NILAI, 15 April 2022 –  Selari dengan gagasan yang dibawa universiti untuk melahirkan prosumer muslim yang berjaya dalam aspek keusahawanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan Program Inkubator Bakeri dan Kafe: Genba Bakery & Program Prosumerisme: Latihan Bakeri Asnaf USIM – Maybank Islamic Berhad (MIB).

Program yang diterajui di bawah Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU) ini telah membangunkan kafe yang pertama di kampus yang dinamakan Genba Bakery, bertempat di Pusat Keusahawanan Pelajar (Student Mall). Perasmian Genba Bakery ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menurut Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin, seramai 80 orang pelajar asnaf di USIM daripada pelbagai fakulti telah mengikuti dan berjaya melengkapkan 5 modul secara teori dan praktikal secara intensif dan mereka kini aktif membuat jualan sempena perayaan Aidilfitri dengan menjual pelbagai jenis kuih raya seperti tart nenas, ferrero rocher cookies dan biscoff butter cookies.

“Genba Bakery memulakan operasi pertama dengan menganjurkan latihan bakeri yang dikenali sebagai Program Prosumerisme: Latihan Bakeri Asnaf USIM-MIB: Genba Bakers yang mendapat tajaan dana zakat berjumlah RM500,000 daripada Maybank Islamic Berhad selain turut mendapat kerjasama daripada Pusat Wakaf dan Zakat USIM”, ujarnya.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan Majlis Berbuka Puasa bersama para peserta dan pengurusan MIB, di mana Program Prosumerisme: Latihan Bakeri Asnaf Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) – Maybank Islamic Berhad (MIB) dirasmikan oleh Encik Nor Sharizan Sulaiman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan