NILAI, 8 OKT 2015 – Pusat Kebudayaaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) julung kalinya telah menganjurkan Seminar Antarabangsa Seni dalam Pembangunan Manusia di Era Moden (INSART) yang berlangsung pada 7 hingga 8 Oktober 2015 di Dewan Kuliah Pusat 3.

Seminar yang disertai oleh seramai 200 peserta dari pelbagai bidang antaranya dari UM,UKM,UITM, Sekolah Angkat dan Kluster USIM serta agensi bukan kerajaan ini turut mendapat kerjasama dari Kementerian Pendidikan Tinggi dan Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM).

Pengarah Pusat Kebudayaan Encik Ismail Ahmed berkata seminar ini mengupas peranan seni dalam pembangunan manusia menerusi aspek akal, budaya dan agama bersesuaian dengan tema yang dibawa iaitu ’Reconstruct different point of views in assessing art and its relationship to human development’. Ucaptama disampaikan oleh Ahmed Keeler, Felo Pusat Islam, Universiti Cambridge dan seramai 7 orang pembentang  kertas kerja dari dalam dan luar negara.

“Antara objektif program ialah membicarakan hakikat seni secara ilmiah dan akademik selain memperkukuhkan kefahaman peserta mengenai seni di luar konteks hiburan. Hal ini kerana masa kini hiburan dilihat sesuatu perkara yang negatif kepada bangsa, agama dan negara. Tambahan pula, matlamat seminar ini dianjurkan adalah untuk berdialog bersama peserta dan beberapa panel yang arif tentang hiburan untuk mencapai resolusi berkenaan seni dalam pembangunan manusia sejagat”, tambah Encik Ismail.

Dato’ Prof. Dr. Asma Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dalam ucapannya berkata, penganjuran program INSART merupakan medium terbaik bagi semua peserta memahami makna keilmuan dan mendapat manfaat melalui perspektif baru dalam melihat seni sebagai sumber ilmu.

”Penganjuran INSART merupakan satu langkah yang menyusuri kecemerlangan menyamai aspirasi Kementerian dan negara. Jika diteliti Falsafah Pendidikan Kebangsaan ia bertujuan memperkembangkan lagi potensi individu secara holistik dan integrated untuk mewujudkan model insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelektual, kerohanian, emosi dan jasmani”, ujar Dato’ Asma semasa merasmikan perasmian penutup INSART 2015.

Di akhir majlis, satu resolusi diserahkan sebagai simbolik penutupan INSART dan persembahan dari pelajar USIM Street Dakwah. Turut hadir Prof. Dato Dr, Hassan Basri Awang Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), dan Encik Ismail Ahmed Pengarah Pusat Kebudayaan.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204