Dr Abdul Rashid Abdul Aziz
Dr Abdul Rashid Abdul AzizPensyarah, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Kes penderaan bayi dan kanak-kanak seringkali berlaku disebabkan perlakuan kejam dan tidak berperikemanusiaan mahupun kecuaian yang berlaku daripada pihak pengasuh. Rentetan itu, pelbagai kes kecuaian dan keganasan pengasuh telah memberi kesan takut, stres, risau, sedih dan trauma pada ibu bapa yang bekerja dan meletakkan anak di bawah jagaan pengasuh. Hal ini mengundang rasa susah hati dan tidak tenteram bagi ibu bapa di tempat kerja sekali gus membawa impak negatif kepada reputasi kerja. Oleh itu, pentingnya pada peringkat awal kesedaran dan sikap berwaspada ibu bapa dalam memilih pengasuh dan sentiasa membuat pemerhatian terperinci terhadap anak-anak setelah diambil dari rumah pengasuh. Hal ini perlu dilakukan dan tidak boleh dipandang remeh untuk mengenal pasti sebarang perbuatan dera dan pencabulan yang dilakukan. Kes kematian bayi terjatuh di rumah pengasuh disebabkan kecuaian juga merupakan isu penderaan yang perlu diambil berat oleh golongan ibu bapa. Kehilangan anak tersayang dalam sekelip mata merupakan suatu perkara yang amat berat untuk diterima malah tragedi ini dirasakan amat menyayat hati bagi mereka yang mengalaminya. Justeru sebagai langkah pencegahan, penulisan ini akan mengupas beberapa tip khusus untuk para ibu bapa jadikan panduan dalam pemilihan pengasuh ataupun sesiapa sahaja yang mengambil alih tugas menjaga anak seperti pemandu kenderaan ke sekolah mahupun tenaga pengajar peribadi dirumah.

Seperti mana yang diketahui, kes dera dan kecuaian ini bukan sahaja berlaku membabitkan pengasuh malah ia turut melibatkan orang terdekat yang terdapat di tempat asuhan seperti ahli keluarga pengasuh, teman lelaki, budak asuhan yang lain, saudara-mara, dan jiran tetangga sama ada perkara ini diketahui atau di luar pengetahuan pengasuh itu sendiri. Oleh itu para ibu-bapa perlu cakna dan sekiranya langkah berhati-hati (pre-caution) ini diambil, perkara buruk dapat dicegah daripada berlaku ke atas anak kesayangan anda. Isu pemilihan pengasuh yang betul dan tepat perlu dititikberatkan. Hal ini tidak boleh dipandang enteng kerana kebanyakan kes kematian, pencabulan dan dera yang berlaku disebabkan kecuaian pengasuh yang gagal menggalas tanggungjawab sebagai pengasuh dengan baik.

Tip Pemilihan Pengasuh

Sehubungan itu, ibu bapa perlu faham dengan jelas bahawa “pengasuh” adalah merupakan orang yang ditugaskan untuk menjaga, mengawal-selia dan bertanggungjawab terhadap anak sepanjang ketiadaan ibu bapa yang bekerja atau ada urusan lain. Oleh itu, insan yang ditugaskan ini seharusnya faham bahawa amanah, harapan dan hasrat yang diberikan oleh ibu bapa untuk menjaga anak kesayangan mereka. Ibu bapa boleh memilih beberapa ciri pengasuh sama ada menghantar anak ke rumah pengasuh, pusat jagaan anak (day-care centre), pengasuh berada di rumah sendiri atau menggunakan khidmat orang gaji. Penetapan dan pemilihan pengasuh yang baik dapat dibahagikan kepada dua fasa iaitu sebelum dan selepas memilih pengasuh. Fasa sebelum pemilihan pengasuh dapat dibahagikan kepada tiga langkah pra pemilihan iaitu selidik dan tinjau pengasuh (survey), penilaian pengasuh (evaluation), serta pemilihan dan surat perjanjian.

 

Fasa Sebelum Pemilihan Pengasuh

Fasa 1: Fasa Selidik dan Tinjau Pengasuh

Fasa pertama iaitu selidik dan tinjau pengasuh (survey) ini perlu dilakukan dengan meninjau dan menyelidik pengasuh yang terdapat berdekatan kawasan rumah anda. Setelah dapat mengenal pasti beberapa senarai pengasuh, ibu bapa perlu mendapatkan maklumat ringkas daripada ibu bapa lain yang sedang atau pernah menghantar anak mereka ke rumah pengasuh tersebut. Misalnya dapatkan maklum balas dan informasi melalui persoalan berkisar jumlah anak asuhan yang diambil, cara dan gaya asuhan pengasuh, latarbelakang pengasuh dan keluarga serta testimoni (penilaian) ibu bapa berkenaan pengasuh yang diselidiki.

