FRANKFURT, 18 OKT 2015 – Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat pertama kali melancarkan buku hasil kerjasama bersama Goethe University of Frankfurt di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt 2015 yang berlangsung pada 14 hingga 18 Oktober iaitu salah satu pesta buku terbesar di dunia.

Buku yang bertajuk “Transformation of the Higher Education System in Malaysia” ini uniknya ditulis oleh seorang pelajar Rusia yang belajar di Frankfurt dan amat fasih dalam bahasa Melayu, iaitu Cik Alexandra Samokhvalova. Perasmian buku ini disempurnakan oleh Puan Adina Kamarudin, Konsul General Malaysia di Frankfurt.  Beliau merakamkan ucapan tahniah atas kerjasama yang terjalin antara Penerbit USIM dan juga Goethe University Frankfurt dalam bidang penerbitan buku ilmiah kerana dapat menjulang bidang pendidikan di Malaysia.

Perasmian buku ini diadakan di booth Malaysia dan turut dihadiri oleh Prof. Dr. Arndt Graf dari Department of Southeast Asian Studies, Goethe-University Frankfurt.

Buku ini merupakan hasil kajian berkenaan universiti APEX dan menumpukan kepada Universiti Sains Malaysia (USM) yang satu-satunya universiti APEX di Malaysia . Hasil penulisan ini turut membangkitkan persoalan-persoalan pendidikan yang harus diberikan perhatian untuk meningkatkan sistem pendidikan tinggi di Malaysia.

Disediakan oleh:

Penerbit USIM

Dikemaskini oleh:

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204