KLIA, 13 DIS 2015 –  Menjadi sejarah kesukanan USIM apabila buat julung kalinya seramai 72 orang pemain yang terdiri dari staf dan pelajar telah menyertai Kejohanan Badminton Tertutup USIM dan Sesi “Knowledge Sharing Bersama Ikon Sukan Tanahair  Roslin Hashim & Zakry Latif” pada 13 Disember 2015 bertempat di Dewan Serbaguna Kompleks Kuarters KLIA.

Kejohanan anjuran Pusat Sukan USIM bersama Urusetia Pasukan badminton USIM ini adalah untuk mencari bakat-bakat baru yang berpotensi diketengahkan mewakili USIM untuk Kejohanan SUKUM & MASUM yang akan diadakan pada tahun 2016.

Menurut Mohd Fauzi Amirudin Pengarah program, kejohanan kali ini mendapat sambutan penyertaan yang mengalakkan. Dengan sokongan pihak Pengurusan dan Pusat Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kejohanan ini diharapkan akan menjadi acara tahunan universiti dalam melestarikan gaya hidup sihat dikalangan warganya.

“Seramai 30 orang pemain berpotensi akan dipilih untuk mewakili USIM ke Sukan SUKUM dan MASUM yang akan berlangsung pada tahun hadapan”, jelas Fauzi.

Roslin Hashim dan Zakry latif sebagai ikon jemputan pada kejohanan kali ini telah memberikan suntikan semangat yang sangat bermakna buat bakal-bakal atlet USIM untuk menghadapi Kejohanan di masa hadapan. Secara keseluruhannya, penganjuran kali ini memperlihatkan semangat kesukanan yang tinggi di kalangan mahasiswa dan staf.

Kejohanan ini telah dimenangi oleh regu mahasiswa iaitu Mohamad Fadhil Lubis Mahmud dan Mohamad Nasrullah Mohd noor untuk kategori lelaki manakala untuk kategori wanita juga diungguli oleh regu mahasiswa iaitu Mariam Jamilah Roslan dan Syahidah Aziz. Mereka membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM2000.

Disediakan oleh:

Shahreza Mohammedin
Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204