Dr. Siti Suriani Othman
Dr. Siti Suriani Othman Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM
Maisarah Marzuki
Maisarah MarzukiPelajar Program Pengurusan dengan Pelancongan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM

Hari ini ramai kita lihat ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah aliran bahasa asing. Masyarakat Melayu sendiri di Malaysia misalnya, menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina untuk anak anak menguasai bahasa ketiga selain bahasa ibunda bahasa Melayu dan bahasa kedua, bahasa Inggeris.

Sungguhpun banyak perdebatan tentang fenomena ini terutama berkaitan jatidiri, perbincangan ini hanya memfokus kepada kepentingan penguasaan pelbagai bahasa dalam diri seseorang. Berpeluang mendalami bahasa ketiga atau keempat atau lebih daripada itu mungkin sesuatu yang dilihat amat mengujakan dan menjadi satu bentuk nilai tambah untuk mengharungi dunia pekerjaan bagi para pelajar kelak.

Antara kelebihan dengan keupayaan lebih daripada dua bahasa ialah kelebihan kognitif. Belajar lebih daripada dua bahasa misalnya meningkatkan fungsi otak termasuklah ingatan dan kemampuan berfikir. Ia juga sekaligus melambatkan penuaan otak dan menunda penyakit penyakit seperti Alzheimer. Selain itu, individu dengan kemampuan bertutur banyak bahasa mempunyai kelebihan sosial kerana dapat berkomunikasi dengan lebih baik. Mereka juga mempunyai empati dan pemahaman budaya yang lebih tinggi kerana keupayaan memahami golongan lain menerusi kemahiran bahasa yang mereka ada.

Selain itu, pastinya kebolehan bertutur banyak bahasa membawa kepada kelebihan profesional. Mereka mempunyai peluang kerja yang lebih luas kerana majikan sering mendambakan pekerja yang luwes tahap bahasanya. Malah, mereka juga mudah dibawa ke peringkat global kerana keupayaan berbahasanya itu. Dalam perniagaan juga, golongan yang fasih dalam banyak bahasa mempunyai banyak kelebihan dan mampu memudahkan komunikasi antara pelanggan dan rakan niaga yang mampu meningkatkan kepercayaan dan mencetuskan pelbagai bentuk kerjasama.

Tidak hairan, ada universiti-universiti di dunia ini yang mengkhusus pengajaran mereka dalam pelbagai bahasa. Antaranya ialah Universiti California, Irvine. Universiti ini menawarkan program sarjana muda, sarjana, dan doktor falsafah dalam bahasa Cina, Jepun, Korea, Perancis, Jerman, Sepanyol, dan banyak lagi. Pelajar juga boleh memilih untuk menumpukan kajian mereka kepada budaya Asia Timur.

Universiti lain ialah Universiti Minnesota, Duluth. Universiti ini menawarkan ijazah sarjana muda dalam bahasa Jerman, Perancis, dan Sepanyol, dengan dorongan kuat kepada program belajar di luar negara.

Univesiti terkenal di dunia, Universiti Harvard juga menawarkan pelbagai program bahasa termasuk bahasa asing utama seperti Perancis, Sepanyol, Jerman, dan lain-lain. Program ini disokong oleh fakulti yang berprestij dan kemudahan yang canggih.

Berkaitan ini, kita harus faham dan memberi fokus kepada bahasa bahasa yang dipelajari. Beberapa bahasa utama amat baik untuk dipelajari terutama oleh golongan pelajar untuk menikmati kelebihan kelebihan yang disebutkan tadi. Bahasa Inggeris misalnya mempunyai lebih daripada 1.5 bilion penutur, termasuk penutur asli dan yang mempelajarinya sebagai bahasa kedua. Ia juga adalah bahasa ekonomi dan politik dunia.

Mandarin adalah bahasa kedua terpenting di dunia terutama dari aspek ekonomi dan demografi. Dengan jumlah penutur asli terbesar di dunia iaitu melebihi 1.2 bilion orang, bahasa Mandarin dituturkan di China sebagai kuasa ekonomi terbesar di dunia dengan tahap ekonomi paling pesat. Bahasa bahasa utama lain di dunia termasuklah bahasa Sepanyol, bahasa Arab dan bahasa Perancis. Maka, mempelajari bahasa bahasa ini pastinya memberi pelbagai kelebihan kepada individu yang mampu menguasainya.

Melihat kepada kemajuan dunia hari ini, sungguhpun kita disogok dengan pelbagai teknologi yang memungkinkan terjemahan dilakukan dengan sekelip mata, komunikasi dalam pelbagai bahasa boleh dilakukan menerusi apps dan sebagainya, kita masih memerlukan manusia-manusia yang fasih bertutur pelbagai bahasa terutama untuk bertindak sebagai pendidik dan penyambung jambatan antara satu satu budaya dan tamadun. Robot dan teknologi seharusnya kita gunakan untuk memudahcara kita mencapai apa yang tidak dapat kita capai dari aspek bahasa sebelum wujudnya ia, bukan sebagai pengganti kepada kemahiran yang perlu ada pada seseorang manusia.