Penulis pernah menerima kes dari seorang teman yang mengadu tentang seorang anak yang sukar mendengar kata. Walaupun berada di menara ilmu, namun si anak menunjukkan sikap memberontak hingga bertindak di luar batas susila agama. Kini si anak sudah mula mewarnakan rambut dan tidak menunaikan kewajipan apabila pulang ke rumah. Tapi di kampus dia akan menjaga semua peraturan dan adab etika mahasiswi. Saya bertanya kepada si bapa barangkali anak ini cuba menarik perhatian ibu ayah dengan caranya. Ya, boleh jadi juga jiwa anak muda awal 20-an reaksinya sukar dibaca apatah lagi sememangnya anak-anak adalah tempat ujian bagi orang tuanya. Maksud firman Allah “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu”. Surah al-Taghabun ayat 15. Dalam Tafsir al-Maraghiy memperincikan ayat ini dengan memperingatkan kepada ibu ayah bahawa berhati-hati dengan dua perkara iaitu harta dan cahayamata. Acapkali ia menjadi asbab kepada dosa dan pelanggaran hukum-hukum Allah.
Tujuan penulis bertanya adalah untuk mencari idea bagaimana ingin membaca keadaan rumahtangga kenalan ini. Pengalaman 18 tahun sebagai pegawai Hal Ehwal Agama di IPTA sebelum ini sedikit sebanyak memberi ruang kepada penulis untuk berkongsi tips berkaitan anak muda. Biarpun tanggapan bahawa remaja sukar dididik atau mendengar kata namun agama Islam tidak mengajar umatnya berputus asa. Tadabbur surah Yusuf ayat 87 itu penuh saripati untuk mengajak manusia jangan ada istilah ‘give-up’ dalam kamus kehidupan. Oleh itu seni dalam melentur nilai akhlaqiyyah anak muda memerlukan kemahiran, kreativiti dan informasi semasa. Selain itu, petua penulis kepada si ayah ialah resepi rumahtangga kita hanya kita sahaja yang tahu berapa kadar sukatan yang diperlukan untuk menjadikan seisi keluarga itu mengikut acuan mawaddah wa rahmah.
Isu akhlak remaja dalam keluarga tidak boleh dipandang ringan kerana mereka adalah aset masa depan negara, maruah agama dan bangsa. Tunjukkan kematangan sebagai orang tua dalam hierarki keluarga. Hal ini menuntut kepada pengorbanan yang besar apatah lagi anak-anak bukan lagi kategori ‘rebung’ untuk dilentur. Keegoan ibu ayah, sifat keakuan, kata-kata angkuh syurga di bawah tapak kaki mak, aku lebih dulu makan garam dan lain-lainnya perlu dikat tepi dahulu, jangan disimpul mati. Maka antara resepi yang penulis sempat kongsikan dengan kenalan ini pun mungkin biasa sahaja bagi kebanyakan kita tapi luar biasa bagi yang tidak pernah mengalami situasi seperti di atas.
- Kerapkan mencuri hati anak-anak. Bukan mencuri perhatian kerana mencuri hati lebih payah jika berhadapan dengan anak remaja yang menunjukkan reaksi bosan dengan ibu ayah. Mulakan dengan langkah respon topik apa sahaja yang dibualkan oleh mereka. Walaupun antara adik beradik bersembang cuba curi-curi menyampuk dengan nada berseloroh, melawak atau bergurau. Tujuannya untuk mencuri hati mereka yang si ibu si ayah peka dengan dunia mereka, cakna dan dari situ bermula perkongsian cerita. Biar sedikit-sedikit asalkan kerap. Guna nada santai bukannya mengherdik apa lagi mengandai-andai yang buruk dan dengan menggunakan istilah-istilah remaja hari ini yang masih boleh diterima oleh budaya dan agama. Penulis juga kadang-kadang menggunakan istilah “bro” untuk menegur tingkah laku anak yang kurang enak. Rasa canggung juga mula-mula.
