NILAI– Semangat daya saing, kemahiran komunikasi dan keupayaan berfikir secara kritis dalam kalangan mahasiswa terus diperkasa menerusi penganjuran Piala Debat dan Pidato Naib Canselor yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai fakulti di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Program yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah pada 18 mei 2026 itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada peserta serta penyokong yang hadir bagi memeriahkan suasana pertandingan.
Pertandingan tersebut merangkumi beberapa kategori utama, iaitu debat Bahasa Melayu, debat Bahasa Inggeris, debat Bahasa Arab serta pertandingan pidato. Penyertaan mahasiswa daripada pelbagai fakulti membuktikan minat yang tinggi terhadap aktiviti pengucapan awam, perbahasan intelektual dan pemikiran kritis.
Pengarah program, Syed Ali Hashimi Syed Hood, berkata pihak penganjur berjaya melaksanakan sebanyak 48 persidangan debat secara dalam talian dengan siaran langsung, meskipun berdepan beberapa gangguan teknikal yang minimum.
Menurut beliau, aspek kebajikan peserta dan jawatankuasa turut diberikan perhatian sepanjang kejohanan berlangsung bagi memastikan kelancaran penganjuran serta keselesaan semua pihak yang terlibat.
Katanya, penganjuran pertandingan ini bertujuan menyediakan platform kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran komunikasi, membina keyakinan diri, memperkukuh daya kepimpinan serta meningkatkan keupayaan berhujah secara matang dan berfakta.
Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti debat dan pidato masih relevan dalam era digital kerana kedua-duanya membantu mahasiswa menyaring maklumat, menilai isu secara kritis serta menyampaikan pandangan dengan lebih tersusun dan berhemah.
Menariknya, tema “Mencerna Intelek, Menggapai Digitalisasi” yang diangkat pada edisi kali ini bukan sahaja mengetengahkan isu-isu kontemporari dan elemen teknologi melalui usul-usul perdebatan, malah turut dizahirkan secara praktikal menerusi gimik majlis penutupan yang menggabungkan unsur teknologi dan budaya intelektual.
“Memandangkan keistimewaan kejohanan tahun ini terletak pada temanya, cabaran terbesar kami adalah untuk menterjemahkan tema tersebut ke dalam bentuk usul dan gimik penganjuran.
“Hasilnya, kami berjaya menyuntik idea-idea baharu yang segar bagi mengangkat tema digitalisasi ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Penganjuran Piala Debat dan Pidato Naib Canselor ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium penting dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja petah berbicara, malah mampu berfikir secara kritis, kreatif dan profesional dalam mendepani cabaran dunia semasa.
Program seperti ini juga selari dengan aspirasi USIM dalam membentuk mahasiswa holistik dan Muslim profesional yang mampu mengintegrasikan ilmu, adab, kemahiran komunikasi serta pemikiran strategik dalam kehidupan akademik dan kerjaya masa hadapan.
Oleh: Nur Fatin Atiqah Mokhtar, Siti Nur Insyiraah Sh Hussin

