Dr. Suhailiza Md. Hamdani
Dr. Suhailiza Md. HamdaniPensyarah, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Islamofobia adalah istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi pada Islam dan umatnya. Istilah itu sendiri sudah digunakan pada tahun 1980-an tetapi menjadi popular selepas serangan 11 September 2001. Ia juga merujuk kepada persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas daripada dikenali sebagai satu agama.

Isu Islamofobia bukanlah perkara yang baharu malah ia telah berlaku sejak zaman awal perkembangan Islam lagi kerana pada waktu itu Islam dipandang sebagai sesuatu ajaran asing bagi penduduk Makkah. Hal ini dijelaskan di dalam hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud: “Islam bermula sebagai (sesuatu yang) asing dan akan kembali menjadi (sesuatu yang) asing seperti awalnya. Maka berbahagialah orang-orang yang asing itu”.

Manifestasi Islamofobia dizahirkan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui media, penulisan karya ilmiah, politik dan perundangan. Ia turut diterjemahkan dalam bentuk diskriminasi seperti masalah mendapatkan keperluan asas, peluang pekerjaan, tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan pendidikan. Malah, Islamofobia juga ditonjolkan dalam bentuk protes dan lebih teruk lagi melalui keganasan atau jenayah.

 

Laporan OIC

Hal ini boleh dilihat melalui laporan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dari Disember 2020 hingga Januari 2022 yang menunjukkan bahawa berlakunya diskriminasi terhadap orang Islam di seluruh dunia iaitu sebanyak 21 peratus, serangan lisan dan fizikal (11 peratus), ucapan kebencian (9 peratus), menyebarkan kebencian dalam talian (7 peratus), gangguan pemakaian hijab (4 peratus), serangan masjid (12 peratus), berkaitan polisi (17 peratus) dan kempen ekstremis berhaluan kanan  (19 peratus).

Kebiasaannya, Islamofobia berlaku di negara minoriti Muslim seperti  Perancis, India, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Israel, Sri Lanka, New Zealand dan Australia, namun tempiasnya turut dirasai ke negara-negara lain termasuk Malaysia.hal ini kerana kebanjiran saluran media hasil kemajuan teknologi komunikasi di seluruh dunia  menyumbang kepada penularan Islamofobia ke merata dunia.

 

Meningkatkan kefahaman

Malaysia sebagai negara Islam komited dan berusaha menangani isu ini supaya tidak terus menjadi barah. Pelbagai usaha giat dilaksanakan seperti meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa dunia, badan bukan kerajaan, pertubuhan antarabangsa selain menjalankan penyelidikan dan menggerakkan usaha dakwah dengan lebih aktif. Di samping itu, meningkatkan kefahaman masyarakat tentang Islam kepada bukan Islam melalui bengkel dan forum serta menggunakan fungsi media sebaik mungkin dalam membentuk pemikiran masyarakat.

Kerajaan juga wajar memberikan penekanan supaya rakyat mendokong falsafah Rukun Negara yang menjadi dasar dan tunggak perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini. Penghayatan terhadap Rukun Negara ini perlu sentiasa dipupuk terutama oleh generasi muda, namun kini ia semakin kurang diberi perhatian malah seolah-olah diketepikan yang dibimbangi akan dilupakan begitu sahaja.

Lima prinsip Rukun Negara ini memberi maksud yang sangat signifikan dalam memupuk kesetiaan kepada agama dan negara di samping menghormati pemimpin dan undang-undang. Selain itu, prinsip-prinsipnya juga menyemarakkan rasa hormat-menghormati dan menanam semangat perpaduan yang utuh  dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Jika  Rukun Negara ini dijiwai dengan sepenuhnya, sudah pasti dapat membentuk  generasi  yang punya nilai murni dan bersatu hati demi memelihara keharmonian.

 

Malaysia Madani

Masyarakat majmuk yang harmoni dalam Malaysia Madani akan mencari titik persamaan dan meraikan perbezaan serta menolak segala prejudis yang hanya membawa kerosakan kepada masyarakat dan negara. Sikap toleransi antara kaum dan agama ini mampu mewujudkan perpaduan yang merupakan benteng utuh menolak anti-Islam.

Muafakat dan perpaduan dalam kalangan rakyat turut menjadi gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau mahu supaya konsep tersebut dijadikan sebagai jalan ke hadapan untuk Malaysia serta masyarakatnya yang terdiri pelbagai kaum dan budaya. bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban. Ia berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Usaha mengukuhkan toleransi dan saling menghormati sesama masyarakat berbilang bangsa dan agama ini selari dengan saranan Islam. Nabi Muhammad SAW pula merupakan contoh terbaik dalam mempraktikkan ajaran ini dalam kehidupan seharian.

Antara contoh yang ditunjukkan Baginda adalah semasa peperangan Khaibar (629 Masehi). Para sahabat ketika itu menemukan beberapa naskah kitab Taurat, lalu Rasulullah SAW  menyuruh kitab-kitab tersebut dikembalikan kepada orang-orang Yahudi. Kisah ini menunjukkan kepekaan Nabi Muhammad SAW terhadap sensitiviti agama lain terutama yang berkaitan dengan sesuatu yang disucikan penganut agama tersebut.

Walaupun Nabi SAW mengetahui kitab-kitab tersebut bukan lagi asli, Baginda tidak meminta agar kitab tersebut dibakar atau dibuang, tetapi Baginda menyuruh mengembalikannya kepada pengikutnya demi menghormati kepercayaan mereka. Kisah ini menyeru kaum Muslimin agar menghormati agama lain dengan tidak menghina sembahan mereka atau merosakkan rumah ibadat mereka atau memperlekehkan sesuatu yang dianggap suci oleh mereka.

Justeru, mengukuhkan perpaduan dan toleransi adalah kunci utama menolak Islamofobia. Usaha perlu digembleng setiap anggota masyarakat dengan dokongan para pemimpin bagi memastikan muafakat dan perpaduan dalam kalangan rakyat terus kukuh bagi tujuan mencapai matlamat terasebut.