Fasa 2: Fasa Penilaian Pengasuh

Fasa kedua ini melibatkan penilaian pengasuh (evaluation) yang bermakna anda telah membuat senarai pendek pengasuh yang sesuai untuk anak anda. Oleh itu, mulakan dengan mengatur temujanji. Temujanji sebaiknya dibuat pada hari cuti. Hal ini bertujuan untuk memudahkan anda berkenalan, berbual, dan menjalankan tinjauan. Nyatakan hasrat anda untuk mencari dan mendapatkan khidmat asuhan dan perlu melibatkan pihak suami untuk turut serta. Urusan keselamatan dan penjagaan anak adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu, pastikan suami terlibat dari awal kerana kehadiran kedua-dua pihak akan memberi persepsi yang positif, kekuatan, semangat, dan komitmen yang padu dalam mencari, memilih, dan menyerahkan tugas kepada pengasuh. Hal ini penting dalam memastikan kebajikan anak terjaga.

Fasa penilaian ini hendaklah dilakukan dengan berhati-hati ibarat pepatah Melayu ‘seperti menarik rambut di dalam tepung’, agar pengasuh tidak berasa ‘terancam’ dengan soalan-soalan yang ditanya oleh pihak ibu bapa. Proses penilaian ini perlu dikendalikan dalam keadaan santai, hormat dan berhemah. Justeru, beberapa soalan penting harus diajukan seperti;

1) Bertanyakan keadaan ruang rumah dan kawasan asuhan yang akan digunakan oleh pengasuh.

2) Mengenal pasti jumlah isi-rumah, ahli keluarga pengasuh, teman lelaki, atau pihak lain yang berada semasa pengasuh menjalankan kerja asuhan.

3) Komitmen dan tanggungjawab lain pengasuh misalnya adakah pengasuh mempunyai anak yang ramai, menjaga orang sakit, menjalankan perniagaan dalam talian (online), memasak untuk jumlah isi rumah yang ramai atau pekerjaan-pekerjaan lain yang dilakukan pengasuh.

4) Apakah bentuk pendekatan yang digunakan pengasuh dalam mengendalikan situasi jika anak meragam dan menangis.

5) Apakah tindakan pengasuh sekiranya berlaku kecemasan kepada anak asuhan yang melibatkan keadaan seperti bayi tersedak susu, kembung perut, menangis dalam tempoh masa yang panjang, bayi sakit dan sebagainya.

Sepanjang tempoh perbualan ini, ibu bapa perlu memerhati bahasa badan (body language) dan jawapan pengasuh serta aspek-aspek lain seperti pengasuh kelihatan terurus atau selekeh, imej yang bersih atau kotor, keadaan rumah yang teratur atau sebaliknya, aspek gaya, bahasa dan personaliti yang boleh mencerminkan sikap serta peribadi individu berkenaan.

Secara asasnya, pertanyaan dari soalan-soalan ini bertujuan untuk mengetahui beberapa perkara penting seperti komiten pengasuh kepada kerja lain, ruang tempat asuhan, gaya asuhan, keluarga pengasuh, kelulusan pendidikan, pengalaman dan kemahiran yang pengasuh miliki dalam menjalankan kerja asuhan serta memahami keperluan psikologi anak-anak asuhan mereka.

Fasa 3: Fasa Pemilihan dan Surat Perjanjian

Setelah melalui dua fasa di atas, fasa pemilihan dan surat perjanjian (agreement) perlu dibuat oleh ibu bapa. Fasa ini telah berada di fasa pemilihan (selection) yang mana ibu bapa telah mempunyai keputusan untuk memilih pengasuh yang bakal menjaga cahaya mata tersayang. Berdasarkan beberapa fasa yang telah dilakukan, pastinya pertimbangan yang terbaik dan bersesuaian seperti aspek personaliti pengasuh, kebolehpercayaan terhadap pengasuh, kredibiliti, jarak tempat asuhan, gaji dan faktor lain-lain yang menjadi pertimbangan anda untuk membuat pemilihan pengasuh yang tepat.

