NILAI, 28 Disember 2020 – Muhammad Hannan Mohd Hanif, 23, penuntut tahun 3 Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dilantik secara rasmi sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM bagi sesi 2020/2021. Beliau mengetuai barisan 27 orang MPP baharu yang dipilih melalui Pemilihan MPP yang diadakan pada 27 November lalu menerima watikah pelantikan ke jawatan masing-masing daripada Naib Canselor USIM, Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dalam satu majlis khas di Dewan Senat Universiti baru-baru ini.

Dalam pemilihan MPP USIM yang kali pertama diadakan secara sepenuhnya di atas talian (online) bermula dari proses penamaan dan penamaan calon, kempen sehingga ke proses pengundian akibat penularan pandemik COVID-19, USIM telah berjaya mencatat sebanyak 89.79 peratus e-undi. Peratusan ini mewakili 9,365 pelajar daripada 10,429 pelajar yang layak mengundi bagi memilih sembilan orang wakil pelajar di Kerusi Umum dan 23 wakil pelajar untuk mengisi Kerusi Fakulti.

“Mengambil iktibar dari firman Allah SWT di dalam Surah Al-Qasas ayam 26 yang jelas menunjukkan bahawa pentingnya Al Qawiyy iaitu kompetensi dan Al Ameen iaitu integriti bagi seorang pemimpin. Oleh hal yang demikian, tampilnya kami barisan Majlis Perwakilan Pelajar sesi akademik 2020/2021bersama lima domain yang akan kami fokuskan dan dilaksanakan secara bersama iaitu Kebajikan; Kesukarelawanan;Keusahawanan; Intelektual dan Kerohanian; dan Kebersamaan dan Profesionalisme”, ujar Muhammad Hannan dalam ucapan dasarnya sebagai Yang Dipertua MPP yang baharu.

Merupakan mantan Exco Pembangunan Sahsiah dan Kerohanian dalam MPP sesi 2019/2020 sebelum ini, beliau bersama kepimpinan baharu MPP membawa motto “Bersama Merealisasi Aspirasi” sebagai satu bentuk kesinambungan kepada dasar dan perancangan strategik MPP terdahulu. Di bawah domain Kebajikan misalnya, isu berkaitan kebajikan siswa dan kemudahan fasiliti di kampus menjadi agenda utama yang akan diberi perhatian manakala melalui domain Kesukarelawanan, MPP akan berganding bahu bersama universiti dalam usaha melahirkan pelajar USIM yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik bahkan mampu memberi manfaat sehingga membawa arus perubahan dalam masyarakat dan orang di sekeliling.

Profesor Dr.Mohamed Ridza dalam ucapan menyeru kepada barisan MPP untuk menjalankan tanggungjawab yang sebaiknya untuk mendengar suara mahasiswa dan seterusnya menjadi perantara berkesan untuk membawanya kepada Pengurusan Universiti. “Saya menyeru agar barisan MPP menggunakan sebaik mungkin platform kepimpinan ini dan bersatu dengan Pengurusan USIM dalam merealisasikan Misi USIM 2022”.

“Kempen #iloveusimyang mempunyai tiga gelombang yang dikempenkan melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar perlu dihayati oleh setiap pelajar di USIM seperti ketepatan masa, prosumerisme, unity in diversity dan ilmuan beradab. MPP perlu memainkan peranan dalam berkempen perkara ini supaya usim dapat melahirkan mahasiswa yang berilmu, berdisiplin dan bertakwa”. Ujarnya.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan