Prof. Madya Dr Wan Abdul Fattah Wan Ismail
Prof. Madya Dr Wan Abdul Fattah Wan IsmailProfesor Madya, Fakulti Syariah dan Undang-Undang

Ahlan wa sahlan yaa Ramadan (Selamat datang Ramadan). Kedatangan bulan Ramadan setiap tahun sememangnya dinanti-nantikan oleh mereka yang mengetahui kelebihan yang terdapat pada bulan ini. Orang-orang yang beriman tidak akan mensia-siakan kelebihan yang terdapat di dalam penghulu segala bulan ini walaupun sesaat. Mereka membuat pelbagai pengisian rohani yang dapat meningkatkan darjat keimanan mereka di sisi Allah SWT. Janji-janji Allah SWT yang sangat hebat melalui lisan Rasul-Nya, menyebabkan berlaku kerugian teramat sangat bagi mereka tidak merebut peluang keemasan di bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini.

Bulan Ramadan adalah bulan rahmat yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain. Pintu-pintu syurga dibuka, ditutup pula pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan yang selalu menggoda manusia dirantai. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datang bulan Ramadan, maka akan dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan akan dibelenggu syaitan-syaitan dengan rantai”. (Muttafaqun ‘Alaih).

Bulan Ramadan juga dikenali sebagai bulan keampunan yang mana pintu taubat dibuka seluas-luasnya pada bulan ini. Bukanlah bermakna taubat tidak diterima Allah SWT pada bulan lain, namun pintu keampunan pada bulan Ramadan tersangat istimewa yang tidak ditawarkan pada bulan-bulan lain. Sabda Rasulullah SAW: “Siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu”. (Muttafaqun ‘Alaih).

Allah SWT jadikan bulan Ramadan ini sebagai bulan berlumba-lumba untuk perbanyakan melakukan amalan sedekah. Bulan Ramadan bukan hanya bulan untuk kita duduk di tikar sejadah, sebalik mengambil peluang untuk memperbanyakkan sedekah walaupun dengan hanya sebiji tamar dan seteguk air untuk berbuka puasa. Rasulullah SAW tidak akan melepaskan peluang untuk bersedekah pada bulan Ramadan sepertimana dalam hadith yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari: “Adalah Nabi seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan”. Baginda SAW sangat menekankan kepada kita untuk perbanyakan amalan bersedekah khususnya pada bulan Ramadan kerana ganjarannya sangat hebat: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun”. (Al-Tirmizi).

Dengan berpuasa khususnya pada bulan Ramadan akan menyelamatkan kita daripada fitnah (cubaan) hidup di dunia dan lebih-lebih lagi apabila kita mengadap Allah SWT nanti. Harta merupakan fitnah, anak-anak merupakan fitnah dan banyak lagi perkara-perkara menjadi fitnah kepada kita. Fitnah di sini bermaksud harta dan ahli keluarga berkemungkinan akan menyebabkan kita ke syurga akan terhalang. Allah SWT berfirman dalam surah al-Taghabun ayat 15 maksudnya: “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian (fitnah), dan di sisi Allah jualah pahala yang besar”. Antara kaedah untuk menyelamatkan diri kita daripada fitnah-fitnah ini ialah dengan berpuasa khususnya di bulan Ramadan. Sayidina Umar ra. Pernah bertanya, siapakah di kalangan kamu yang pernah mendengar hadith berkaitan dengan fitnah, maka sayidina Huzaifah ra menjawab: Aku pernah mendengarnya, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Fitnah seseorang lelaki itu adalah keluarga, harta, anak dan juga jiran tetangganya. Maka fitnah-fitnah tersebut dapat dihapuskan melalui solat, puasa, sedekah dan amar makruf nahi mungkar.” (Mutafaq Alaih).

Terdapat banyak lagi janji-janji yang teramat istimewa secara khusus pada bulan Ramadan. Kerana itulah Rasulullah SAW sendiri bersungguh-sungguh memanfaatkan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan ibadat. Bukan setakat itu, Baginda SAW mengejutkan ahli keluarganya untuk turut melaksanakan qiamullail bersama-samanya. Kehebatan puasa di bulan Ramadan tidak dapat disangkal sehingga pahalanya pun menjadi rahsia di sisi Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sahih Muslim yang bermaksud: “Setiap amalan anak Adam, pahalanya akan digandakan sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya”.

Oleh kerana ganjaran begitu banyak menanti di bulan Ramadan, menyebabkan kedatangannya dinanti-nanti oleh orang-orang yang soleh. Maka janganlah kita lepaskan peluang keemasan di bulan Ramadan ini yang belum pasti untuk kita nikmati pada tahun-tahun yang mendatang. Susun jadual ibadat kita sebaik mungkin dan jangan dibiarkan ia berlalu begitu sahaja walaupun sesaat sepertimana telah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya, Wallahua’lam