NILAI 8 Jan.-Penganjuran Pertandingan Video Pelancongan Bahasa Arab 2011, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) baru-baru ini dilihat sebagai satu momentum baru dalam melahirkan mahasiswa yang kompeten, progresif dan berdaya saing. Mahasiswa tahun akhir FPBU berjaya membuktikan kredibiliti dan potensi mereka dalam menghasilkan video pelancongan kreatif Bahasa Arab dalam usaha mempromosi tempat-tempat pelancongan menarik di Malaysia.

Program ini dilihat sebagai satu usaha murni fakulti dalam merealisasikan kebolehpasaran mahasiswa serta memantapkan keupayaan  mereka dalam menerokai ilmu di luar daripada bidang pengajian.

Bertemakan ‘Memartabatkan dan Memperkasa Bahasa Arab Melalui Pelancongan’, program yang dianjurkan oleh mahasiswa tahun empat FPBU melalui kerjasama erat Nadi Thaqafah FPBU ini layak diberi pujian kerana hampir seratus peratus penganjuran program ini dilaksanakan dalam Bahasa Arab.

Bermatlamat untuk memantapkan kemahiran berkomunikasi melalui penggunaan Bahasa Arab dalam kalangan peserta di samping menjadi platform terbaik untuk mempraktikkan ilmu pengajian di dalam kuliah untuk diaplikasi sepanjang sesi pembikinan video diadakan, program ini juga bertujuan mengasah kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif di samping mencungkil bakat kepimpinan dalam setiap kumpulan dan pengendalian organisasi.

Sebanyak sembilan buah kumpulan yang diwakili mahasiswa tahun akhir FPBU telah berentap mempersembahkan kepelbagaian elemen kreatif mereka melalui penghasilan video kumpulan masing-masing berdasarkan konsep dan tema yang pelbagai. Program yang turut mendapat sokongan padu daripada Bahagian  Hal Ehwal Pelajar (BHEP) ini telah dirasmikan oleh Prof Madya Dr Bhasah Abu Bakar, Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama.

Tampil berbeza berbanding kumpulan lain menjadi satu kelebihan apabila para juri bersepakat memilih kumpulan Abaqirah sebagai Johan dalam Pertandingan Video Pelancongan Bahasa Arab 2011. Kumpulan Abaqirah yang dianggotai seramai sembilan orang mahasiswi telah berjaya memikat hati para juri melalui penghasilan video kreatif mereka, “Rehlah Ilmiah Ila Kuala Lipis” sebagai bahan dokumentari. Kekuatan ahli kumpulan ini yang diterajui oleh kesemua peserta perempuan tidak menjadikan penghalang utama kepada Abaqirah untuk bersaing dengan kumpulan lain.

Manakala tempat kedua dan ketiga pula disandang oleh kumpulan Al Farashah dan As-Saurah yang  telah memilih lokasi  Bandar Shah Alam, Selangor  dan Bukit Tinggi, Pahang sebagai destinasi pilihan suntingan video mereka.

“Keseronokan saya adalah apabila dapat melihat anak-anak didik berjaya atas usaha dan kegigihan mereka yang tidak henti-henti menghasilkan video masing-masing. Apa yang saya suka ketengahkan, teruskan mewujudkan budaya kalis kritikan,” menurut Encik Hamadallah Mohamad Salleh, Penyelaras Program Pertandingan Video Pelancongan Bahasa Arab 2011 selepas majlis tersebut.

Encik Hamadallah turut merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya membuka legasi baru dan transformasi diri dalam usaha memartabatkan penggunaaan bahasa Arab. Beliau turut melahirkan harapan agar usaha penambaikan diri dapat diteruskan bagi menjana  pemerkasaan diri mahasiswa.

Majlis gilang-gemilang tersebut telah diadakan di DKF 1.2 Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) yang mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada mahasiswa-mahasiswa lain.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Puan Hazleena Baharun, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar & Pengurusan Prestasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Encik Shahrul Hafifi Mohd Fuad serta Penolong Pendaftar Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan staf sokongan yang lain.

Oleh : Ejen Berita- Wanza Mohamad