Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali
Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd DaliPengarah, Institut Pengurusan Harta Dan Kewangan Islam (IFWMI)

Di dalam siri 2, saya ada mengatakan bahawa, angan-angan adalah penting bagi kita untuk terus maju ke depan tetapi angan-angan kosong tidak akan membawa kita ke mana-mana dan saya juga ada memberikan suatu kisah di dalam Al Quran tentang kemahiran Nabi Yusof di dalam merancang dan mengurus perbendaharaan negeri Mesir. Kemahiran Nabi Yusof untuk menafsir mimpi Raja Mesir pada waktu itu berkenaan kitaran ekonomi adalah menunjukkan kepentingan untuk kita memahami tentang ekonomi secara dasarnya dan pengurusan kewangan secara khususnya.

Pengurusan kewangan adalah suatu subjek yang luas, maka apa perlu kita buat untuk mempunyai kedudukan kewangan yang baik? Apa yang kita perlu mulakan untuk pengurusan kewangan adalah tabiat menyimpan. Menyimpan ni memang susah untuk di jadikan tabiat, yang mudahnya ialah untuk berbelanja. Malah kita boleh masih berbelanja walaupun kita tidak mempunyai apa-apa wang lagi. Perbelanjaan defisit ini perlu ditampung. Bagaimana perbelanjaan melebihi pendapatan itu ditampung dengan menggunakan kad kredit, pinjaman peribadi atau pinjaman along dan sebagainya. Malah saya ada berjumpa dengan sekumpulan pekerja syarikat pinjaman wang berlesen kerana mereka mencari rumah sewa yang diiklan oleh saya. Mereka menyatakan bahawa ramai peminjam adalah dari golongan pekerja kerajaan. Ini amat memeranjatkan saya malah kakitangan di universiti saya bekerja juga ada disebutkan sebagai peminjam. Bab pinjam meminjam ini akan saya kupas pada siri yang setrusnya.

Jika ia berterusan setiap bulan, apakah natijahnya jika kita terus berbelanja melebihi dari kemampuan. Ada rakan saya mengatakan dengan saya, subjek yang saya bincangkan ini terlalu serius. Bagi saya ianya tidaklah serius cuma apabila persoalan-persoalan yang saya kemukakan adalah bersifat peribadi dan memaksa untuk kita berfikir dan menganalisa diri sendiri. Kebanyakan kita mahu mengelakkan diri kita dari mengetahui kedudukan semasa kewangan kita. Kita juga mahu mengelak dari mengetahui bahawa punca masalah kewangan kita adalah berpunca daripada tabiat kita sendiri dan bukannya oleh faktor luaran yang sering kita jadikan kambing hitam. Kita akan mencari alasan-alasan seperti harga minya naik, harga ikan kembung mahal dan sebagainya untuk terus berada di dalam kemelut kewangan.

Memang tidak dinafikan kos kehidupan semakin meningkat dan memberi kesan kepada kenaikan perbelanjaan kita, walaubagaimanapun kita perlu menghadapi kemelesetan ekonomi sebagaimana Nabi Yusof menghadapi kemarau panjang. Perancangan beliau untuk hanya menggunakan sedikit dari tuaian semasa ekonomi baik dan menyimpan sebahagian besar untuk semasa kemarau melanda.

Kemahiran Nabi Yusof di dalam mengatur strategi kewangan Mesir ini adalah amat baik untuk diambil pengajaran. Pada waktu kemarau melanda, negeri Mesir mempunyai stok makanan yang mencukupi malah menjadi pusat makanan bagi negeri-negeri yang berjiranan.

Berdasarkan kepada pengalaman saya mengendalikan kursus asas keusahawanan siswa (KAKS) untuk bakal usahawan dan juga pelajar dari universiti IPTA, hanya 1% peratus sahaja peserta kursus yang menabung. 99% peserta kursus tidak menabung walau sesen pun dari pendapatan mereka sama ada dari keluarga atau biasiswa atau pinjaman dari organisasi seperti MARA, PTPTN dan lain-lain. Keadaan ini menunjukkan ramai pelajar yang tidak menabung malah mempunyai perbelanjaan yang lebih besar dari pendapatan mereka.

Jika ini berlaku semasa mereka menuntut, kita pasti boleh mengagak sama ada mereka akan menabung semasa mereka di alam pekerjaan nanti jika mereka berterusan tidak menjadikan tabiat menabung sebagai suatu kemestian. Malah, saya juga banyak berjumpa dengan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang telah lama menceburi bidang peniagaan tetapi tidak mempunyai simpanan atau tidak mempunyai kaedah menyimpan yang tetap. Ini mengakibatkan mereka tidak dapat menjalankan perniagaan dengan teratur malah ramai di kalangan mereka yang telah menutup perniagaan disebabkan gagal untuk mengawal kewangan perniagaan dan kewangan sendiri.

Ramai yang kecundang semasa kegawatan ekonomi dan jika diperhatikan, ekonomi akan sentiasa ada turun naiknya seperti yang telah dijelaskan di dalam kisah Nabi Yusof. Justeru itu, kegagalan usahawan-usahawan, peniaga-peniaga di dalam menyiapkan perniagaan mereka dengan simpanan untuk menghadapi kegawatan ekonomi menyebabkan mereka terkeluar dari industri. Malah semasa saya bekerja dengan sebuah bank pembangunan di ibu kota pada awal tahun 2000 di Jabatan Pemulihan Projek, ia menyaksikan rata-rata kegagalan usahawan Melayu adalah disebabkan oleh kegagalan mereka di dalam mengurus kewangan syarikat dan kewangan mereka sendiri. Pada siri akan datang saya akan membincangkan tentang kitaran ekonomi.

BERSAMBUNG SIRI 4