NILAI, 12 September 2021  –  Siti Nur Shafika Md Fakharuzi dari Institut Perguruan Malaysia (IPGM) Cyberjaya  dan Munirah Muhammad dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul sebagai johan dan naib johan pada sesi akhir pemilihan Wakil Malaysia ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan USIM.

Program yang diadakan sebagai acara tahunan ini tidak lain adalah bertujuan mengangkat citra serta kedaulatan Bahasa Melayu di persada dunia dan merupakan satu bentuk manifestasi terhadap perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan alat penyatuan pelbagai kaum di Malaysia.

Pemilihan wakil Malaysia ini berlangsung selama 2 hari bermula 11-12 September 2021 dengan Majlis Penutupan Sesi Pemilihan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani yang mewakili Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik Jabatan Pendidikan Tinggi.

“Seramai 27 orang peserta daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) telah menyertai sesi pemilihan dan kelainan yang diketengahkan pada sesi pemilihan wakil pada kali ini adalah semua proses dijalankan secara dalam talian melalui platform Zoom dan hanya hakim pertandingan sahaja yang hadir secara fizikal di lokasi penganjuran” ujarnya.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.00 berserta trofi, di ikuti naib johan menerima hadiah wang tunai RM1,000.00 berserta trofi manakala tempat ketiga hingga kelima menerima hadiah wang tunai RM300.00 berserta trofi.

“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pemenang dalam Pemilihan Wakil Malaysia ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021. Semoga program ini terus dijalankan sebagai wahana dalam usaha memupuk dan mengukuhkan jati diri anak bangsa terhadap negara yang kita cintai dan mendokong perjuangan mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia” ujarnya lagi.

Siti Nur Shafika dan Munirah bakal mewakili Malaysia ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 yang akan diadakan pada 10-14 November 2021 bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan