NILAI, 27 November 2019 – Walaupun mempunyai masalah tulang belakang, ia tidak menjadi halangan kepada Ahmad Al-Baaith Mohd Ghadin, 23, untuk berjaya dan bergraduasi bersama rakan-rakan yang lain pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke-17 di sini hari ini.

Sokongan dan dorongan ibu bapa, adik beradik serta rakan-rakan banyak memotivasikan Baaith untuk terus bergerak aktif seperti rakan-rakan normal yang lain.

“Sejujurnya ketika saya mula menjejakkan kaki di USIM ini, itulah kali pertama saya duduk berasingan dengan ibu bapa saya,” kata graduan dari Program Pengajian Quran dan Sunnah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM itu.

“Namun ia tidak menjadi masalah bagi saya untuk duduk berasingan dengan kedua ibu bapa dan saya mampu berdikari tanpa mereka di sisi,” tambahnya lagi.

Sepanjang Baaith di USIM, beliau didatangkan dengan rakan-rakan yang banyak menyokong beliau walau apa pun yang beliau lakukan.

“Rakan-rakan selalu menyokong saya bergiat aktif berpersatuan dan dengan bergiat aktif, saya dapat menambah kenalan yang sentiasa menyokong apa sahaja yang saya lakukan,” kata Exco Kerohanian Sekretariat Quran dan Sunnah 2017/2018 itu.

Baaith menerima skrol pada Majlis Kovokesyen ke-17 daripada Yang Berbahagia Tun Dato’ Seri Dr Zaki Tun Azmi bersama rakan-rakannya yang lain daripada fakulti yang sama.

 

Disediakan oleh:
Muhammad Alief Hakimie Ramli
StraCommclique
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan