NILAI, 31 MAC 2016 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi institusi pengajian tinggi pertama dalam negara yang melaksanakan konsep rondaan  malam oleh para pelajarnya untuk menjaga keselamatan kampus.

Program rondaan dikenali sebagai Assas (istilah Bahasa Arab bermaksud Penjaga) ini telah bermula pada 18 Mac lalu dan dilancarkan secara rasmi pada lewat malam oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad di Kolej Kediaman Satu.

Aktiviti rondaan ini melibatkan seramai 370 pelajar badan beruniform USIM terdiri dari Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (Kor Suksis), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA), Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) dan Bulan Sabit Merah (BSM).

Sebagai langkah permulaan, rondaan  Assas tertumpu kepada tiga kolej kediaman pelajar iaitu Kolej Kediaman Satu, Kolej Kediaman Nilam Court dan Kolej Kediaman Sutera Indah. Penglibatan mereka ini adalah berbentuk kesukarelawanan berstruktur yang diberikan kredit dalam modul pembelajaran dan kejurulatihan badan beruniform USIM.

“Pelajar badan beruniform dipilih sebagai perintis ahli rondaan ini kerana mereka terbukti mempunyai disiplin, mental dan fizikal yang terbaik. Konsep ini sudah biasa dilaksanakan di universiti luar negara dikenali sebagai ‘Student Watch’, justeru USIM ingin menjadi kampus pertama yang menerajui konsep ini di dalam Negara.”

“Assas ini menjadi wadah bagi menunjukkan kebersamaan mahasiswa dalam menangani isu-isu keselamatan kampus sekaligus mendidik para pelajar ke arah membina masyarakat prihatin terhadap keselamatan diri dan komuniti. Ia juga dapat memupuk rasa memiliki dan menyayangi universiti mereka ini sebenarnya,” ujar Naib Canselor.

Rondaan diadakan pada hari Isnin hingga Jumaat dengan dua shif waktu bertugas iaitu jam 12.00 malam hingga 2.30 pagi dan jam 2.30 pagi hingga 5.00 pagi dengan setiap waktu tiga petugas pada setiap waktu. Petugas dibekalkan dengan seragam khas, lampu suluh dan wisel akan mengadakan rondaan bersama-sama Pengawal Keselamatan USIM.

Aktiviti rondaan pelajar ini diterajui oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan USIM. Turut hadir dalam Majlis Pelancaran Assas ini ialah Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Komandan Kor Suksis USIM dan Dr. Abdul Manan Ismail, Pengarah PPKI.

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204