Majlis Konvokesyen Ke-19 USIM diadakan secara fizikal mulai 23 hingga 30 November ini 

By |2021-11-16T02:52:34+08:00November 16th, 2021|Campus News, Featured Campus News, Highlights News, News|

NILAI, 16 November 2021 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bakal mengadakan Majlis Konvokesyen Ke-19 secara fizikal mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) ketat yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan bermula mulai 23 November sehingga 30 November 2021 ini melibatkan seramai 2,562 orang graduan terdiri daripada 2,188 graduan bagi program di peringkat sarjana muda dan 374 orang graduan di peringkat pascasiswazah.  

Berikutan penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia yang menjadi satu krisis global dengan sektor ekonomi antara yang paling terkesan dan memberi kesan rantaian negatif yang besar, maka “Pandemik COVID-19 Pemangkin Prosumer Muslim Yang Berdisiplin” diangkat sebagai tema majlis konvokesyen kali ini bagi mengiktiraf usaha dan pengorbanan seluruh rakyat Malaysia terutamanya dalam mencipta peluang baharu dalam menjana sumber pendapatan dengan lebih kreatif, berinovasi serta memanfaatkan teknologi terkini agar lebih mandiri. 

Majlis konvokesyen ini akan dilaksanakan selama lapan (8) hari melibatkan lapan (8) sidang dengan Majlis Perisytiharan Pembukaan Konvokesyen disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, Tuanku Canselor USIM.  

Pada majlis konvokesyen kali ini graduan sulung merupakan graduan dari program Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat bagi Mod Penyelidikan Gunaan (Applied Research) Industri dan Program Sarjana Bahasa Arab (Kesusasteraan Islam). 

Sementara itu, bagi memeriahkan majlis, pesta konvokesyen yang saban tahun diadakan, kali ini diadakan secara dalam talian bermula dari 6 hingga 30 November 2021. Antara pengisian menarik sepanjang pesta konvokesyen ini adalah program pertandingan pidato, Kepuk-kepuk United States Dollar (USD)Nino! Nino! Psycho AidNoctural Run 6.0Write it Right!, Pusingan Akhir Daie Fest dan pelbagai program yang telah diaturkan.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan

Go to Top