Tahniah diucapkan kepada kepada pelajar-pelajar Sarjana Muda yang baru mendaftar di USIM baru-baru ini. USIM telah menerima sejumlah 1224 pelajar Sarjana Muda yang mendaftar sebagai pelajar baru di USIM yang mana 305 terdiri daripada pelajar lelaki dan 919 adalah pelajar perempuan. Daripada jumlah keseluruhan pelajar baru yang mendaftar, sebanyak 85 peratus adalah pelajar yang memilih USIM sebagai pilihan pertama. Pendaftaran kolej kediaman telah dilakukan di dua tempat iaitu di Kolej Kediaman Nilam Court yang menempatkan pelajar perempuan dan Kolej Kediaman Sutera Indah yang menempatkan pelajar lelaki.

Antara objektif pelaksanaan minggu taa’aruf ini adalah sebagai sebuah program suai kenal untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang pelbagai perkara berkaitan dengan pembelajaran dan kehidupan di kampus. Ianya juga sebagai medan dan peluang untuk mengenali Pihak Pengurusan Tertinggi USIM dengan lebih dekat oleh pelajar-pelajar yang baru menjejakkan kaki ke USIM. Uniknya pendaftaran pelajar baru pada kali ini, kesemua pelajar perempuan yang mendaftar memakai baju warna biru seragam ala punjabi dan seluar.

Pada kali ini USIM telah menerima sejumlah 105 pelajar sulung dari empat program baru yang telah ditawarkan oleh USIM untuk sesi 2008/2009 ini. Program baru yang ditawarkan adalah Sarjana Muda Pentadbiran Korporat dan Hubungan dengan Kepujian, Sarjana Muda Pemasaran (Perkhidmatan Kewangan) dengan Kepujian, Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Fizik Gunaan) dan Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Teknologi Kimia Industri).