Fasa ini memerlukan pihak ibu bapa untuk menyediakan surat ringkas secara bertulis yang menyatakan hasrat dan tujuan anda menghantar anak untuk diasuh dan juga turut disertakan tanggungjawab pengasuh tersebut. Penjelasan terperinci berkaitan skop kerja asuhan tersebut perlu disediakan. Misalnya pekerjaan seperti memberi makan, susu, membersihkan anak, menjaga keperluan lain sekiranya perlu seperti mengurus anak menangis, sakit dan keperluan penting yang perlu dilakukan dengan penuh kasih dan sayang. Surat ringkas ini ibarat akad penyerahan anak untuk jagaan pengasuh dan juga bukti bahawa ibu bapa telah menghantar anak kepada pengasuh berkenaan. Hal ini bertujuan untuk mengelak kes pengasuh menipu untuk tidak mengaku menjaga anak tersebut sekiranya sebarang perkara buruk terjadi. Sementelah, keadaan ini juga akan membuatkan pengasuh berasa lebih berwaspada dalam mengambil tanggungjawab dan tugas yang diberikan. Surat yang disediakan ini perlu diberi kepada pengasuh untuk ditandatangani. Dokumen tersebut juga perlu dibuat salinan bagi kedua-dua belah pihak. Sekiranya, pihak pengasuh juga berhasrat untuk membuat surat, maka sambutlah dengan cara yang baik. Perjanjian yang terbina ini akan mewujudkan kepercayaan dan ingatan kepada pengasuh yang secara tidak langsung menunjukkan bahawa pengasuh tidak boleh leka dan lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Tip Selepas Pemilihan Pengasuh

Fasa 1: Bina Hubungan

Fasa pertama merupakan pembinaan hubungan. Hal ini berlaku sepanjang anda mengenali pengasuh anak anda. Proses ini amat penting untuk ibu bapa mengenal pasti dengan lebih dekat aspek personaliti dan tingkah laku pengasuh, ahli keluarga mereka serta sebarang informasi baru dan penting yang boleh dijadikan pertimbangan untuk ibu bapa meneruskan atau menghentikan asuhan anak anda. Proses mengenali personaliti atau tingkah laku seseorang bukan mengambil masa dalam sehari dua, malah ia memerlukan tempoh masa yang panjang. Sekiranya, hubungan telah terbina, maka pengasuh dan anda akan lebih selesa untuk berkomunikasi dan meluahkan apa sahaja ‘rasa’ yang tersimpan. Bahkan lebih mudah untuk anda meninjau hal ehwal asuhan kelak. Proses membina hubungan ini juga melibatkan aspek tautan ukhuwah, kemesraan dan hubungan yang baik agar ibu bapa lebih selesa berhubung dengan pengasuh, dan membentuk elemen kasih sayang di antara ibu bapa, pengasuh dan anak.

 

Fasa 2: Pemeriksaan

Seterusnya fasa kedua ialah pemeriksaan berkala atau mengejut (spot-check). Pemeriksaan secara mengejut tanpa diketahui oleh pihak pengasuh perlu dilakukan oleh ibu bapa. Ibu bapa boleh melakukannya dengan datang ke rumah pengasuh lebih awal dari masa kebiasaan anda mengambil anak. Misalnya semasa fasa pemeriksaan perlu datang mengambil anak pada jam 4 petang iaitu lebih awal dari kebiasaannya mengambil anak pada sekitar jam 6 petang. Selain itu, ibu bapa juga boleh membuat pemeriksaan pada masa rehat (lunch hour). Kerjasama antara ibu dan bapa perlu untuk membuat perancangan pemeriksaan secara bergilir-gilir sama ada dilakukan mingguan atau bulanan. Hal Ini penting untuk mengenal pasti sebarang perilaku penderaan dan tanda-tanda didera secara segera terhadap anak kerana pengasuh yang suka mendera ini kebiasaannya telah mempunyai masa tertentu untuk mereka melakukan penderaan terhadap anak dan menenangkan anak kembali sebelum ketibaan ibu bapa.

Manakala, selepas tamat asuhan ibu bapa semestinya membuat beberapa pemeriksaan bagi mengelakkan sebarang risiko penderaan atau hal yang tidak diingini daripada berlaku. Perkara ini perlu sentiasa diingati ibarat pepatah “mencegah lebih baik dari mengubati”. Oleh itu, ibu bapa perlu melakukan dua bentuk pemeriksaan tersebut.

