KUALA LUMPUR, 27 Mac – Ke arah memperkukuhkan lagi penjenamaan dan memposisi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada masyarakat, kerjasama yang diberikan oleh Media dalam melaporkan program dan pencapaian USIM selama ini amat dihargai oleh Pengurusan Universiti. Media sebagai salah satu perantara di antara USIM dan masyarakat yang berkesan kerana kemampuan akses masyarakat kepada media kini semakin meluas.

Justeru, Pusat Komunikasi Strategik atau StraComm USIM telah mengambil pendekatan proaktif untuk menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih erat bersama media melalui Program Kunjungan Muhibah. Dalam program sulung Kunjungan Muhibah yang telah diadakan baru-baru ini, destinasi yang dipilih adalah  Stesen Telivisyen Alhijrah (TV Alhijrah) yang merupakan stesen penyiaran berkonsepkan Islam pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia.

USIM telah menandatangani MoU bersama Alhijrah Media Corporation (pemilik TV Alhijrah) pada 28 April 2011. Melalui MoU ini, ia telah membuka ruang yang amat baik bagi kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam bidang-bidang tertentu seperti penyediaan bahan penyiaran, mengadakan promosi dan hebahan serta peluang kerjaya di TV Alhijrah.

Encik Wan Alias Abdullah, Pengurusan Besar Pembangunan Kandungan & Penyelidikan Program TV Alhijrah amat mengalu-alukan kunjungan ini. Ketika sesi taklimat, beliau menyatakan “Penubuhan USIM dan TV Alhijrah oleh Kerajaan mempunyai matlamat yang hampir sama, untuk memikul tanggungjawab membawa Islam dan nilai-nilai murninya kepada masyarakat. Sehubungan itu, kunjungan daripada USIM akan menghrmonikan lagi lapangan kerjasama yang telah dirintis.”

Tambahnya lagi “Sejak awal penubuhan stesen tv ini, kita telah menerima pelajar USIM untuk menjalani latihan industri dan jumlahnya meningkat setiap tahun. Kualiti yang ada pada mereka amat kita kagumi dan ini membuatkan ada yang terus menjadi warga TV Alhijrah selepas tamat latihan”

Pengarah Pusat Komunikasi Strategik, Profesor Dr. Musa Abu Hassan melahirkan rasa bangga dengan pencapaian yang telah dicapai oleh TV Alhijrah terutamanya dari segi penyediaan kandungan programnya yang bemutu dan memenuhi selera serta keperluan masyarakat Islam Malaysia.

“Kunjungan seperti ini baik untuk kita lakukan secara berkala supaya ruang-ruang kerjasama yang ada dapat diisi dengan sepenuhnya. USIM mempunyai ramai pakar akademik dalam pelbagai bidang dan para pelajar yang memiliki bakat dan kreativiti yang tinggi untuk diketengahkan” katanya.

Selain di bawa melihat kemudahan penyiaran yang terdapat di TV Alhijrah, kesempatan kunjungan ini juga digunakan bagi mempromosikan beberapa bahan terbitan Universiti seperti video klip lagu Qasidah Bushra Lana dan Jiwa Berpadu.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)