Dr. Nadiah Ramlan
Dr. Nadiah RamlanPensyarah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Saat ini umat Islam telah pun berada dalam bulan yang sangat istimewa iaitu bulan Ramadan. Kedatangan bulan yang mulia ini sangat ditunggu-tunggu kerana segala amalan yang kita lakukan pada bulan ini akan diganjari dengan pahala berganda. Ramadan merupakan madrasah terbaik bagi umat Islam untuk memperbaiki segala kelemahan diri dan berazam menjadi hamba yang lebih tawadduk, lebih bersyukur, dan istiqamah.

Madrasah (Arab: مدرسة) merupakan perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud sekolah. Dalam bahasa Melayu, ia biasanya merujuk kepada suatu institusi pendidikan Islam yang menjurus kepada ilmu berlandaskan Al-Qur`an dan Sunnah.

Umat Islam sangat digalakkan untuk berbuat baik dan meningkatkan ibadah di bulan suci ini. Namun ianya bukanlah bermaksud di bulan-bulan lain kita tidak boleh melakukan kebaikan. Oleh kerana, bulan suci Ramadan sangat istimewa kerana Allah membuka segala pintu-pintu Syurga dan segala amalan baik yang dilakukan pada bulan ini akan diganjari dengan  pahala yang berlipat kali ganda . Maka, marilah kita bersama-sama mendirikan solat yang difardhukan serta melaksanakan solat-solat sunat seperti solat tarawih dan sebagainya serta meningkatkan ibadah-ibadah sunat seperti tadarrus Al-Qur`an, berzikir, bersedekah dan lain-lain lagi.

Selain itu, Allah juga memerintahkan semua umat manusia supaya menahan diri dari perilaku tercela, maksiat, perkara buruk, dan keji.

Seperti Firman Allah SWT Dalam Surah Al Ankabut, ayat 45 yang bermaksud:

“Bacalah Kitab (Al-Qur’an) yang telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan laksanakanlah salat. Sesungguhnya salat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan (ketahuilah) mengingat Allah (salat) itu lebih besar (keutamaannya dari ibadah yang lain). Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Keistimewaan dan keunikan bulan Ramadan banyak diperjelaskan dalam Al Quran dan juga hadis. Bagi umat Islam di seluruh dunia, bulan ini merupakan peluang terbaik untuk memperbaiki diri dari sudut rohaniah dan juga fizikal. Selain itu, memberi peluang kepada umat Islam untuk mempraktiskan konsep Hablum Minallah (hubungan manusia dengan Sang Pencipta), Hablum Minannas (hubungan antara individu) mahupun Hablum Minal ‘Alam (hubungan manusia dengan alam) dengan bersungguh-sungguh. Ketiga-tiga konsep ini saling berkait dan berkesinambungan dalam usaha mendapatkan redha dari Allah SWT.

Dari Abu Hurairah Ra bahwasanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan atas dasar iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR. Bukhari no. 38 dan Muslim No. 860).

Diantara hikmah lain dari madrasah Ramadan ini, kita dapat membentuk peribadi muslim, sentiasa bersabar dalam segala ujian mahupun cabaran hidup, bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah serta mengambil berat golongan yang kurang berkemampuan. Dari konteks keibubapaan pula, sebagai ibubapa kita dapat melatih anak-anak kita lebih berdisiplin, sabar, sentiasa bersyukur, dan patuh kepada segala perintah Allah SWT. Hikmah terbesar dari madrasah Ramadan ialah, kita mampu menzahirkan peribadi Muslim yang bertakwa dan memupuk sifat-sifat yang paling mulia di sisi Allah SWT.

Seperti dalam firman-Nya  bermaksud: “Wahai  orang-orang yang  beriman,  diwajibkan ke  atas  kamu  berpuasa  sebagaimana diwajibkan  ke  atas orang yang  terdahulu daripada  kamu, mudah-mudahan  kamu  bertakwa.” (Surah al Baqarah: 183)

Tambahan pula, dalam konteks ibrah dari bulan Ramadan, secara tidak langsung sifat Takwa  itu  akan tertanam dalam diri sendiri seterusnya diterjemahkan dengan memiliki keperibadian mulia, kesopanan, serta akhlak yang luhur. Takwa merupakan  tunjang dan asas  kepada  ajaran Islam. Dengan itu, bulan Ramadan adalah platform terbaik untuk kita memperbaiki diri bukan sahaja dari aspek fizikal malah yang paling utama adalah aspek rohani dan  juga spiritual.

Selain itu, Allah SWT  juga telah memberi  jaminan  dan  pengharapan  supaya menjadi orang  bertakwa.

Ertinya: “Barangsiapa yang berusaha menjaga diri, maka Allah menjaganya, barangsiapa yang berusaha merasa cukup, maka Allah mencukupinya. Barangsiapa yang berusaha bersabar, maka Allah akan menjadikannya bisa bersabar dan tidak ada seorang pun yang dianugerahi sesuatu yang melebihi kesabaran.” (HR Bukhari No 1469)

Puasa merupakan peluang terbaik bagi seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan cara meninggalkan apa-apa yang dicintai oleh jiwa dan nafsunya samada makanan, minuman maupun hubungan kelamin. Dari situ terzahirnya tingkat tertingginampak keimanan seorang hamba, kesempurnaan penghambaannya, serta kecintaannya kepada Tuhan-nya dan pengharapannya kepada Pencipta-Nya.

Ini kerana tanpa ketakwaan yang tinggi seseorang tidak akan mampu meninggalkan apa-apa yang dicintainya sebelum ini. Kerana itu seorang muslim, hendaklah berusaha  meneladani hikmah dari berpuasa demi menjadikan mereka hamba Allah yang soleh dan solehah. Selain itu, melalui Ramadan kita dilatih untuk berjihad iaitu Jihad menahan lapar dari makan dan minum, jihad menurunkan hawa nafsu dan jihad menundukkan pandangan. Melalui jihad ini, tingkat ketakwaan kita terhadap Allah SWT akan lebih meningkat seterusnya menjadikan kita hamba yang lebih tawaddu`.

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (QS. Al-Baqarah: 183).

Hingga ayat,

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِين

Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin.” (QS. Al-Baqarah: 184).

Akhir kalam, ayuhlah kita sama-sama menggapai mardatillah (keredhaan Allah) dan berusaha mendapat malam Lailatulqadar serta melatih diri kita untuk menjadi hamba yang senantiasa tawaddu` dalam melaksanakan apa-apa pekerjaan di muka bumi ini. Mog akita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertakwa dan sentiasa mendapat redha dan Rahmat Allah SWT . Wallahu a’lam