NILAI, 14 Disember 2020 – “Rindu untuk kembali belajar di kampus seperti biasa”, itu luahan jujur Nur Izzati Mohamad Azizi, 22, pelajar jurusan Fizik Gunaan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu, beliau dan rakan sepengajian yang lain mengikuti sesi pembelajaran dan pengajaran secara atas talian di rumah sehingga kini. Mengubat kerinduan pada kampus kerana belum berpeluang kembali ke universiti, beliau meluahkannya dengan menghasilkan miniatur replika bangunan Canselori USIM.

Mengakui menghasilkan miniatur Canselori ini amat mencabar kerana ini merupakan miniatur pertamanya yang berkonsepkan replika bangunan, Izzati mengambil masa selama lima hari untuk menyiapkan. Menurutnya, bangunan Canselori menjadi pilihannya ‘mengubat rindu’ kerana bangunan ini sememangnya amat sinonim dengan USIM selain ia juga mempunyai reka bentuk yang menarik.

Minat Izzati terhadap seni menghasilkan miniatur menggunakan tanah liat polimer (polymer clay) ini timbul semasa di sekolah menengah dan mula mempelajari teknik dan kemahiran seni kreatif ini menerusi video di Youtube sahaja. “Selepas tamat tingkatan lima, saya kumpul duit dari bekerja sambilan untuk membeli bahan-bahan bagi menghasilkan miniatur ini. Bahan utamanya iaitu polymer clay tidak terlalu mahal harganya sekitar RM30-50 mengikut saiz”.

“Diperingkat awal saya mulakan dulu dengan membuat miniatur berbentuk makanan dan figura karakter kartun dan kongsikan hasilnya di laman Instagram. Tidak sangka ramai yang berminat dan ingin menempahnya untuk dijadikan barang hiasan dan keychain”.

Anak keempat dari lapan orang adik beradik mengakui keterbatasan masa kerana komitmen sebagai pelajar universiti membuatkan dia mengambil keputusan untuk tidak menerima tempahan atau menjadikan miniatur ini sebagai pendapatan sampingan. “Saya selesa untuk menjadikan kemahiran menghasilkan miniatur ini sebagai hobi buat masa ini kerana merasa lebih lebih puas dan gembira apabila berjaya hasilkan pelbagai rekaan miniatur yang lebih mencabar dan menarik”.

“Di Malaysia, masih kurang menonjol kraf tangan miniatur ini tetapi ia mempunyai potensi yang tinggi. Saya amat menggalakkan sesiapa yang berminat dengan seni miniatur untuk menjadikan ia sebagai hobi dan peluang mendapatkan pendapatan sampingan”.

Tambahnya lagi, ia bukan hobi yang memerlukan belanja yang tinggi kerana dengan modal kurang RM100 sudah boleh memiliki satu set polymer clay dan peralatan sampingan lain yang boleh menghasilkan 50 miniatur bersaiz kecil. “Miniatur yang telah siap akan dibakar di dalam ketuhar pada suhu antara 100 hingga 110 darjah Celcius selama lebih kurang lima minit. polymer clay ini kita boleh hasilkan pelbagai bentuk miniatur mengikuti kreativiti masing-masing dan saiznya boleh dipelbagaikan”.

Bagi seseorang itu ingin memahirkan dirinya dalam menghasilkan miniatur, berdasarkan pengalaman sendiri, Izzati menyatakan ia mengambil sedikit masa untuk dipelajari tetapi semua itu bukannya halangan jika mempunyai minat yang tinggi. Selain memiliki kreativiti menghasilkan miniature, Izzati yang juga berbakat menghasilkan lukisan doodle dan komik online ini menyimpan hasrat untuk menghasilkan miniatur Istana Negara selepas ini.

Mempunyai lebih 31,000 pengikut di akaun Instagram : nurizzatiazzi dan 2,600 subscribers di saluran Youtube : Nur Izzati Azizi, beliau aktif berkongsi hasil seni miniatur, lukisan doodle, komik dan tip di platform media sosial ini.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan