Tuan Haji Mazlan Nawang
Tuan Haji Mazlan NawangKetua Bahagian SCIROSH
Dr Nisar Mohammad Ahmad
Dr Nisar Mohammad AhmadPenyelaras Syariah, Seksyen Pematuhan Syariah SCIROSH

Bulan lalu kita dikejutkan dengan laporan media berkaitan penahanan 37 individu yang terlibat dalam penyelewengan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut bayaran insentif pengambilan pekerjaan dan latihan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana Kerjaya). Jumlah keseluruhan peruntukan yang dituntut melalui tuntutan palsu ini dilaporkan sebanyak RM100 juta. Beberapa hari lalu pula, media melaporkan seorang kadi yang juga seorang pegawai kanan Jabatan Agama Islam Johor (Jainj) telah direman empat hari kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu dua tahun lalu. Suspek ditahan kerana mengemukakan tuntutan palsu berkaitan elaun perjalanan dalam negeri untuk Oktober 2020 ke Bahagian Kewangan Pejabat Kadi Daerah. Beiau dikatakan membuat tuntutan menggunakan kenderaan persendirian, sedangkan beliau menghadiri program anjuran JAINJ menggunakan kenderaan jabatan.

Dua contoh di atas hanyalah ’tip of the iceberg’ atau sebilangan daripada banyak contoh-contoh kes lain yang kerap berlaku dalam masyarakat sama ada melibat penjawat awam mahupun orang awam. Tidak pelik jika dibuat carian ’tuntutan palsu’ di enjin carian Google, kita pasti akan bertemu dengan ribuan berita dari pelbagai sumber yang memaparkan kisah salahlaku tuntutan palsu yang berlaku di negara ini. Ia seakan menjadi norma dalam masyarakat yang berlaku sejak dahulu sehingga kini. Dari sekecil-kecil jumlah hingga sebesar-besar jumlah wang yang diperolehi secara salah. Ironinya, masih ada yang menganggap membuat tuntutan palsu sebagai suatu kesalahan biasa yang tiada kaitan dengan rasuah.

Lebih mengejutkan apabila dapatan di dalam sebuah kaji selidik yang dijalankan ke atas sejumlah 1274 responden di sebuah institusi awam, 22.8 peratus daripada responden tersebut menganggap tuntutan palsu bukanlah suatu bentuk rasuah. Meskipun tidak semestinya mencerminkan keseluruhan anggota masyarakat, namun dapatan ini sedikit sebanyak memberi gambaran masih terdapat dalam kalangan ahli masyarakat tidak memahami tentang konsep dan definisi rasuah yang turut termasuk di dalamnya perbuatan tuntutan palsu yang sering berlaku tertutamanya di dalam agensi-agensi awam melibatkan penjawat awam.

Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pilihanraya 2009 (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu: meminta/menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a)], memberi suapan [seksyen 17(b)], mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18] dan salah guna kuasa [Seksyen 23]. Keempat-empat kesalahan rasuah ini sekaligus menjadi definisi rasuah yang harus difahami oleh anggota masyarakat. Definisi ini secara jelas mengklasifikasikan tuntutan paslu sebagai kesalahan rasuah yang perlu dielakkan oleh masyarakat. Tuntutan palsu boleh berlaku apabila seseorang mengemukakan tuntutan bayaran bagi sesuatu tugasan yang tidak dilaksanakan atau tidak dilaksanakan berdasarkan garispanduan atau spesifikasi yang ditetapkan.

Sebagai contoh, tuntutan perjalanan dibuat ke atas perjalanan yang tidak dilakukan. Dalam kes seperti ini, biasanya dokumen palsu seperti resit bayaran dan lain-lain akan digunakan sebagai dokumen sokongan. Contoh yang lain pula ialah apabila tuntutan paslu dibuat dengan sokongan dokumen palsu melalui perbuatan meminda dokumen perbelanjaan dengan meningkatkan kos di dalam dokumen berbanding kos sebenar yang  digunakan. Kos yang dibelanjakan hanyalah RM5 000 contohnya tetapi tuntutan yang dibuat adalah RM10 000. Bayangkan jika tuntutan palsu ini berlaku tanpa kawalan, ketirisan dana awam akan menjadi parah. Wang yang sepatutnya diberikan untuk tujuan yang betul untuk dimanfaatkan masyarakat telah digunakan untuk kepentingan peribadi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ada pihak yang cuba mengaitkan penetapan gaji yang rendah sebagai sebab utama berlakunya rasuah dan tuntutan palsu. Namun, kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap perlakuan rasuah dalam kalangan penjawat awam mendapati pendapatan atau penetapan tangga gaji yang kecil dan rendah bukanlah punca utama atau satu-satunya punca mengapa penjawat awam mengambil rasuah. Di antara punca utama yang menyebabkan berlakunya rasuah di kalangan penjawat awam adalah sikap tamak dan haloba, wujudnya ruang dan peluang untuk melakukan perbuatan rasuah serta tahap integriti yang rendah di kalangan pegawai terbabit.

Selain itu, perlakuan rasuah seperti mengemukakan tuntutan palsu ini turut berlaku disebabkan kecenderungan dan keghairahan untuk menikmati gaya hidup mewah melampaui kemampuan diri dan dalam tempoh yang singkat tanpa menunggu tempoh yang lama atau proses yang panjang. Gaji RM3000-RM4000 contohnya, tapi ingin bergaya dengan kereta mewah di luar kemampuan. Begitu juga, bagi yang bergaji lebih tinggi ingin menikmati hidup lebih mewah yang melampaui kemampuan gaji semasa. Tiada salahnya untuk menjadi kaya dan hidup mewah jika mampu dan jika caranya betul dan halal. Namun akan jadi salah jika tidak mampu tapi masih tetap ingin hidup mewah sehingga sanggup menggunakan cara salah termasuk menyalahgunakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

Tanggungjawab dan amanah seperti kuasa berkaitan perolehan, kuasa meluluskan, kuasa memberi pengiktirafan, kuasa dalam penganugerahan projek/tender, tanggungjawab penguatkuasaan dan lain-lain yang jika dibuat tanpa integriti dan ketelusan akan rosak sistem bermasyarakat. Begitulah, daripada sekecil-kecil hinggalah sebesar-sebesar organisasi, risiko berlakunya rasuah sangat luas jika tiada usaha pemantapan integriti dilakukan.

Janganlah diambil ringan atau dibiarkan perbuatan rasuah dan tuntutan palsu ‘dinormalisasikan’ dalam perkhidmatan/tugasan. Istilah-istilah  seperti ‘duit kopi’, ‘wang tepi’, ‘duit bawah meja’ dan laini-lain tidak sepatutnya menjadi norma  dalam sistem perkhidmatan kita. Ia akan menghancurkan integriti dan amanah rakyat serta kesetiaan kepada negara. Ambillah iktibar dari kejatuhan negara kita dalam indeks persepsi rasuah (CPI) baru-baru ini. Walaupun ia terhasil dari persepsi, namun tetap perlu diambil pengajaran untuk memperbaiki budaya kerja kita ke tahap integriti yang lebih baik. Benar, adalah mustahil untuk hapuskan rasuah secara total, namun kita boleh lakukan sesuatu untuk mengurangkan kadarnya.