NILAI, 21 APRIL 2016 – Status sebagai mahasiswa bukan penghalang untuk berkhidmat kepada masyarakat khususnya kepada golongan yang memerlukan.

Menyedari kepentingan pendidikan dapat mengubah nasib seseorang ketahap lebih baik, sebuah projek inisiatif yang di gerakkan oleh mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinamakan Kelas Laskar Pelangi Semarak atau Kelas Rakyat Nilai menyediakan kelas percuma kepada para pelajar di komuniti Taman Semarak , Nilai.

Kelas Rakyat merupakan kelas pendidikan yang dijalankan secara mingguan dirumah kebajikan dan komuniti yang terpilih secara percuma.

Kelas Rakyat Nilai ini mendapat tajaan sepenuhnya dari Persatuan Kebajikan Projek Iqra’ Semalaysia (Projek Iqra’). Projek Iqra’ merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dibawah ROS (Registrar of Society) yang membantu membaiki tahap pendidikan dan kebajikan kanak-kanak dan remaja yang kurang berkemampuan samada di rumah kebajikan atau komuniti setempat.

Khidmat mengajar secara sukarelawan di Taman Semarak ini memfokuskan menyediakan khidmat mengajar golongan kanak-kanak yang mengalami masalah dalam pembelajaran dari aspek akademik dan tidak ketinggalan juga turut diberi tunjuk ajar hal-hal agama.

Salah seorang sukarelawan dari mahasiswi USIM, Nur Shaheera Ismail, berkata bahawa apa yang menarik perhatian beliau waktu pertama kali sertai kelas rakyat adalah semangat adik-adik itu sendiri. Mereka kelihatan sangat gigih nak belajar dan menimba ilmu pengetahuan.

“Kerja kebajikan ini merupakan satu peluang menjalankan aktiviti kemasyarakatan di samping sibuk dengan kehidupan di alam kampus kerana ia adalah salah satu ganjaran untuk saham akhirat kelak,” katanya.

“Saya berharap kelas ini akan terus beroperasi pada masa akan datang bukan sahaja untuk adik-adik ini dapat belajar, tetapi supaya bila mereka meningkat dewasa mereka akan belajar untuk lebih menghargai jasa orang lain dan akan turut terlibat sebagai sukarelawan seperti ini”.

Pada awal penubuhan 25 Januari 2015, kelas ini hanya menerima kehadiran pelajar seramai 15 orang sahaja. Kelas ini mula mendapat sambutan apabila jumlah pelajar meningkat kepada 50 orang pada bulan yang berikutnya. Pada tahun ini, Kelas Rakyat Nilai lebih menfokuskan pengambilan kepada 20 orang pelajar sahaja.

Sementara itu, Muhammad Wafiy Bin Sarip selaku Ketua Projek Kelas Rakyat Nilai berkata, Program Kelas Rakyat Nilai anjuran Projek Iqra’ dengan kerjasama penduduk kawasan ini adalah salah satu inisiatif untuk menaik taraf hidup masyarakat terutama dalam pendidikan untuk membantu para pelajar yang kurang berkemampuan dan mengalami masalah pembelajaran dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah.

Jelasnya lagi, penglibatan sukarelawan dari kalangan mahasiswa adalah diluar jangkaan. Program ini turut mendapat sambutan daripada IPTA/IPTS lain seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Inti Kolej termasuk golongan professional yang turut hadir sebagai sukarelawan tenaga pengajar di Kelas Rakyat Nilai.

Disediakan oleh :

Muhammad Wafiy Bin Sarip

Ketua Projek Kelas Rakyat Nilai

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204