Bandar Baru Nilai 22 Disember 2010 – Demi melahirkan ilmuwan Islam agung yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah pada masa hadapan, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri menterjemahkan hasrat murninya itu dalam Program Permata Insan yang telah memulakan sesi perkhemahannya yang pertama pada 11 dan akan berakhir pada 24 Disember 2010 di kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Bermotokan ‘Menjana Cendekiawan Islam,’ beliau menganggap usaha ini sebagai satu langkah yang proaktif bagi membentuk generasi yang celik ilmu duniawi dan ukhrawi, di samping dapat mengembalikan zaman kegemilangan ulama-ulama silam.
Bersempena dengan sesi perkhemahan ini, Y.A.Bhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor turut mengadakan lawatan kerja ke USIM pada 22 Disember 2010 bagi memberi galakan dan sokongan kepada anak-anak yang menyertai kem perkhemahan Permata Insan.
Menurut beliau, seramai 9000 pelajar berusia 8 tahun dari seluruh Malaysia telah menduduki Ujian UKM 1 dan seramai 390 orang telah layak ke saringan UKM 2. Hasil daripada proses saringan ketiga dan keempat, hanya 50 orang pelajar yang layak terpilih menyertai perkhemahan PERMATA Insan di USIM. Tetapi di saat akhir hanya 48 pelajar sahaja yang menyertai memandangkan 2 orang pelajar terpaksa menarik diri atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Program PERMATA Insan ini merupakan program yang berbentuk ‘nurturing’ dan pembelajaran yang berterusan. Selain belajar Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris sebagai asas, anak-anak ini juga diajar meneroka bidang ilmu seperti sains dan teknologi, Mental Arithmetic, kemahiran berkomunikasi menulis dengan baik serta berfikiran kritis dan kreatif.
Memandangkan program ini adalah secara berterusan, anak-anak ini telah dibekalkan dengan notebook dan perkhidmatan jalur lebar secara percuma bagi membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran melalui atas talian apabila kembali ke rumah masing-masing.
Bagi meningkatkan kualiti program PERMATA Insan ini, USIM telah mewujudkan kerjasama dengan Al Mawhibbah King Abdul Aziz Universiti di Riyadh Arab Saudi. Melalui kerjasama ini Universiti Al Tayyibah Madinah bersetuju membantu dalam membangunkan kurikulum terutamanya dalam bidang Al-Quran dan Al Sunnah yang akan dimeterai pada 10 Januari 2011 di Riyadh.
Y.A.Bhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor yang juga penaung PERMATA Negara berkata, pihaknya berharap program PERMATA Insan ini dapat melahirkan insan yang bertakwa dan berjaya melahirkan cendekiawan Islam mengikut landasan yang betul.
Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028
Gambar oleh : Kamarull Syamzari Kamaruddin (Tel :06-7988058)