NILAI, 23 NOV 2016 – Seramai 20 orang perantis bagi inkubator jahitan ini akan memperolehi sijil kemahiran Malaysia yang akan diberikan pada akhir empat modul tersebut iaitu menjahit baju kurung tradisional, baju blaus, jubah dan selendang dalam satu Program Inkubator Jahitan Usahawan Siswa USIM anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) dengan kerjasama Hani D Unggul Sdn.Bhd. Majlis Perasmian dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad di Pusat Komersial, baru-baru ini.

Mengangkat objektif utama bagi melahirkan usahawan bumiputera berimpak tinggi dengan keupayaan sebagai pengeluar dan pemilik dalam bidang jahitan dan fesyen, PPKS USIM mengambil inisiatif untuk menganjurkan kelas inkubator jahitan disamping untuk memberi nilai tambah dan kemahiran kepada para pelajar untuk memulakan perniagaan dalam bidang jahitan dan fesyen.

Selain itu, bagi memberi peluang dan ruang kepada para pelajar untuk menjalankan perniagaan secara mobile semasa dalam pengajian dan menggalakkan para pelajar untuk menjalankan perniagaan dengan menggunakan kemahiran yang telah diperolehi untuk mengambil tempahan pakaian, membuka bengkel jahitan dan lain-lain untuk menjana pendapatan.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dalam ucapan perasmiannya berkata. pelaksanaan Program Inkubator Jahitan Usahawan Siswa USIM dengan kerjasama Syarikat Hani D Unggul Sdn.Bhd ini merupakan salah satu usaha USIM untuk mengaktifkan dan meluaskan jalinan kerjasama bersama pihak industri selain salah satu usaha USIM untuk melahirkan graduan yang memiliki sifat holistik, berkeusahawanan dan seimbang.

Beliau turut mengucapkan tahniah kerana para peserta yang hadir ini merupakan kumpulan pelajar pertama di USIM yang mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menerusi program ini. Saya percaya ini merupakan nilai tambah yang tidak ternilai kepada kehidupan anda semua dan saya berharap anda semua dapat menggunakan segala kemahiran dan ilmu yang diperolehi dengan sebaik mungkin untuk memulakan perniagaan dalam bidang jahitan dan fesyen.

“USIM merasakan pelaksanaan program ini adalah sangat relevan dalam usaha USIM untuk melahirkan lebih ramai graduan usahawa kerana program ini dilaksanakan 100% secara praktikal”.

“Melihat kepada modul-modul yang disediakan untuk program ini, saya percaya bahawa para peserta lengkap dibekalkan ilmu dan kemahiran untuk menjadi seorang usahawan dalam bidang jahitan dan fesyen”.

Sementara itu, Dr. Ummi Salwa Ahmad Bustaman, Pengarah PPKS USIM berkata, idea penubuhan program ini terhasil apabila melihat kepada permintaan terhadap tukang jahit yang sangat tinggi selain melihat menjahit merupakan salah satu kemahiran yang boleh dijadikan punca pendapatan.

“PPKS mengorak langkah menubuhkan inkubator jahitan usahawan siswa ini melihat kepada permintaan terhadap tukang jahit yang sangat tinggi setiap kali musim perayaan tiba dan melihat fenomena ini akan terus berlaku walaupun banyak pakaian ready made yang boleh dibeli secara offline ataupun online.

“Saya teringat kata-kata Tan Sri Rahim Tamby Chik, Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) yang mencadangkan agar di universiti, pelajar diberi peluang untuk mendapatkan nilai tambah melalui sijil kemahiran dan yang berkaitan”. tambahnya lagi.

Majlis perasmian ini juga turut dihadiri oleh Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Encik Mohamad Fairus Mohamad Talhah, Pengarah Eksekutif Hani D Unggul Sdn.Bhd dan Puan Siti Rohani Othman, Pengarah Urusan Hani D Unggul Sdn.Bhd.

Disediakan oleh:

Nor Hasnah Wahid

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204