- Bawa pulang buah tangan. Yang ini jarang diamalkan. Mungkin ada yang menduga perlu membeli banyak tapi sebenarnya tidak. Adakalanya membeli sebotol air 2 liter dan si ayah atau si ibu tuangkan dalam cawan anak-anak sudah memadai. Beri cawan yang terisi dengan air dengan tangan dan anak akan sambut dengan tangan juga. Bukan sekadar diletak atas meja. Resepi ini bertujuan menimbulkan semula kasih yang terbenam sekian lama dalam lumpur kesibukan yang membawa haluan masing-masing. Walaupun ringan tetapi bagi keluarga dalam situasi di atas ia adalah seni baru untuk proses menjinakkan anak remaja. Jangan berhenti untuk seketika dan teruskan hingga suatu hari kelak ibu ayah akan dapat kesempatan menyuap makanan ke mulut mereka. Tahap tertinggi ini adalah buah hasil semaian dari baja kesabaran. Mungkin berbulan, bertahun lamanya. Perlu diingatkan buah yang paling berharga ialah si anak ini nanti akan menyuapkan manisan misalnya kepada ibu ayah. Saat ini air mata akan bergenang kerana ‘Qurratu A’yun’ iaitu penyejuk mata yang didoakan selalu telah diperkenankan Allah.
- Pasang zikir, selawat dan doa-doa di rumah pada waktu pagi. Keberkatan pagi pernah didoakan khusus oleh Nabi. Dalam sebuah hadis daripada Shakhr al-Ghamidi, Nabi bersabda, “Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu paginya.” Hadis Riwayat Abu Daud. Suasana alunan itu tidak perlu kuat dan dipasang sayup-sayup sahaja kedengaran di ruang rumah. Tidak harus juga berterusan hingga mengganggu perbualan antara ahli keluarga. Anak remaja yang kategori liat tadi akan mula pagi hari mereka dengan halwa telinga yang mendamaikan. Selagi mereka tidak membentak itu bermakna jiwa remaja anak-anak tadi boleh dimiliki. Namun yang paling afdhalnya ialah ibu ayah yang membaca al-Quran dalam rumah dengan suara yang dapat di dengar oleh anak-anak. Apa jua alasan untuk tidak membaca kerana gagap, tidak lancar, masih merangkak membaca adalah helah semata-mata. Baca sahaja surah apa yang sederhana panjang contohnya surah Yasin, surah-surah lazim atau boleh juga membaca pendek yang diulang-ulang. Padahal suara ibu ayah mengalunkan bacaan al-Quran tadi adalah peluru yang boleh menembusi kejahatan yang bersarang dalam rumahtangga. Hal ini menjamin keberkatan yang Allah sahaja akan menganugerahkannya kepada seisi keluarga.
- Mulakan mesej bertanya khabar. Wujudkan kemesraan yang jarang-jarang dirasakan oleh anak remaja atau barangkali sudah tidak wujud akibat kealpaan masa silam dalam mengejar impian kerjaya. Mesra dengan anak remaja bukan sekadar bercakap tetapi bertanya khabar dan meninggalkan pesanan suara yang ringkas sudah mencukupi. Contohnya seminggu tiga hari mesej dihantar dengan doa, “ayah dan ibu doakan semoga along dimudahkan menuntut ilmu”. Pada peringkat ini jangan mengharap anak-anak yang sudah jauh hatinya dengan ibu ayah akan mendapat respon. Beri masa kepada mereka. Sekurang-kurangnya remaja tadi akan membuka mesej yang ada nama ibu ayahnya. Oleh itu penting ibu ayah tetapkan gambar peribadi di aplikasi chat ‘whatsapp’ misalnya dengan gambar kenangan bersama keluarga atau muka ibu ayah sendiri. Elakkan mengguna imej kemewahan seperti rumah, kereta dan pakaian berjenama kerana anak akan tetap menganggap ibubapa adalah insan yang sibuk mengejar kekayaan dan menyebabkan remaja semakin menjauhkan diri.
Demikianlah antara tips dan modal yang sempat penulis titipkan agar isu anak remaja tawar hati dengan ibu ayah ini tidak berlanjutan. Bukan lagi menyalahkan si suami juga si isteri tetapi demi keluarga dan hubungan anak-anak maka tutuplah kisah lama. Lebih malang lagi kemelut rumahtangga dibiarkan membarah dan tidak ada kesudahan menyalahkan antara satu sama lain. Kemuliaan ibu ayah tidak akan luntur sedikit pun dengan salah seorang mengalah dan mulakan membuat perubahan. Sebagaimana dalam kitab Tarbiyatul Aulad tulisan karya Dr. Abdullah Nasih Ulwan menggariskan beberapa aspek yang dapat mencorak peribadi anak memerlukan persediaan daripada aspek fizikal, mental, dan psikologi ibu bapa. Penulis titipkan kepada kenalan di akhir perbualan agar kerap merayu kepada Rabbul Jalil dalam sujud. Mudah-mudahan bahawa suatu hari kelak akan ada sinar cahaya dalam keluarga ini.