NILAI – Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang ke- 61 tahun, Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF@USIM) dengan kerjasama Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (FAQEH) telah menganjurkan Program Bacaan Yasin dan Gema Selawat Bersama OKU yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Google Meet serta saluran YouTube Sahabat FAQEH USIM pada 16 September 2024 baru-baru ini.
Program ini telah dihadiri oleh 300 orang peserta yang terdiri daripada kalangan warga USIM, komuniti OKU dan orang awam serta penyertaan daripada Negara Brunei Darussalam dan Singapura. Program ini bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dan menzahirkan masyarakat inklusif bersama komuniti OKU dalam suasana sambutan Hari Malaysia dan Maulidur Rasul SAW serta merapatkan hubungan komuniti OKU dengan masyarakat dan juga sebagai satu langkah memperlihatkan advokasi dan kecaknaan terhadap komuniti OKU dalam membina suasana yang inklusif dan harmoni selaras dengan gagasan Malaysia Madani.
Program telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh saudara Akmal Hazim Mohd Zahidi, Presiden Sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF@USIM) dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin yang dipimpin oleh Saudara Muhammad Izaan Sabaruddin, mahasiswa OKU USIM. Beliau merupakan pelajar OKU penglihatan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.
Manakala alunan Gema Selawat dipimpin oleh saudara Umar Hasfizal yang merupakan remaja yang mengalami autisme dan diikuti dengan persembahan istimewa dari SaF al-Isharah iaitu, kumpulan nasyid tanpa suara dalam kalangan mahasiswa USIM. Program ini turut dihadiri oleh Profesor Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Dr. Syar Meeze Mohd Rashid, Pengerusi, Yayasan FAQEH.
Sedmentara itu, Profesor Dato’ Dr. Adnan telah merakamkan ucapan penghargaan atas inisiatif mahasiswa cakna OKU pimpinan Sahabat FAQEH USIM dan mereka yang terlibat khususnya penyertaan NGO-NGO OKU dalam menjayakan penganjuran kali kedua program ini. ”Program ini akan dianjurkan setiap tahun dan saya turut berharap agar lebih ramai masyarakat yang mengambil bahagian dalam penganjuran program sebagai tanda sokongan dan menghargai komuniti OKU” ujarnya.
Di akhir program, bacaan doa selamat telah dipimpin oleh Saudara Ahmad Fadhil Zakaria iaitu seorang pelajar OKU daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Beliau merupakan pelajar OKU Fizikal yang sedang menuntut dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda al- Quran dan al- Sunnah (Qiraat) di UniSZA.
Program seumpama ini dilihat mampu menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menghargai komuniti OKU dan sebagai sistem sokongan pengupayaan masyarakat dalam rangka usaha merealisasi mesej Surah ’Abasa iaitu, memuliakan OKU dengan agama. Selain itu, program ini berupaya memperkukuhkan semangat perpaduan nasional yang selaras dengan sambutan Hari Malaysia.
Sumber: Nur Qurrotua’ina Yahya / Khairunnisa Ismail