NILAI, 4 Ogos 2022 – Dalam usaha memperkasakan inovasi e-pembelajaran, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bergerak proaktif dengan menganjurkan Minecraft Kampus Barakah Challenge 2022 (MKBC’22) dengan penyertaan 12 pasukan dari pelbagai fakulti dan Pusat Tanggungjawab (PTj).

Sebanyak 3 pasukan telah berentap di peringkat akhir dengan menyaksikan Pasukan Cyber Squad dari Fakulti Sains dan Teknologi telah dinobatkan sebagai Juara dengan membawa pulang wang tunai RM 1500 berserta sijil penghargaan. Manakala Naib Johan dirangkul oleh pasukan Al-Hijaz dari Fakulti Pengajian Bahasa dan Utama dan tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Fuji Pro dari Fakulti Pergigian. Naib Johan dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM 1000 dan RM 500 berserta sijil penghargaan.

 

 

MKBC’22 adalah pertandingan yang menguji daya kreativiti serta inovasi dalam PdP berasaskan e-Gamifikasi di mana para peserta perlu bersaing untuk mempamerkan keunggulan mereka membangunkan World di platform Minecraft Education Edition dengan menerapkan elemen Maqasid Shariah mengikut niche fakulti atau PTj masing-masing. Para peserta diberi masa selama empat bulan bermula Mei 2022 sehingga Ogos 2022 untuk proses membangunkan Minecraft ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim berkata, pelaksanaan MKBC’22 adalah bertepatan dengan objektif pemerkasaan inovasi e- Pembelajaran selain melestarikan teknologi terkini menerusi penggunaan aplikasi mesra pengguna serta memenuhi keperluan pembelajaran dan pengajaran semasa.

“Usaha ini sekaligus dapat mencetuskan impak positif dalam pembangunan kandungan e-Gamifikasi disamping menyemarakkan perkembangan inovasi dan pembudayaan pengkayaan e-Pembelajaran dalam kalangan staf akademik khasnya dan pelajar amnya”, ujar semasa merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Program yang julung kali diadakan ini merupakan anjuran Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (CeTL) dan USIM e-Gamification Committee (UeGC) dengan Kerjasama Pusat Pembangunan Sistem & Kejuruteraan (SDEC) USIM.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan