NILAI, 21 Disember 2021 – Merujuk kepada keadaan semasa berikutan bencana banjir yang melanda di beberapa kawasan di dalam negara, Pengurusan Universiti bersetuju untuk memberikan tempoh bertenang dan kelonggaran kepada semua Fakulti/Pusat untuk mengendalikan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bermula semalam (20 Disember 2021) hingga Jumaat ini (24 Disember 2021).

Fakulti/Pusat boleh menangguhkan kuliah atau dibuat secara tidak segerak/asynchronous dengan bahan mengajar dimuat naik dalam Sistem Global Open Access Learning System (GOALS) tertakluk kepada keperluan program pengajian tertentu. Kaedah pelaksanaan PdP juga tertakluk kepada Fakulti/Pusat masing – masing mengikut keperluan program pengajian masing – masing termasuk aktiviti pentaksiran seperti kuiz, ujian pertengahan semester dan penghantaran kerja kursus.

Semua pelajar yang terkesan dengan bencana banjir boleh menghubungi Fakulti/Pusat masing – masing untuk maklumat terkini berkaitan aktiviti PdP. Fakulti/Pusat akan memastikan penyampaian program pengajian adalah berkesan dan mencapai kualiti program yang ditetapkan.

Fakulti/Pusat akan memastikan aspek kebajikan pelajar diberi perhatian agar kesihatan fizikal dan mental pelajar sentiasa berada dalam tahap yang baik. Fakulti/Pusat akan memantau secara berterusan dan menyediakan pelan tindakan bagi menangani isu-isu berbangkit. Bilik Operasi Bantuan Banjir USIM beroperasi di Pusat Sukan USIM bagi menyelaras bantuan berkaitan banjir dan sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi talian 012-667 7628 60 (En. Nur Ekmal Buhary) atau 011-3636 8191 (En. Hafez Fikri Adimat).

Pihak Universiti amat mengambil berat terhadap keselamatan dan kesihatan pelajar dan semua warga yang terkesan dengan bencana ini serta mendoakan agar semua warga selamat dari jangkitan COVID-19 serta dapat meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan sempurna dan selamat.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan