Pn. Hafizah Binti Marzuki
Pn. Hafizah Binti MarzukiBahagian Audit Dalam

Dendangan lagu “USIM Terus Maju“ yang bergema di Dataran Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada setiap kali Perhimpunan Staf diadakan menyaksikan satu detik perpaduan apabila semua staf menzahirkan ekspresi kebersamaan mereka dalam menjadikan USIM antara universiti termaju. Bagi merialisasikan hasrat ini USIM harus bersedia mendepani pelbagai halangan dan cabaran dalam menyemarakkan inovasi. Inovasi dituntut dalam pelbagai aspek kehidupan seperti politik, ekonomi, sosial, pendidikan, kejuruteraan, perubatan dan sebagainya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan inovasi adalah sinonim dengan pembaharuan, revolusi atau perubahan. Definasi inovasi menurut sebahagian pemikir Barat ialah ciptaan baru (Kline & Rosenberg, 1986). Inovasi juga sangat dituntut dalam Islam kerana dapat memberi nilai tambah dan kebaikan yang berterusan kepada kehidupan ummah. Firman Allah dalam Surah ArRa’du ayat 11 bermaksud:

“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia”.

Penghasilan sesuatu inovasi memerlukan sinergi yang kuat antara kecerdasan akal fikiran, kreativiti dan keunikan. Dalam hal ini, inovasi dapat memupuk pemikiran yang kreatif dan meningkatkan produktiviti kerja.

Tradisi pula merujuk kepada nilai-nilai budaya dan adat serta prinsip agama yang diterjemahkan oleh perbuatan, sikap, pemikiran dan kepercayaan. Tradisi berasal daripada bahasa Latin iaitu tradition yang bermaksud diteruskan. Dari segi bahasa tradisi adalah sesuatu kebiasaan yang berkembang dalam kehidupan masyarakat, amalan yang menjadi adat kebiasaan, atau yang diasimilasikan dengan ritual adat atau agama. Dalam pengertian yang lain, sesuatu yang telah dilakukan sejak lama dahulu dan menjadi sebahagian daripada kehidupan suatu kelompok masyarakat, negara, atau agama. Tradisi sangat berkait rapat dengan jatidiri bangsa. Amalan tradisi yang baik akan melahirkan jatidiri bangsa yang mulia.

Cabaran

Inovasi amat sinonim dengan konsep modenisasi. Dua konsep ini mempunyai halatuju yang hampir sama yakni melaksanakan pembaharuan yang memberi manfaat dan kebaikan kepada masyarakat. Bagaimanapun, wujud tanggapan bahawa dalam keghairahan mencipta inovasi mahupun mengejar modenisasi, nilai-nilai tradisi semakin luntur. Mungkin tanggapan ini benar dan mungkin tidak, bergantung kepada sudut pandang sisi orang yang menilai. Tidak mustahil jika tanggapan ini akan menjadi satu realiti. Sebagai contoh, generasi muda merasa janggal memakai pakaian tradisi, malah selesa bergaya hipster, dengan gelagat dan penampilan yang sangat kontra dengan budaya asli. Kononnya mereka mencari satu kelainan, berfikiran lebih kreatif dan berinovatif. Masyarakat juga dibayangi persepsi bahawa tradisi kunjung mengunjung antara sanak saudara tidak perlu lagi dipraktikkan kerana kononnya hubungan silaturrahim menerusi aplikasi komunikasi moden seperti Facebook dan Whats App sudah memadai.

Menggiat inovasi dan menolak tradisi adalah satu persepsi yang salah. Keadaan ini mungkin berpunca daripada kurang kefahaman dan sikap mementingkan diri. Sebagai contoh lain, fesyen pakaian barat yang mendedahkan aurat didakwa sebagai fesyen pakaian yang moden dan berinovasi yang sama sekali terang-terangan bertentangan dengan konsep pakaian tradisi. Oleh kerana terlalu taksub dengan fesyen pakaian barat, prinsip kesopanan dan kewajipan menutup aurat tidak dihiraukan asalkan tidak mahu dilabel sebagai ketinggalan zaman. Ketirisan kefahaman ini amat membimbangkan sekiranya perbuatan dan pemilihan cara hidup seseorang individu tidak disandarkan kepada nilai-nilai tradisi dan agama. Apabila sikap mementingkan diri wujud, maka kemahuan untuk memahami keseimbangan antara tuntutan inovasi dan tradisi dikesampingkan.

Ledakan Revolusi Industri 4.0 khususnya dalam sistem pendidikan tinggi negara dikatakan akan mengubah corak pembelajaran ke arah yang lebih kreatif dan inovatif. Konsep “Universiti Uber” dikatakan akan menjadi satu landskap pembelajaran yang baru dengan memberi kebebasan kepada para pelajar untuk memilih dan mengatur program akademik, kaedah pembelajaran, subjek dan pensyarah. Namun ada pihak yang cuba mengkritik dan menolak idea baru ini. Mereka berpendapat bahawa konsep “Universiti Uber” akan menjejaskan nilai-nilai tradisional yakni kaedah pembelajaran sedia ada seperti syarahan dalam dewan kuliah dan bimbingan secara langsung daripada pensyarah.

Harapan

Apapun persepsi yang diberikan, semua pihak perlu cakna dengan isu semasa yang berlaku dan mengambil tindakan yang bersesuaian bagi memelihara tradisi dalam arus pemodenan dan penciptaan inovasi yang semakin rancak berkembang. Menyoroti kembali pencapaian Malaysia setakat ini, pelbagai bentuk inovasi yang membanggakan telah terhasil seperti terciptanya kereta buatan Malaysia “Proton Saga” pada sekitar tahun 1980an, pembinaan Menara Berkembar Petronas dan sebagainya. Peribahasa Melayu “Di mana bumi dipijak, disitu langit dijunjung” menyedarkan masyarakat supaya tetap berpegang teguh kepada nilai agama dan tradisi sungguhpun inovasi dan modenisasi semakin berkembang pesat di Malaysia.

Secara khususnya, agama Islam mengajar ummatnya supaya tidak sombong dan lupa diri apabila diberi nikmat dan kejayaan, lebih-lebih lagi dengan terhasilnya pelbagai inovasi yang memberi manfaat dan kesejahteraan kepada masyarakat. Hadis Sohih Rasulallah s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan radhiyallahu ‘anhu bermaksud:

Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.”

Konsep syukur perlu dititikberatkan dalam kesibukan masyarakat mencipta inovasi. Ini kerana, melalui kelebihan bersyukur, tradisi dapat dipelihara. Konsep syukur mampu menyedarkan masyarakat tentang kepentingan memelihara tradisi dalam menghadapi arus modenisasi. Sebagai contoh, pembelajaran di sekolah dan pencarian maklumat di Perpustakaan masih dikekalkan serta menjadi keutamaan para pelajar walaupun maklumat boleh dicapai secara mudah menerusi internet. Manakala aktiviti ziarah-menziarahi sesama saudara dan rakan taulan masih diteruskan walaupun medium perhubungan semakin canggih dan mudah. Oleh itu, dengan rasa bersyukur, masyarakat tidak akan mudah lupa diri, tidak lagi mementingkan diri dan sentiasa mempunyai budi pekerti yang mulia.

Seiring dengan kepesatan inovasi, pemeliharaan tradisi dalam kehidupan seharian dapat dikekalkan menerusi program-program kesedaran. Antara program yang sesuai dan praktikal ialah mengadakan sesi ceramah, diskusi ilmiah atau forum. Contoh aktiviti lain ialah penganjuran Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) yang menampilkan pelbagai inovasi dalam pengurusan pentadbiran organisasi oleh pelbagai agensi. Menerusi program KIK ini, banyak kaedah penyelesaian masalah secara tradisi diketengahkan seperti konsep percambahan fikiran (brainstorming), kerjasama dalam pasukan, penggunaan teknik analisa seperti carta tulang ikan, konsep PDPA dan sebagainya.  Tambahan lagi, pertandingan esei atau video pendek berkaitan tradisi dan inovasi juga dapat memberi kesedaran kepada para peserta terhadap keperluan dan kepentingan perkara tersebut. Semua program ini diharapkan mampu menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat agar sentiasa melestarikan amalan tradisi seiring dengan perkembangan inovasi mahupun modenisasi.

Dalam konteks USIM, inovasi telah diangkat menjadi salah satu agenda utama Universiti seperti yang diterjemahkan dalam Teras-2, Pelan Strategik USIM 2016-2025.  Pelan ini dibangunkan bagi merialisasikan hasrat USIM untuk menjadi Pusat Rujukan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli di peringkat serantau menjelang tahun 2016 dan di peringkat global menjelang tahun 2015. Manakala intipati Teras 2 menyasarkan penyelidikan dan inovasi yang relevan kepada industri dan kesejahteraan ummah. Antara strategi yang dirancang bagi mencapai teras ini ialah penghasilan penyelidikan dan inovasi berteraskan pematuhan Syariah dan peningkatan kualiti penyelidik yang diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa. Pendekatan yang dibawa oleh USIM menerusi pelan strategik ini jelas menunjukkan wujudnya garapan tradisi keilmuan Islam (Ilmu Naqli) dalam menggiatkan penghasilan inovasi dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran khususnya menerusi penyelidikan.

Peribahasa Melayu “Yang lama dikelek, yang baharu didukung” memberi konotasi bahawa adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baru. Peribahasa ini sangat relevan dengan isu yang dibincangkan. Masyarakat perlu mempunyai kesatuan hati dan berganding bahu dalam usaha melestarikan tradisi di samping merancakkan penciptaan inovasi dalam pelbagai lapangan kehidupan. Oleh yang demikian, masyarakat dapat menikmati manfaat inovasi dengan sebaik-baiknya tanpa rasa kehilangan nilai-nilai tradisi. Tradisi hendaklah dijadikan asas dalam penghasilan inovasi agar minda dan cara hidup masyarakat tidak lagi dijajah oleh anasir-anasir yang kurang baik. Firman Allah dalam Surah Al-Imran ayat 103 bermaksud:

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”

Penulis merupakan pemenang pertandingan Penulisan Esei Kualiti (Kategori Kumpulan Pengurusan & Profesional) bersempena Sambutan Hari Kualiti dan Inovasi USIM 2017 anjuran Pusat Perancangan Korporat & Pengurusan Kualiti bertemakan Tradisi Dipelihara Inovasi Membara.