Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak
Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Agenda kelestarian ataupun pembangunan lestari mula diperkenalkan sebagai konsep pada 1987, yakni tiga dekad lepas apabila dunia pada waktu itu bimbang dan gusar dengan berlakunya kemusnahan alam sekitar secara berleluasa. Sejak dari itu berbagai program, persidangan serta tindakan dilakukan tanpa henti dipelusuk dunia bagi menangani gejala tersebut secara menyeluruh. Misalnya, antara tahun 2000 hingga 2015 diperkenalkan satu gerak kerja dikenali sebagai Matlamat Pembangunan Alaf (Millennium Development Goals MDGs) untuk disasarkan oleh dunia sejagat melalui anjuran Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Kemudian, bermula dari 2005 hingga 2014 diperkenalkan pula Dekad PBB berkaitan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (UNDESD) dalam memberi sokongan padu bagi menepati lagi matlamat MDGs.

Matlamat Pembangunan Lestari

Ekoran daripada itu, apabila tamatnya MDGs pada 2015, adalah dirasakan perlu suatu tindakan susulan yang berterusan kerana masih banyak lagi sasaran MDGs belum tercapai dengan sempurnanya. ‎Contoh, dua matlamat utama untuk mengurangkan kemiskinan serta kelaparan pada peringkat dunia sejagat masih jauh tercicir secara umumnya. Oleh demikian, satu program baru dilancarkan pada akhir tahun 2015 sebagai menyambut berakhirnya MDGs dan diikuti pula dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals; SDGs) bermula tahun 2016 hingga 2030. Sedangkan MDGs mempunyai hanya 8 sasaran utama, SDGs ada 17 – menandakan bahawa masalah yang hendak diselesaikan adalah lebih rumit dan berangkai-rangkai pula (rujuk rajah di bawah).

Maksudnya bagi setiap satu masalah itu tidak akan dapat diselesaikan jika beberapa permasalahan lain berkaitan tidak diselesaikan terlebih dahulu. Apatah lagi jika ia tiada kena mengena kepada satu lagi agenda berasingan, umpamanya Revolusi Industri Ke-4 (RI4) dengan SDGs? Misalnya SDG8 (Kerja yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi) dan SDG9 (Inovasi dan Infrastruktur). Mahu tidak mahu, satu akan menpengaruhi yang satu lagi baik jangkamasa terdekat apa lagi yang lebih panjang.

Sebelum itu, elok jika kita cuba memahami dengan lebih teliti apa yang dimaksudkan dengan SDGs kerana sifatnya yang agak menyeluruh dan meliputi banyak aspek hidup sepertimana terlihat pada rajah diatas. Sepertimana dikatakan tadi, ianya merupakan kesinambungan kepada program MDGs yang telah berlalu.

Ini disempurkan di New York dan diterima baik oleh para anggota PBB serta ketua-ketua negara yang hadir ketika itu, termasuklah Malaysia. Dengan kata lain, Malaysia turut bertanggungjawab menentukan pencapaiannya menjelang tahun 2030 terutama dalam usaha menyempurnakan matlamat yang tercicir seperti kemiskinan serta kelaparan. Maka terdapatlah beberapa matlamat bertindih; misalnya empat matlamat utama SDGs juga mensasarkan kemiskinan serta kelaparan selain dari hal-hal kesihatan dan pendidikan. Dan setiap satu sasaran tersebut dipecahkan pula kepada sasaran kecil. Sebagai contoh: SDG4 (Pendidikan Berkualiti) mempunyai 10 sasaran-sasaran kecil. Lima antaranya:

4.1. Menjelang 2030, pastikan semua lelaki dan perempuan selesai pendidikan rendah dan menengah secara menyeluruh, percuma, saksama dan bermutu mengarah kepada kecapaian pembelanjaran yang relevan serta berkesan.

4.2. Menjelang 2030, pastikan semua lelaki dan perempuan memperoleh pendidikan awal pertumbuhan kanak-kanak yang berkualiti, penjagaan serta pendidikan peringkat pra-rendah agar bersedia untuk pendidikan rendah.

4.3. Menjelang 2030, pastikan kesemua lelaki dan perempuan dewasa memperoleh pendidikan teknikal, vokasional dan tertiari yang berkualiti & termampu, termasuk universiti.

4.4. Menjelang 2030, terdapat penambahan munasabah bilangan remaja dan dewasa yang mempunyai kemahiran relevan, termasuk teknikal dan vokasional, untuk pekerjaan, kerja-kerja yang baik serta keusahawan.

