Mohd Zaini Othman
Mohd Zaini OthmanPenolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Universiti adalah salah-satu komponen dalam kerangka pendidikan yang dari segi hirakinya, masyarakat dan golongan cerdik pandai meletakkan universiti itu berada pada tahap yang tertinggi atau pertama dalam sebuah sistem pendidikan tinggi. Oleh sebab itu, universiti membawa peranan yang besar dalam konteks perkembangan ilmu kerana atas segala kelebihan dan keistimewaan yang ada padanya, universiti berfungsi untuk menjana dan menyebar ilmu khususnya untuk mencari penyelesaian dan menjawab kepada pelbagai permasalahan dan persoalan yang dialami oleh manusia.

Sebagai institusi ilmu tertinggi dan mempunyai pemegang taruh yang besar dari pelbagai peringkat, ia membuatkan segala tindak tanduk dan peranannya akan sentiasa diperhatikan dan diperbahaskan dari semasa ke semasa oleh masyarakat. Saban tahun universiti akan melahirkan graduan dalam pelbagai bidang pengajian, tetapi itu belum bermakna tanggungjawab universiti telah selesai apabila seseorang graduan itu menyarung jubah konvokesyen sambil menjulang bangga skrol yang diterima.

Kejayaan yang tidak dapat ditulis pada sekeping ijazah ialah kejayaan universiti itu untuk menyemaikan nilai-nilai murni dalam jiwa setiap graduan sebagai kompas moral mereka untuk menghadapi cabaran hidup dunia sebenar selepas tamat alam kampus kelak. Universiti bukan sahaja memberi ilmu akademik kepada seseorang mahasiswa tetapi pada yang sama mengambil tanggungjawab memberi didikan karekter dan mencanai jiwa insan mereka.

Nilai graduan itu tidak hanya dilihat pada tahap ijazah yang diterima tetapi juga pada kekuatan dalaman yang dimililki dan keutuhannya memegang teguh aspek moral, etika, akauntabiliti dan integriti. Dewasa ini amat membimbangkan apabila membaca laporan-laporan di media massa mengenai kes pecah amanah, rasuah, salah guna kuasa, penipuan dan pelbagai lagi yang melibatkan mereka yang berpendidikan tinggi. Kesemua ini berkait secara langsung dengan kerapuhan nilai integriti yang mudah retak dan roboh dengan sedikit ‘goncangan’ sahaja.

Sudah menjadi suatu kelaziman, mereka yang lebih tinggi ilmunya akan diberikan amanah yang lebih besar oleh organisasi atau masyarakat melalui jawatan atau kuasa kepadanya. Menyerahkan amanah kepada mereka yang tidak memiliki sifat amanah malahan langsung tidak menjunjung nilai-nilai integriti ibarat menyerahkan sekandang biri-biri untuk dijaga oleh serigala, natijahnya mendatangkan mudarat yang besar kepada masyarakat, agama dan negara.

Satu dapatan kajian dari Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 2017 mengenai persepsi pelajar terhadap rasuah mendedahkan satu daripada tiga pelajar universiti tempatan berpendapat bahawa menerima rasuah sebagai balasan untuk perkhidmatan yang diberikan bukan dianggap rasuah. Hasil kajian ini seperti tidak jauh bezanya dengan hasil penemuan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002 iaitu 30.5 peratus daripada pelajar universiti yang menjadi responden menyatakan kesanggupan menerima rasuah.

Dapatan ini bukannya bermakna universiti telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya membentuk kompas moral kepada siswanya tetapi sebagai satu indikator bahawa sesuatu perlu dilakukan dengan segera untuk memperbetulkan keadaan ini. Dalam ketika universiti memenuhi peranannya sebagai institusi pendidikan, perhatian serius juga perlu diberikan terhadap dapatan kajian seumpama ini dan laporan mengenai salah-laku golongan terpelajar yang berkelulusan tinggi. Pengurusan Universiti, pentadbir dan ahli akademik mempunyai peranan masing-masing dalam memperkukuhkan kompas moral para mahasiswa sebelum mereka melangkah keluar dari universiti.

Secara tradisinya nilai-nilai integriti ini sudah sekian lama tersemat dan diamalkan di universiti kerana ketinggian dan kebenaran ilmu itu membawa bersama nilai-nilai integriti yang tinggi. Dalam masa yang sama, universiti mesti mempertahankan kewibawaannya sebagai sebuah institusi ilmu yang dihormati dan ia hanya boleh dilakukan dengan mengekalkan fungsinya mencari dan meluaskan ufuk ilmu, menyebarkan ilmu, mempertahankan kebenaran dan menggunakan ilmu itu untuk kebaikan sejagat.

Integriti tidak boleh dijual beli dan ia merupakan nilai asas dan fundamental kepada setiap manusia. Ia juga merupakan satu nilai universal yang diterima oleh semua pihak tidak mengira sempadan agama, kepercayaan mahupun asal-usul. Sejarah lalu memberi pedoman bahawa yang menjadi runtunya sesebuah tamadun manusia dan kemusnahan kepada sesebuah negara bangsa adalah apabila masyarakatnya rendah akhlak dan tidak lagi berpaut pada integriti.