NILAI, 28 Nov – Telah berlangsung dengan meriahnya Majlis Simbolik Pelancaran Pesta Konvokesyen Ke 11 anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar melalui kerjasama erat yang telah terjalin antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kumpulan Utusan bersempena Pesta Konvokesyen yang diadakan pada 28 hingga 1 Disember 2013.

YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail dalam ucapannya berkata, dengan termeterainya kerjasama ini, ia merupakan peluang terbaik berikutan Kumpulan Utusan dan USIM mempunyai tujuan pelaksanaan yang jelas dan saling berkongsi agenda dalam memartabatkan perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Saya dimaklumkan penganjuran Pesta Konvokesyen sebelum ini telah mencapai seramai 15,000 hingga 20,000 pengunjung melebihi sasaran yang di jangka dan membuktikan kejayaan telah dilakar melalui kerjasama ini.  Saya yakin kerjasama ini mampu menarik kehadiran pengunjung bukan sahaja dari komuniti universiti dan ahli keluarga malah penduduk sekitar kawasan Nilai melalui pendekatan pelbagai aktiviti dan program menarik yang disediakan”.

Terdapat beberapa aktiviti baharu yang diperkenalkan tahun ini seperti acara pentas dan persembahan, santai selebriti, Kid’s Corner, riadah dan rekreasi serta pameran dan jualan.  Apa yang lebih menarik adalah gerai jualan dan pameran yang dihidangkan untuk Pesta Konvokesyen tahun ini adalah sebanyak 100 buah yang mana turut menggabungkan dua (2) acara besar yang lain iaitu Karnival Siswa atau KARSIS dan juga Hari Terbuka USIM.

Majlis Simbolik Pelancaran ini berakhir dengan pelepasan hampir satu (1) tan ikan induk jenis keli dan patin yang bakal menanti kaki pancing sempena Pertandingan Memancing yang akan diadakan di Tasik USIM.  “Besarlah harapan saya agar Kumpulan Utusan dapat membantu USIM mempopularkan Tasik USIM sebagai salah satu rekreasi yang bukan sahaja untuk komuniti USIM malah boleh dimanfaatkan oleh penduduk sekitar Nilai khasnya,” tambah Naib Canselor lagi.

Turut hadir adalah Pengurus Besar Pemasaran dan Pengedaran Utusan Melayu (M) Berhad, En. Hasmadi Hassan, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, YBhg. Prof Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, YBhg Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad serta Pengurusan Tertinggi USIM.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

Penolong Pendaftar StraComm