4.5. Menjelang 2030, jurang pendidikan antara jantina dihapuskan dan memastikan tercapai ke pelbagai peringkat pendidikan serta latihan vokasional untuk yang tersisih, termasuk mereka yang kelainan upaya, orang asal dan kanak-kanak yang memperlukan.
Bukan itu saja, kesemua sasaran-sasaran kecil ini berkaitan pula antara satu sama lain. Begitulah teliti dan rumitnya permasalahan yang perlu diselesaikan.

Kedudukan RI4

Berpaksikan perspektif ini soalan yang sama wajar diajukan juga apabila membicarakan tentang RI4. Yakni bagaimana RI4 dapat menyelesaikan SDG4 seperti yang tertera diatas dan selanjutnya termasuk 16 sasaran‎ SDGs yang lain. Umpamanya bagaimana ia menyelesaikan soal-soal kemiskinan atau kebuluran.

Ataupun apakah kekusutan yang bakal berlaku memandangkan mendapat pekerjaaan yang baik akan menjadi lebih sukar akibat dari sistem automasi dan ekoran itu memburukkan lagi kedudukan kemiskinan dan kebuluran bagi mereka yang terlibat. Pendeknya, sasaran RI4 dan SDGs sewajarnya tidak bertembung antara satu sama lain. Sebaiknya saling membantu. Jika tidak, perlu diadakan penyelarasan dan memberi keutamaan yang sesuai. Apatah lagi jika dilihat kepada SDG16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kuat), sedangkan kita kini maklum bahawa RI4 juga berupaya memporak-peranda masyarakat melalui penggunaan peranti automasi seperti robot dan sebagainya, khususnya untuk melakukan serangan tertentu. Lantas itu, amat penting sekali agar hal-hal seumpama ini diberi perhatian seteliti mungkin sebelum sesuatu keputusan dicapai untuk melaksanakan RI4 dan SDGs sekaligus. Agar kesan yang sebaik mungkin boleh dinikmati sepertimana yang diharapkan.

Apa yang agak aneh dalam pertimbangan ini adalah sambutan yang diberikan kepada kedua-dua program ini. Diperingkat dunia, PBB memberi penekanan yang amat berat kepada semua negara anggota agar menyambut baik usaha melaksanakan SDGs tatkala ia dirasmikan pada awal 2016. Sungguhpun begitu, di peringkat negara sambutannya agak dingin. Malah tidak ketara sama sekali jika dibandingkan dengan sambutan yang diberikan kepada program RI4.

Walaupun tarikh pelancaran yang hampir sama, namun Malaysia nampaknya lebih mengalu-alu saranan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos pada Januari 2016. Hal ini jelas apabila RI4 tidak putus-putus diperkatakan dalam ucapan-ucapan rasmi meliputi semua sektor – pendidikan, industri, kesihatan dan sebagainya. Disamping itu, berbagai wacana, kursus dan seminar diadakan rata-rata untuk menyambut baik saranan RI4 tersebut, tanpa mengimbau langsung aspek SDGs dan impaknya seperti yang dibincangkan terdahulu. Dengan kata lain, keterangan lebih terperinci serta mendalam masih tidak diketengahkan untuk pertimbangan yang lebih tepat. Apapun, di peringkat antarabangsa keadaannya begitu terbalik sekali – selain dari pengumuman yang diuar-uarkan di Davos, tidak ada lagi majlis besar-besaran anjuran PBB diadakan sejajar dengan SDGs. Pendek kata, RI4 tidak mendapat desakan setaraf dengan kelangsungan SDGs di peringkat antarabangsa.

Kesimpulan

Terdapat perbezaan ketara di antara populariti yang diraih oleh RI4 di Malaysia walaupun pengisian diberi begitu terhad, berbanding dengan apa yang dicakupi oleh SDGs melalui 17 matlamatnya yang lebih lestari dalam menyelesaikan masalah dunia akan datang. Sama ada RI4 itu sebuah agenda yang lestari secara persendiriannya merupakan satu lagi persoalan yang amat diragukan. Sekiranya ia tidak lestari sama sekali atau mendatangkan lebih banyak permasalahan, maka pertimbangan diberikan untuk melaksanakan RI4 perlu diperjelaskan lagi. Malaysia wajar berhati-hati dalam membuat apa saja keputusan, juga berjaga-jaga apabila mengambil langkah untuk melaksanakannya agar tidak tersasar jauh dari apa yang diharapkan dan mengambil kira kesan pada masa akan datang.

Artikel ini telah diterbitkan oleh majalahsains.com pada 12 Mac 2018.

Nota – Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) serta mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: dzulrazak51@gmail.com