Di samping itu, ibu bapa dikehendaki menjalankan pemeriksaan terhadap kondisi anak dengan membuat pemeriksaan fizikal, mental dan emosi anak anda. Pemeriksaan fizikal termasuklah mengesan sebarang luka, lebam, patah tulang, kecederaan, trauma, pendarahan, benjolan, kesan gigitan, cubit dan lain-lain bentuk tanda fizikal yang terdapat di tubuh badan anak anda. Malah anda juga hendaklah melakukan pemeriksaan di bahagian sulit anak sekiranya terdapat sebarang bentuk serangan dan penderaan seksual seperti pendarahan, luka, anak mengadu sakit untuk membuang air dan kesan-kesan lain. Anda juga boleh menyentuh dan memeriksa sekiranya terdapat bahagian tubuh anak yang terasa sakit walaupun tidak terdapat sebarang tanda dan kesan lebam atau trauma pada kulit. Selain itu, pemeriksaan terhadap aspek mental dan emosi (psikologi) mesti dilakukan dengan mengenal pasti beberapa perkara yang pertama, adakah anak anda menangis, meronta atau mengelak untuk dihantar ke rumah pengasuh. Kedua, anak kelihatan murung, stres, takut, bimbang, mendiamkan diri dan perubahan sikap yang mendadak tanpa sebab. Ketiga, anak kelihatan lemah, lesu, tidak ceria dan tidak responsif seperti kebiasaan. Keempat, anak anda kerap bermimpi buruk, terjaga dan menangis pada waktu malam dan yang terakhir anak menunjukkan tanda regresif (melakukan tingkah laku lepas yang tidak dilakukan lagi) seperti menghisap ibu jari, kerap kencing malam dan perbuatan pelik yang lain.

Fasa 3: Catatan dan Pelaporan

Seterusnya, ibu bapa perlu membuat catatan laporan ringkas dari pihak rumah asuhan atau pengasuh. Laporan ini perlu ditulis oleh pihak pengasuh dengan menyatakan informasi ringkas untuk ibu bapa melakukan langkah pemantauan susulan (follow-up) kegiatan harian anak anda. Sekiranya pihak pengasuh tidak berkesempatan untuk menulis, sebagai ibu bapa prihatin, pastikan setiap kali mengambil anak dari pengasuh, ibu bapa hendaklah bertanya pengasuh secara ringkas tentang perkara yang berlaku terhadap anak, perkembangan, sikap, insiden atau aktiviti anak anda seharian. Maklumat juga perlu diperiksa daripada anak berhubung kegiatan yang dilalui setiap hari. Setiap informasi yang diperolehi secara lisan perlu dicatat. Hal ini bagi memastikan ibu bapa mengikuti setiap perkara yang berlaku dan mengambil serius sekiranya anak bercerita atau mengadu sesuatu berkenaan pengasuh.

Fasa 4: Naluri dan Tawakal

Perkara terakhir ialah naluri dan konsep tawakal yang perlu dipandang serius oleh ibu bapa. Ibu bapa seharusnya aktif  untuk menghidu sebarang perubahan pada anak. Dalam mengatasi isu dera oleh pengasuh atau ketika berada di rumah asuhan. Ibu merupakan seorang insan yang dikurniakan naluri (basic instinct) yang kuat sekiranya sesuatu berlaku terhadap anak. Maka jangan diabaikan dan ambil remeh apa yang anak cerita, luah atau apa yang anda lihat. Tindakan seterusnya perlu diambil dengan bertanya pada pengasuh jika terdapat sebarang trauma dan kesan pada anak. Doa, usaha, dan tawakal perlu disulam dan berdoa agar anak berada di bawah pemeliharaan dan perlindungan Allah SWT sepanjang bersama pengasuh. Konsep tawakal amat penting bagi melahirkan rasa tenang dalam diri ibu dan bapa setelah melepaskan anak anda kepada pengasuh. Firman Allah dalam surah al-Maidah (23) bermaksud;

“dan kepada Allah jualah kamu berserah (tawakallah), jika kamu betul-betul beriman.”

Nabi Muhammad SAW juga menitipkan doa ini kepada Abu Hurairah, ketika berpisah dengan beliau, “Aku letakkan engkau dalam jagaan Allah yang takkan pernah mensia-siakan apa yang di dalam jagaan-Nya”. Doa dan elemen penyerahan (tawakal) kepada Allah ini salah satu kaedah untuk para ibu-bapa merasa tenang dari kemelut kebimbangan.  

Kesimpulannya, para ibu dan bapa harus prihatin dan bijak dalam memilih dan mengurus pengasuh. Elakkan memberi sebarang bentuk tekanan kepada pengasuh seperti memaksa mereka menjaga anak pada hari cuti. Selain itu, elakkan sikap berkira-kira dengan pengasuh. Sentiasa berlapang dada dan selalu mengamalkan konsep memberi dan bersedekah. Hal ini kerana, pengasuh telah mengambil tugas untuk menjaga zuriat kesayangan anda. Wajarlah mereka disayangi, dihormati dan diraikan atas tugas dan tanggungjawab tersebut. Semoga persefahaman, sikap toleransi dan kasih sayang dapat dicapai bagi membawa kesejahteraan kepada ketiga-tiga pihak iaitu ibu bapa, pengasuh dan anak.

 

** gambar (sumber dari majalah Pa Ma)