Profesor Madya Dr Nurul Aini Muhamed
Profesor Madya Dr Nurul Aini Muhamed Timbalan Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat (USIM)
Razman bin Ibrahim
Razman bin Ibrahim Penolong Pendaftar Pusat Wakaf dan Zakat

Kewujudan institusi sektor ekonomi ketiga amat penting dalam menyokong dan memastikan agar tiada golongan yang tertinggal dalam menikmati keperluan asas; meliputi keperluan makanan, tempat tinggal,  perlindungan, pendidikan dan kesihatan. Elemen-elemen ini adalah antara perkara asas dalam kehidupan manusia dalam memastikan taraf kehidupan individu yang sejahtera dalam masyarakat yang seimbang dan adil. Justeru, badan-badan berasaskan kebajikan perlulah berusaha menawarkan perkhidmatan mereka sebagai medium perantaraan antara golongan penyumbang dana dan penerima bantuan secara berstruktur dengan tadbir urus yang baik.

Sebagai sebuah pusat yang ditubuhkan bagi menyalurkan bantuan sosial di peringkat universiti, sudah tentu dokongan terhadap aspek kesejahteraan intelektual dan seterusnya penyediaan pendidikan yang berkualiti menjadi antara teras utama entiti sebegini. Ini bertepatan dengan semangat maqasid Syariah yang menekankan kepada pendidikan den perkembangan intelektual di kalangan setiap ahli masyarakat. Tiada golongan yang terpencil dan dinafikan untuk mendapatkan peluang pendidikan. Dengan cabaran dunia pendidikan dalam situasi pandemik hari ini, usaha penyediaan fasiliti, instrumen dan peranti pendidikan digital bagi pelajar kurang berkemampuan amat penting. Usaha ini perlu digerakkan dalam memastikan pelajar mendapat peluang pendidikan yang saksama, di samping membantu mengurangkan kebergantungan kepada pihak kerajaan

Usaha pengumpulan dana bagi tujuan pemberian komputer riba kepada pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang kurang berkemampuan telah bermula melalui aktiviti pendanaan awam sosial (social crowdfunding) secara manual dan menggunakan platform. Usaha penubuhan  projek Tabung Bantuan Komputer Riba Kepada Pelajar USIM melalui pendanaan awam di platform pendanaan awam JomInfaq (https://jominfaq.usim.edu.my/) telah dilakukan di peringkat Pusat Wakaf dan Zakat, USIM dengan kerjasama jabatan berkaitan pada akhir 2020.

Antara rakan-rakan kolaborasi yang memberi penajaan berbentuk komputer riba termasuklah Tabung Haji, YAPEIM, Yayasan Maghfirah, Yayasan Tunku Abdul Rahman (TAR), KDEB Waste Management Sdn. Bhd, ACER dan Atmosphire Mobile. Selain itu, projek ini turut berjaya mengumpul wang tunai hasil daripada platform pendanaan awam JomInfaq yang digunakan bagi pembelian laptop bagi tujuan ini. Proses pengagihan komputer riba telah dijalankan oleh tenaga kerja PWZ bermula dari Mac 2021 sehingga ke hari ini. Pengagihan telah dibuat secara berfasa kepada pelajar-pelajar yang memerlukan, terutamanya dari golongan B40 di semua fakulti, meliputi kesemua negeri. Mod pengagihan dibuat bergantung kepada tahap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan, samaada pengagihan secara bersemuaka atau pun melalui kaedah pos.

Sumbangan berterusan dari pelbagai pihak sentiasa dihargai dalam memastikan kelestarian Tabung Bantuan Komputer Riba Kepada Pelajar USIM. Sesungguhnya semua berharap agar pelajar memperoleh manfaat dari pengajaran dan pembelajaran dalam norma baharu, dengan cabaran yang ada.