Dr Abdul Rashid Abdul Aziz
Dr Abdul Rashid Abdul AzizPensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Hari Raya Aidiladha yang dikenali sebagai Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji, merupakan salah satu perayaan terpenting dalam kalendar Islam. Ia disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun, bersempena dengan ibadah haji yang dilaksanakan oleh umat Islam di Tanah Suci Mekah. Di sebalik kemeriahan sambutan ini, terdapat pengajaran besar yang terkandung dalam peristiwa sejarah, iaitu kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya, Nabi Ismail a.s. Kisah ini bukan sekadar cerita, malah menjadi asas dalam membentuk nilai keimanan dan keikhlasan dalam membina jati diri umat Islam.

Peristiwa pengorbanan ini bermula apabila Nabi Ibrahim a.s. mendapat wahyu dalam mimpinya untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s., sebagai satu bentuk ketaatan kepada Allah SWT. Tanpa ragu, beliau bersedia melaksanakannya. Nabi Ismail pula, walaupun masih muda, menunjukkan keimanan yang luar biasa dengan rela hati menerima perintah tersebut. Namun, sebagai tanda kasih dan rahmat Allah, sembelihan tersebut digantikan dengan seekor kibas. Peristiwa ini menggambarkan ketundukan mutlak hamba kepada Allah serta keikhlasan dalam menerima takdir dan perintah Ilahi.

Dalam Surah As-Saffat, ayat 102 hingga 107, Allah SWT menceritakan peristiwa ini dengan jelas:

“Maka ketika anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pandanganmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” (QS As-Saffat: 102)

“Maka ketika keduanya berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya, Kami menyerunya: Wahai Ibrahim, engkau telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.” (QS As-Saffat: 104-105)

“Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.” (QS As-Saffat: 107)

Penghayatan Terhadap Pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail

Penghayatan terhadap kisah ini membawa mesej penting dalam kehidupan moden. Pertama, ia mengajarkan nilai pengorbanan dan kesabaran serta menyerah kepada Allah dalam merempuh dan membina kehidupan seharian. Dalam konteks hari ini, pengorbanan bukan semata-mata menyembelih haiwan, tetapi juga merangkumi kesanggupan untuk mengorbankan masa, tenaga, harta, dan kepentingan peribadi demi kebaikan bersama. Pengorbanan tersebut sama ada dalam keluarga, masyarakat, atau negara. Sebagai contoh, ibu bapa berkorban demi pendidikan dan kebajikan anak-anak. Manakala petugas barisan hadapan pula sanggup menggadai keselamatan diri demi kesejahteraan rakyat. Begitu juga kaki tangan yang bertugas sanggup mengorbankan keperluan sendiri demi tugas.

Selain itu, kisah ini mengajar kita tentang keikhlasan dan ketaatan. Dalam dunia yang penuh cabaran dan godaan, manusia mudah tergelincir daripada prinsip hidup yang murni. Namun, kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mengingatkan kita bahawa apa sahaja yang dilakukan, haruslah disandarkan kepada keikhlasan dan keimanan kepada Allah. Ia juga menyedarkan kita bahawa setiap ujian adalah peluang untuk membuktikan keimanan, bukan beban semata-mata yang membuatkan kita lemah dalam menghadapi cabaran masa kini.

Aidiladha juga menyemai semangat kepedulian sosial. Ibadah korban yang dilaksanakan bertujuan untuk diagihkan kepada golongan miskin dan memerlukan. Ini menunjukkan bahawa pengorbanan juga merangkumi aspek empati dan kebajikan sosial. Dalam masyarakat moden yang sering kali mementingkan diri sendiri, semangat ini amat relevan untuk membina masyarakat yang lebih penyayang dan prihatin.

Aplikasi Pengorbanan dalam Kehidupan Semasa

Dalam kehidupan seharian, nilai pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail boleh diaplikasikan dalam pelbagai aspek. Dalam konteks keluarga, ibu bapa berkorban masa dan tenaga serta wang ringgit untuk memastikan kebahagiaan, kejayaan dan kesejahteraan anak-anak. Mereka bekerja keras siang dan malam untuk menyedia dan melengkapkan keperluan hidup dan memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak. Begitu juga, anak-anak perlu menghargai pengorbanan ibu bapa dengan menunjukkan rasa hormat dan berusaha untuk berjaya dalam kehidupan.

