PUTRA HEIGHTS – Seramai 20 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai Ops Mega Pembersihan di kawasan terjejas akibat insiden letupan paip gas di Putra Heights. Program yang berlangsung selama dua hari bermula 12 hingga 13 April ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Mercy Malaysia.
Sukarelawan yang terlibat terdiri daripada ahli Kelab Urusetia Perubatan Perlindungan Pelajar (U3P) dan Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM). Mereka berganding bahu bersama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam operasi pembersihan berskala besar bagi membantu penduduk yang terkesan akibat kebakaran susulan letupan tersebut.
Majlis pelancaran Ops Mega Pembersihan telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor. Dalam ucapannya, beliau menyifatkan penglibatan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi sebagai lambang solidariti dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap mangsa bencana.
Antara tugasan utama para sukarelawan termasuk mengalihkan serpihan kebakaran, membersihkan sisa-sisa hangus serta membantu menyusun semula barangan mangsa yang musnah.
Menurut Muhammad Haziq bin Yusnizam, pelajar Tahun 3 Matematik Kewangan yang turut serta dalam misi ini, mereka berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang operasi berlangsung.
“Keadaan sekitar amat mencabar, penuh dengan serpihan tajam dan debu yang boleh membahayakan. Kami perlu sentiasa berwaspada agar tidak mengalami kecederaan. Selain itu, berdepan dengan mangsa yang masih trauma memerlukan kami untuk berinteraksi dengan penuh empati. Meskipun penat, pengalaman ini benar-benar mengajar kami tentang nilai kemanusiaan, semangat kerjasama dan erti kesyukuran,” katanya.
Penyertaan mahasiswa USIM dalam misi ini bukan sahaja menyumbang tenaga kepada komuniti, malah menjadi platform pembelajaran luar bilik kuliah yang berharga. Ia sekali gus memperkukuh peranan USIM dalam membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah tinggi nilai kemanusiaan dan cakna terhadap isu semasa.
Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini