NILAI, 24 November 2019  – Program larian yang menjadi tradisi dalam Pesta Konvokesyen (CFEST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Nocturnal Run ibarat sudah mempunyai pengikut tersendiri saban tahun. Memasuki edisi keempat larian ini diadakan, Nocturnal Run 4.0 berjaya menarik lebih 1,500 penyertaan untuk berlari sekitar kampus USIM pada Sabtu malam, 23 November 2019.

Pelepasan para peserta larian yang bertemakan “Get Fit Don’t Quit’ ini disempurnakan oleh YB Tuan Haji Muhamad Taufek Abd Ghani, EXCO Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan yang juga merupakan ADUN Paroi tepat jam 9.00 malam di perkarangan Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM.

Pada tahun sebelumnya , terdapat dua kategori peserta larian iaitu kategori pelajar dan kakitangan; dan kategori terbuka, keunikan tahun ini, Nocturnal Run turut membuka kategori Virtual Run.

Sementara itu, sebelum larian Nocturnal Run 4.0 dilepaskan telah diadakan Majlis Perasmian CFEST USIM di khemah utama Tapak CFEST. Dalam ucapan yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani selaku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, kesinambungan larian yang sinonim sempena CFEST adalah sebagai satu usaha mempromosikan riadah sihat dan agenda FitUSIM.

“Objektif USIM menganjurkan Majlis Perasmian CFEST 2019 dan Nocturnal Run 4.0 adalah sebagai simbolik menandakan bermulanya CFEST selain menjadi platform publisiti dan promosi kepada warga kampus dan masyarakat sekitar. Pelbagai acara bakal berlangsung di Tapak Pesta Konvokesyen bersebelahan Dewan Tuanku Canselor bermula 23 hingga 28 November 2019”.

”CFEST diadakan secara tahunan dan diurus setiakan oleh Majlis Perwakilan Pelajar USIM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM. Penganjurannya juga bersempena Majlis Konvokesyen USIM kali ke-17 menyediakan pelbagai aktiviti untuk para pengunjung”

”Sepanjang enam hari CFEST diadakan, program yang diaturkan amat menarik serta memenuhi kehendak pelbagai peringkat umur pengunjung iaitu berbentuk jualan dan pameran, forum, sukan, bedah buku dan kebudayaan. Contohnya ialah Forum: Mahasiswa Peduli Penyuaran Sihat; Pertandingan E-Sport; Futsal Terbuka; Travelogue Sharing Moment; Pertandingan The Voice; Sembang Santai WAFIQ: Life Beyond The Scroll; dan perkongsian daripada Aman Palestin” ujar Mohd Rushdan.

Turut menanti pengunjung adalah Forum Jalan Menuju Bahagia: Show Me The Way!; Volunteerism: An Hour Makes A Different; Forum: Dominasi Belia Dalam Arena Politik Malaysia; Soulheart: Talk PU Rahmat; Muslim Volunteer Malaysia; dan Konsert Live Beat @ USIM dan Nocturnal Run 4.0.

Majlis Perasmian CFEST turut dihadiri Pengurusan Tertinggi USIM iaitu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Abdul Rahim Abdul Rahman; Bendahari, Dato Haji Mohd Abdul Rashid Mohd Fadzil; dan Ketua Pustakawan, Puan Nor Azzah Momin. Istiadat Majlis Konvokesyen USIM akan berlangsung bermula Selasa hingga Khamos hadapan yang akan menyaksikan seramai 2,629 graduan bakal menerima ijazah masing-masing bertempat di Dewan Tuanki Canselor.

 

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan