NILAI 5 Mac – Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) Jom Masuk U yang berakhir semalam mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila lebih dari 40,000 pengunjung hadir ke program tersebut.

Karnival anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan diurus setiakan oleh Bahagian Akademik IPTA ini berlansung selama 2 hari di Dataran Seri Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Fokus utama karnival ini adalah untuk menyebarluaskan maklumat tentang dasar dan garis panduan kemasukan ke program-program yang ditawarkan oleh IPTA dan IPTS serta agensi-agensi awam dan swasta yang lain.

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda berkata, penganjuran karnival bagi zon 7 ini dikelola bersama oleh KPT dan USIM, disertai lebih 20 institusi pengajian tinggi (IPT) selain politeknik dan kolej komuniti.

“Terdapat lebih 120 gerai pameran dari lebih 20 IPTA, IPTS dan agensi-agensi lain mengambil bahagian” katanya ketika ditemui di karnival itu kelmarin.

Sementara itu pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas (SMKA) Negeri Sembilan, Siti Atikah Khairul Anuar berkata program seperti ini membantunya mendapatkan maklumat yang jelas berhubung peluang melanjutkan pengajian di IPT termasuk program ditawarkan mengikut kesesuaian dan kelayakan akademik seseorang pelajar.

“Saya berasa sangat teruja kerana ini pertama kali saya berkunjung ke pameran KPTN ini dan ia amat berfaedah dan memberikan manfaat kepada kami sebagai seorang pelajar terutama sekali untuk membuat pilihan ke IPT mengikut kelayakan yang sesuai”

Bagi Mohd Azrin Nazri Razali, Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi Melaka, Program Jom Masuk U ini memang bagus kepada pelajar kerana info yang diberikan berkenaan IPT dan maklumat kemasukan oleh petugas amat jelas dan ini membolehkan para pelajar membuat pilihan tanpa berlaku kesilapan.

“Petugas-petugas di KPTN ini juga sangat membantu dan mereka tidak lokek memberi panduan kepada kami yang bakal mengambil SPM nanti” jelasnya.

Seorang bapa, En. Nor Ahmad dari Ampang berkata, beliau sememangnya menantikan program KPTN ini sehingga sanggup bertandang ke Port Dickson semata-mata untuk memberikan pendedahan awal kepada anak-anaknya.

“Saya berpandangan program seperti ini patut diteruskan lagi kerana ianya memberikan pendedahan secara terus kepada anak-anak tentang pemilihan universiti mengikut bidang yang sesuai dan mereka minati”

“Ini kerana, ianya membolehkan mereka membuat persediaan awal dan secara tidak lansung turut memberikan pendedahan kepada golongan ibu dan bapa” tambahnya lagi.

KPTN kali ini turut diserikan dengan pertandingan mewarna, cabutan bertuah, kuiz, Jom Senam bersama Radio Negeri.fm serta persembahan kebudayaan oleh Urus Setia Kesenian Pelajar (UKP) USIM.

Selepas ini, KPTN akan ke Sarawak dari 10 hingga 11 Mac bertempat di Permata Exhibition Hall, Kuching.

Oleh:
Khairul Azizi Elias