Dewasa ini, perkembangan teknologi yang semakin berkembang pantas hari demi hari memberi impak terhadap aspek sosial, psikologi, dan juga sosio ekonomi sesuatu bangsa. Realitinya, jika penggunaan teknologi ini digunakan dengan cara yang betul dan telus, impaknya sangat positif dalam membantu serta mempercepatkan tugasan harian kita. Dalam pada itu, kemudahan teknologi ini juga dapat membangunkan jati diri serta ilmu sesuatu masyarakat dengan syarat perlu digunakan dengan panduan yang betul. Namun, jika sebaliknya, pelbagai masalah akan timbul asbab dari penyalahgunaan teknologi.
Selain itu, teknologi bukan sahaja merupakan salah satu platform perkembangan ilmu dan penyebaran maklumat. Tetapi ianya juga menjadi pemangkin dalam usaha penyebaran dakwah melalui pelbagai medium yang disediakan. Contohnya aplikasi internet, drama, filem dan iklan, aplikasi, animasi, radio, televisyen serta banyak lagi software terkini yang terlalu mudah untuk dicapai dengan hanya dihujung jari. Bagi aspek, pembentukan jiwa anak-anak dengan nilai-nilai Islamik pula, pelbagai pihak perlu mengembleng tenaga bagi mendapat impak yang positif terutamanya dari aspek sahsiah kanak-kanak itu sendiri.
Oleh yang demikian, dapat dilihat peranan ibubapa sangat penting untuk mengawal apa sahaja medium teknologi yang ditonton oleh anak-anak. Anak-anak mungkin mudah terpengaruh dengan apa yang ditayangkan di media massa terutamanya yang berunsurkan animasi atau cartoon. Justeru itu, ia merupakan peranan terbesar dan cabaran yang harus didepani oleh golongan ibubapa. Disamping itu, peluang dan peranan para pendakwah teknologi bagi menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing untuk memikul dan melaksanakan tanggungjawab menyebarkan dakwah. Di sinilah pentingnya ruang dan kepakaran itu dimanfaatkan bagi mengajak masyarakat sama-sama melakukan kebaikan dan menjauhi segala kemungkaran.
Hal tersebut sesuai dengan firman Allah SWT dalam al-Qur’an:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
Ertinya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar; mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (QS. Ali Imran: 104)
Justeru itu, apa yang perlu diterapkan dalam pembangunan sahsiah anak-anak kecil adalah penghasilan drama, filem dan iklan memerlukan tenaga tunjang iaitu pengarah, penerbit dan penulis skrip yang memahami dan mementingkan aspek ajaran Islam dan nilai-nilai murni dalam setiap produk mereka. Daripada sini bermulanya pendidikan secara tidak langsung kepada masyarakat terutama golongan kanak-kanak yang sangat mudah untuk terpengaruh denga apa yang ditonton. Ini juga sebagai satu alternatif lain untuk mewujudkan kepelbagaian bahan tontonan mereka.
Kewujudan pelbagai genre dalam animasi kanak-kanak yang bukan berunsurkan Islamik adalah sangat membimbangkan. Industri di negara kita masih kekurangan dan memerlukan lebih banyak animasi bercorak Islam yang mewarnai dunia hiburan kanak-kanak supaya mereka terdidik dengan ajaran Islam yang sebenar dengan cara lebih menarik.
Bukan setakat kualiti maklumat yang disalurkan dalam animasi itu dipentingkan, malah ia satu cabang dakwah yang berkesan untuk menambat hati generasi muda dan kanak-kanak. Itulah elemen yang mampu disuntik dalam kerangka pembangunan jiwa ummah bagi golongan teknodaei yang tercari-cari peluang dan ruang yang mudah untuk mendekati masyarakat.
Dominasi media elektronik juga perlu diperbanyakkan dengan pengamal, peneraju, pembikin dan penyampai yang berkualiti dari aspek sahsiah dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap dakwah. Dari sini, akan lahir produk yang pengetahuan dan pengajaran Islam untuk dihidangkan kepada masyarakat.
Berdakwah tidak hanya terhad dengan cara yang membabitkan pendengar atau penonton, tetapi kalangan pembaca juga perlu diambil kira. Sastera dan novel mampu dijadikan alat dakwah dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat supaya memahami Islam secara menyeluruh
ٱ دۡعُ إِلَىٰ سَبِیلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِی هِیَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِیلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِینَ ﴿ ١٢٥ ﴾
“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Surah An-Nahl ayat : 125
Dalam Surah al-Tahrim, ayat 6, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka.”
Ayat itu menjelaskan ibu bapa perlu menitikberatkan hal berkaitan asuhan, bimbingan serta pendidikan yang terbaik untuk anak-anak. Dalam pembinaan sesuatu animasi atau produk multimedia, pembangun perlu jelas tentang objektif dan matlamat serta objektif sesuatu animasi itu dihasilkan. Akhir kata, para penerbit disarankan untuk membangunkan lebih banyak animasi Islamik bagi megisi kelompongan dalam aspek nilai-nilai murni dan amalan baik terutamanya kepada golongan kanak-kanak. Semoga dengan peningkatan penghasilan animasi Islamik ini dapat mengurangkan masalah sosial dan yang berkaitan.