NILAI – Majlis Penyerahan Kunci Rumah Asnaf Contoh oleh Syarikat RPG Group kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diwakili oleh Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani telah diadakan di Kolej Kediaman Satu.
Projek Rumah Asnaf Contoh ini memperkenalkan rumah teknologi hijau untuk dijadikan ilham kepada pusat-pusat zakat Majlis Agama Islam di seluruh Malaysia sebagai model rumah asnaf yang di bangunkan oleh pihak berwajib.
Menurut Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, rumah ini akan diserahkan dan diperkasakan sebaiknya oleh Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) yang telah diberi mandat untuk melestarikan kepelbagaian pembangunan di USIM.
“Jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada Pusat Alumni dan Kerjaya dan Syarikat RPG Education & Training Center yang utuh menjalin kerjasama sehingga mampu menyumbang kemajuan kepada fasiliti di USIM. Juga kepada Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) dan pasukan geran serta pihak-pihak lain yang turut mengambil bahagian dalam pelaksanaan projek ini”, ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengarah PRUPEL Encik Mohd Salehudin Sukor berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Dalam usaha untuk meningkatkan janaan dan pendapatan university, PRUPEL bercadang untuk membuat sedikit lagi penambahbaikkan supaya rumah ini sesuai dijadikan sebagai rumah tamu bagi membolehkan ibu bapa, orang awam, serta pengunjung universiti membuat sewaan penginapan pada kadar yang berpatutan.
Seramai 200 peserta termasuk 38 graduan tahun 2018 dan 2022 FKAB serta pelajar dari beberapa Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti serta orang awam telah menyertai program ini menerusi Program Kebolehpasaran Graduan Penjana KPT-Career Advancement Programme (KPT-CAP) berjumlah RM60,000.00.
Selain itu, pada majlis yang sama, PRUPEL telah mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia sebagai tempat latihan yang menepati standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan bagi melatih staf dan mahasiswa USIM dalam bidang pengemasan. Seramai 10 orang perantis terdiri daripada Jawatankuasa Kebajikan Siswa/Siswi Kolej Kediaman telah berjaya menamatkan program Persijilan Kemahiran Malaysia dalam bidang Operasi Pengemasan Tahap 2 pada bulan Oktober yang lepas dan akan ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.