KELANTAN – Karnival Bakat dan Kerjaya Anak Orang Asli 2024 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra Kelantan, berlangsung dengan jayanya pada 10 November 2024 yang disempurnakan oleh Tuan Haji Omar Haji Mahli Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia. Mengangkat semangat Malaysia Madani melalui usaha memperkasa generasi muda Orang Asli, karnival ini bukan sahaja meraikan kepelbagaian dan keadilan, tetapi turut menjadi platform bermakna untuk anak-anak Orang Asli mengembangkan potensi diri serta mempersiapkan masa depan mereka dengan yakin.
Karnival ini turut disokong oleh Bengkel Latihan Modul I-Skilled NextGen yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), yang memfokuskan kepada kemahiran insaniah bagi meningkatkan daya saing anak-anak Orang Asli ini dalam pasaran pekerjaan
Karnival ini turut memberi pendedahan kepada pelbagai peluang kerjaya yang ada, selaras dengan prinsip inklusiviti dan kesejahteraan dalam Malaysia Madani. Dengan ini, anak-anak Orang Asli dapat mempamerkan bakat dan kemahiran mereka, sekali gus membina keyakinan diri untuk bersaing dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Di samping itu, karnival ini diuruskan sepenuhnya oleh pelajar Orang Asli SMK Tengku Indra Petra, membuktikan kemampuan mereka dalam kepimpinan dan inisiatif melalui pembelajaran praktikal. Para penganjur juga berharap kerjasama antara SMK TIP, IDEAS, dan USIM dapat diteruskan untuk menjana lebih banyak program pembangunan.
Dengan penubuhan Kelab NEXTGEN I-SKILLED X IDEAS dan USIM, diharapkan ia akan memperluas manfaatnya ke seluruh sekolah Orang Asli di Malaysia, menyediakan lebih banyak peluang kepada anak-anak ini untuk masa depan yang lebih cerah. Para penganjur juga menyeru pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan kementerian agar menyokong kelangsungan program ini untuk memastikan manfaatnya berterusan.
Sementara itu, Tuan Haji Azman Mahsuri, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Sekolah 2, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia berharap supaya murid orang asli terus menerima maklumat dan boleh mendapat kerjaya yang lebih baik di masa hadapan, disamping peluang dan ruang ini dapat digunakan sebaiknya oleh murid Orang Asli supaya mereka lebih bersedia untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti dan yang lebih tinggi.
Ketua Perunding NextGen Iskilled, Dr. Mohd Faridh Hafez, Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM berkata, objektif utama karnival ini adalah untuk menghubungkan anak-anak Orang Asli dengan pihak industri, agensi kerajaan, dan organisasi bukan kerajaan yang komited menyokong pengembangan bakat mereka.
“Melalui interaksi yang dijalankan, mereka berpeluang mendapat latihan, bimbingan, dan sokongan penting untuk mencapai cita-cita mereka. Selain itu, kemudahan pendidikan yang disediakan dapat diakses oleh semua dan memberi peluang sama rata terutamanya kepada pembangunan anak Orang Asli”, ujarnya lagi.
Beliau juga berharap agar masyarakat mengiktiraf kemahiran anak Orang Asli serta komuniti serta penghargaan yang setinggi-tingginya diberikan kepada semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan karnival ini. Dengan semangat kerjasama, usaha ini diharapkan memberi impak positif kepada kehidupan anak-anak Orang Asli dan membawa perubahan untuk masyarakat yang lebih baik.
Sumber: Muhammad Akmal Zuhdi Bin Che Mohd Zaini