NILAI, 27 September 2017 – International University Carnival On e-Learning 2017 atau IUCEL 2017 dianjurkan buat kali ke-2 diadakan pada 26 hingga 27 September 2017 bertempat di Dewan Tuanku Canselor. IUCEL 2017 diterajui sepenuhnya oleh pusat Global Open Access Learning, Immersive Technology and Quality Assurance (GOAL-ITQAN) merupakan kesinambungan program IUCEL 2016 yang telah dianjurkan pada tahun lalu oleh Universiti Teknologi Malaysia.

Program ini merupakan program tahunan yang dianjurkan bersama Majlis Ketua Penyelaras e-Pembelajaran Universiti Awam (MEIPTA), Pusat e-Pembelajaran Malaysia (MyCeL) dan Kementerian Pendidikan Tinggi selain mendapat sokongan dan rakan kerjasama antarabangsa daripada Daffodil International University, Doctorate Support Group (DSG) dan International Congress of Muslims In Educational Technology (ICMET).

“MOOC ini merupakan satu usaha Malaysia yang memberi kredit kepada pelajar yang mengikuti kursus melalui MOOC. Setakat ini, 450 kursus MOOC telah dilaksanakan secara online. Saya bersyukur melihat perkembangan positif penggunaan e-learning ini kerana MOOC boleh menggalakkan pelajar bukan sahaja dapat maklumat seperti di kuliah malah boleh berinteraksi melalui sistem soal jawab FAQ interaktif untuk mendapatkan input pembelajaran,” ucap YB Dato Seri Hj Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi yang merasmikan IUCEL 2017.

“Sebagai penganjur IUCEL 2017, kita mengharapkan supaya produk inovasi serta penyelidikan yang dijalankan sama ada di peringkat sekolah, politeknik, kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam bidang e-pembelajaran dapat diketengahkan. Produk-produk yang dipertandingkan bukan sahaja mempunyai nilai komersil malah mampu dikongsikan dengan pengamal e-pembelajaran di Malaysia mahupun di luar negara. Pelbagai pihak termasuk penyelidik, pengamal dan pelajar dari pelbagai institusi pendidikan telah menyatakan hasrat untuk menjadi peserta IUCEL 2017,” ujar Pengarah IUCEL 2017, Prof. Rozhan M. Idrus.

“Kini setiap universiti awam telah membangunkan Massive Open Online Course (MOOC) untuk kebanyakan subjek yang ditawarkan. Kaedah ini membolehkan subjek ini diajar bukan sahaja untuk pelajar di universiti terbabit, bahkan boleh dikongsi dengan universiti lain sama ada di Malaysia mahupun di luar negara,” Dr. Nurkhamimi Zainuddin, Timbalan Pengarah GOAL ITQAN.

Sebanyak 188 pempaper yang bertanding pada IUCEL 2017 termasuk pelbagai aktiviti disediakan antaranya pameran teknologi e-Pembelajaran, pembentangan amalan terbaik, technology update termasuk perisian, perkakasan, serta Sistem Pengurusan e-Pembelajaran (LMS) dan sistem sokongan e-Pembelajaran. Pameran daripada pihak industri juga turut diadakan sempena karnival ini.

Pada majlis yang sama, turut diberi penganugerahan kepada penerima Invention, Innovation,& Design on e-Learning (IIDEL) Competition kepada pemenang dari kalangan Institusi Pengajian Tinggi dan sekolah. Antara wakil USIM yang menerima anugerah adalah Prof Dr Rozhan (Higher Education e-Learning Maestro Award), Dr Nurkhamimi Zainuddin (Outstanding Open Education Resources (OER) Award) dan PERMATA Insan (Secondary School e-Learning Award).

Disediakan oleh :
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204