Penjara Kajang, 19 Mei 2010 – Mungkin ramai yang beranggapan bahawa kehidupan di penjara tidak ada langsung kebebasan terutamanya bagi mereka yang minat berkarya. Hakikatnya pelbagai aktiviti telah dijalankan dan dianjurkan bertujuan untuk membentuk sahsiah dan jati diri penghuni penjara disamping menggilap bakat dalam bidang seni.

Atas rasa tanggungjawab dan kesedaran yang tinggi dalam  mendekatkan penghuni penjara dengan masyarakat umum serta mengubah persepsi umum mengenai penghuni penjara, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia telah menganjurkan Festival Cipta Lagu Patriotik (CIPTA) 2010.

Program yang merupakan kali ketiga ini bertujuan untuk menyemarakkan aktiviti promosi dan pembangunan sahsiah dikalangan warga kampus agar dapat melahirkan mahasiswa  yang peka kepada persekitaran masyarakat khususnya pelajar sekolah. Disamping itu memupuk kerjasama dan kesedaran dalam penyertaan mahasiswa, kakitangan  dan penghuni penjara yang terdiri dari pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.

Sebanyak 15 buah lagu hasil ciptaan pelajar USIM dan 15 buah lagi dari Penghuni Penjara berentap untuk di pilih ke peringkat akhir yang bakal berlangsung pada 7 Ogos 2010. Pihak juri yang terdiri dari penyanyi Nash dan Siso memilih 4 lagu terbaik dari USIM dan 4 lagu terbaik dari penjara yang menjadikan 8 buah lagu bakal bertanding ke peringkat akhir.

Nash yang merupakan salah seorang juri di peringkat saringan berkata, “Kebanyakan lagu yang dihasilkan mempunyai kualiti dan boleh diketengahkan. Sejujurnya saya akui lagu yang dihasilkan oleh penghuni penjara lebih jujur dan menyentuh jiwa. Ini kerana melodi yang dihasilkan datang dari perasaan yang nampak ketara secara peribadi”.

“Tetapi lirik yang di hasilkan oleh pelajar USIM lebih puitis bahasanya. Ini mungkin disebabkan persekitaran mereka yang kaya dengan ilmu dan bahasa-bahasa indah. Mereka sangat berpotensi tetapi perlu ada jiwa tersendiri dalam mencipta lagu agar ianya nampak lebih jujur dan asli ”.

“Saya sangat menyokong usaha yang telah dilakukan oleh USIM dan berharap agar program bersifat patriotik ini dapat dilakukan secara menyeluruh merangkumi segenap masyarakat. Lagu patriotik tidak semestinya terlalu rigid, tetapi harus bersahaja, mudah difahami dan diterima oleh masyarakat”, tambah beliau lagi.

Menurut Nur Fatimah Zaharah Ahmad, 22, dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, penyertaan beliau merupakan kali ketiga dan pada kali ini beliau mempertaruhkan lirik dan lagu hasil ciptaannya.

“Sekiranya lirik atau lagu saya terpilih ke peringkat akhir, saya lebih suka memberikan kegembiraan itu kepada penghuni penjara yang bersama-sama bekerjasama dalam menghasilkan lirik dan lagu tersebut. Ini merupakan hadiah kepada mereka atas daya usaha mereka menghasilkan lirik dan lagu yang mantap untuk halwa telinga umum. Di samping itu juga program sebegini dapat membuktikan kepada masyarakat bahawa walaupun USIM tidak mempunyai aliran muzik, tetapi pelajar USIM mampu menganjurkan menghasilkan lirik dan lagu dengan baik”, tambah Nur Fatimah Zaharah Ahmad.

Shahril (bukan nama sebenar)yang merupakan salah seorang penghuni penjara yang mengambil bahagian berkata, “Saya telah menggubah 5 buah lagu dan 4 lagu terpilih untuk ke peringkat saringan. Sekiranya lagu saya terpilih ke peringkat akhir, saya sangat bersyukur dan gembira.

Saya berpendapat program sebegini sangat bagus terutamanya bagi penghuni penjara untuk mengisi masa lapang di samping dapat mengasah bakat seni”, tambah beliau lagi.

Persembahan Peringkat Saringan sempena Festival Cipta Lagu Patriotik ini turut di hadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028