NILAI, 4 April – Pengurusan Universiti komited untuk menubuhkan sebuah Klinik Pakar USIM di Bandar Baru Nilai sebagai salah satu private wing Universiti. Melalui penubuhannya, pastinya akan memberi peluang kepada penduduk sekitar Nilai dan Putrajaya untuk mendapatkan rawatan kesihatan terbaik pada kadar yang berpatutan.

Seiring dengan perkembangan pesat pembangunan dan pertambahan penduduk Nilai  hampir 50 peratus setiap tahun, ianya menjadikan penawaran pekhidmatan berasaskan rawatan kesihatan sentiasa mempunyai permintaan yang amat tinggi.

Justeru, USIM sebagai salah sebuah IPTA yang menawarkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan serta Ijazah Sarjana Muda Pergigian melalui Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pergigian (FPg) telah bersedia dari segi tenaga kerja pakar dan berkelayakan untuk menceburi perniagaan berasaskan perkhidmatan kesihatan melalui penubuhan Klinik Pakar itu nanti.

Menurut YBhg. Profesor. Dato’ Dr. Asma Ismail “Mengikut perancangan asal, kedua-dua fakulti (FPSK dan FPg) yang kini berada di Pandan Indah sememangnya akan berada di Nilai juga. Tanah seluas 62 ekar berhampiran Kampus Induk telah kita beli untuk tujuan memindahkan kedua-dua buah fakulti ini ke sini bersama-sama dengan pembinaan sebuah hospital pengajar Universiti kelak”

“Sementara menunggu perkara ini berlaku, penubuhan Klinik Pakar adalah medium yang akan dirintis terlebih dahulu oleh Universiti untuk dilaksanakan berasaskan kejayaan penubuhan Klinik Pergigian di Pandan Indah yang diuruskan oleh Fakulti Pergigian”.

Klinik Pakar ini akan menyediakan rawatan perubatan dan pergigian di bawah satu bumbung  daripada para pensyarah kita kepada penduduk sekitar Nilai. Secara tidak langsung, masyarakat akan mendapat dan merasai manfaat kewujudan USIM di sini”

Bagi tujuan ini, beberapa langkah awal telah dibuat antaranya mengadakan kajian pasaran, penyediaan pelan perniagaan komprehensif dan mengenalpasti lokasi strategik bagi menempatkan Klinik Pakar tersebut.  Apabila beroperasi, Klinik Pakar ini bukan sahaja akan menjana kewangan kepada Universiti malah memberi peluang kepada para pensyarah untuk beramal dengan ilmu perubatan mereka pada masa yang sama.

Naib Canselor memaklumkan anggaran kos awal bagi merealisasikan penubuhan private wing USIM ini adalah sekitar RM 4.9 juta yang merangkumi kos pembelian premis, penyediaan alatan rawatan berteknologi tinggi, ubat-ubatan dan kos operasi yang lain.  Dana ini akan dijana melalui Wakaf Financing dan kerjasama dengan pemain industri sekitar Nilai. Siri perbincangan dengan rakan industri yang berpotensi telah dimulakan dan respon awal yang diterima oleh Pengurusan Universiti amat positif.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)