Dalam konteks masyarakat, pengorbanan boleh dilihat dalam bentuk membantu mereka yang memerlukan, seperti golongan miskin, anak yatim, dan orang kurang upaya. Melalui aktiviti seperti menyumbang kepada tabung kebajikan, menjadi sukarelawan di rumah kebajikan, atau membantu jiran yang memerlukan, kita dapat menzahirkan semangat pengorbanan dalam kehidupan seharian.

Dalam konteks negara, pengorbanan boleh dilihat dalam bentuk kesetiaan kepada negara, menghormati undang-undang, dan berusaha untuk memajukan negara. Sebagai contoh, rakyat Malaysia boleh menunjukkan semangat pengorbanan dengan menjaga keharmonian antara kaum, menghormati perbezaan budaya, dan berusaha untuk mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang.

Dalam dunia moden yang penuh persaingan dan tekanan, kejayaan dalam bidang pekerjaan tidak hanya bergantung kepada kepandaian atau kemahiran teknikal semata-mata. Sebaliknya, kejayaan sering lahir daripada kesanggupan untuk berkorban, sama ada masa, tenaga, idea, emosi mahupun keselesaan diri, demi melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaiknya. Pengorbanan dalam kerjaya adalah cerminan dedikasi, integriti dan semangat jati diri seseorang yang ingin menyumbang secara bermakna kepada organisasi dan negara.

Ramai pekerja perlu mengorbankan masa bersama keluarga demi menunaikan tanggungjawab mereka. Contohnya, seorang doktor yang bertugas di hospital bekerja dalam syif panjang dan perlu berjaga malam demi menyelamatkan nyawa pesakit. Seorang jururawat pula berhadapan dengan tekanan mental dan fizikal yang tinggi tetapi tetap tabah berkhidmat, walaupun ketika musim perayaan. Ini adalah bentuk pengorbanan yang sangat besar dan tidak ternilai harganya.

Dalam dunia kerjaya yang menuntut kemajuan dan inovasi, pekerja yang cemerlang sentiasa bersedia menyumbang idea baharu walaupun berisiko menghadapi kritikan atau kegagalan. Mereka berkorban dengan mengambil risiko, mencuba pendekatan baharu, dan bekerja lebih masa untuk menyempurnakan projek. Seorang jurutera, misalnya, berusaha merancang sistem yang lebih cekap, walaupun perlu mengulangkaji dan belajar teknologi baharu. Inilah semangat pengorbanan intelektual demi kemajuan organisasi dan industri.

Pengorbanan dalam pekerjaan juga melibatkan kekuatan emosi. Seorang guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi turut menjadi pembimbing emosi kepada pelajarnya. Mereka bersabar menghadapi pelajar bermasalah, menyediakan bahan pembelajaran di luar waktu kerja, dan tetap bersemangat walaupun berhadapan dengan tekanan. Pekerja sosial pula perlu mendengar pelbagai kisah menyayat hati sambil tetap menunjukkan keteguhan peribadi.

Ketika berlaku bencana alam, wabak atau krisis negara, nilai pengorbanan dalam pekerjaan terserlah lebih jelas. Petugas barisan hadapan seperti pegawai perubatan, anggota polis, tentera dan pekerja kebajikan sanggup meninggalkan keselesaan demi membantu masyarakat. Mereka mungkin berhadapan dengan risiko jangkitan, kekurangan tidur, atau tekanan emosi yang tinggi – namun tetap berkhidmat kerana sedar tanggungjawab mereka kepada negara lebih besar daripada kepentingan peribadi.

Pengorbanan dalam kerjaya bukan hanya memberi impak kepada organisasi semata-mata, malah kepada kemajuan negara secara keseluruhan. Apabila setiap individu menjalankan tugas dengan dedikasi, produktiviti negara akan meningkat, kepercayaan rakyat kepada institusi awam terpelihara, dan masyarakat akan hidup dalam suasana yang lebih sejahtera. Inilah asas kepada pembangunan negara yang berteraskan nilai integriti dan semangat kolektif.

Kesimpulannya, sambutan Hari Raya Aidiladha bukan sekadar ritual tahunan, tetapi satu bentuk pendidikan rohani yang mendalam. Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mengajar masyarakat erti pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan yang sebenar dalam kehidupan terutama kehidupan moden pada hari ini. Apabila nilai-nilai ini diterapkan dalam kehidupan seharian, ia mampu melahirkan insan yang lebih bertanggungjawab, penyayang dan bertakwa. Justeru, masyarakat perlu menghayati makna sebenar Aidiladha dan mengaplikasikan semangat pengorbanan dalam kehidupan demi kesejahteraan dunia dan akhirat.