengan seimbang. Pendidikan holistik tidak menumpukan kepada kecemerlangan akademik semata-mata, malah memastikan strategi pembelajaran yang dilaksanakan dapat membangunkan fizikal, emosi dan rohani murid. Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan sejak 2011 merupakan usaha awal untuk memastikan sistem pendidikan tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata. Empat komponen PBS – Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) – merupakan penilaian yang sesuai untuk mengukur ke empat-empat aspek seorang insan seimbang sebagaimana yang dianjurkan oleh FPK.
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) diperkukuhkan pelaksanaannya apabila Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan. Berikutan pemansuhan kedua-dua peperiksaan pusat ini, Kementerian telah menggiatkan usaha untuk memperkukuh pelaksanaan PBD. Secara idealnya, PBD dapat membantu guru mengenal pasti amalan yang boleh meningkatkan kekuatan murid atau mengubah suai strategi pengajaran bagi menolong murid yang lemah dalam sesuatu topik. Kaedah pentaksiran berterusan seperti pemerhatian, penulisan, lisan ataupun penilaian rakan sebaya dapat meningkatkan prestasi murid secara konsisten.
PBD juga telah diperluaskan dengan amalan pentaksiran bersepadu, di mana pentaksiran beberapa subjek boleh digabungkan melalui Pembelajaran Berasaskan Projek. Sebagai contoh, murid boleh menghasilkan sepucuk surat tidak rasmi dalam Bahasa Inggeris, menceritakan kepada rakan bagaimana makanan sunnah dapat membantu meningkatkan kesihatan semasa bulan Ramadan. Khasiat makanan sunnah ini adalah untuk pentaksiran subjek Biologi, manakala hikmah daripada mengamalkan pemakanan berkhasiat ini boleh dijadikan pentaksiran bagi subjek Pendidikan Islam. Pelaksanaan pentaksiran bersepadu ini merupakan amalan yang dianjurkan di bawah Program Transformasi Sekolah 25 (TS25), dan telahpun dilaksanakan sejak 2020 semasa pandemik COVID-19 di Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia sebagai pentaksiran formatif. Berdasarkan Standard Prestasi di dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) serta pertimbangan profesional guru, PBD merupakan cara ideal untuk guru secara berterusan membimbing dan membentuk potensi murid.
Namun begitu, cabaran besar dalam pelaksanaan PBD adalah untuk guru-guru memberikan tumpuan terhadap proses PdP itu sendiri dan membuat pertimbangan profesional berkaitan pembelajaran murid secara beretika menggunakan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman mereka. Dibebani dengan pelbagai penyediaan laporan dan tugas yang tidak berkaitan dengan pembangunan potensi dan akhlak mulia murid, ramai warga pendidik yang merayu agar guru kembali kepada tugas asal mereka iaitu mendidik. Memetik kata-kata Allahyarham Dato’ Dr Siddiq Fadzil dalam buku Murabbi Citra USIM yang diterbitkan pada tahun 2021 – seorang Murabbi ialah “pendidik yang mempunyai nilai kasih sayang kepada anak didiknya, tanpa mengira tahap kecemerlangan akademik mereka; mengambil berat bagi memastikan mereka lebih bersemangat dan bermotivasi untuk menjadi seorang yang beradab, holistik dan seimbang”. Semoga legasi Allahyarham dapat diteruskan oleh puteri beliau, Menteri Pendidikan 2022.